Showing posts with label Wellington. Show all posts
Showing posts with label Wellington. Show all posts

Friday, May 6, 2011

Ungkapan Rasa

Dengan nama Allah yang menciptakan Rindu.


Sudah lama aku tidak menulis di sini. Maaf, kehidupan baru sebagai guru terlalu amat sibuk sehingga tidak memberi ruang untuk menulis secara kreatif, berkongsi fikrah dan rasa. Tulisan ini hanyalah copy-paste dari Facebook note saya sendiri. Maaf atas penggunaan lafaz 'aku' sepanjang penulisan ini . . .


Hari ini aku menunaikan solat Jumaat di Masjid Kuala Nerang. Sendirian. Kerana 'anak-anak'ku di hostel pulang ke rumah. Bila sendirian sebegitu, aku seringkali hanyut dalam arus fikiran sendiri.

Dan ketika sendirian sebegitu juga perasaan sedih dan rindu itu acapkali mengundang tiba. Terutama sekali pabila aku berkunjung ke mana-mana masjid yang ramai orang berusia. Lebih-lebih lagi ketika solat Jumaat.

Senario
Walau fikiran mudah hanyut dek keadaan cuaca dan sekitar yang membahang, aku cuba fokus pada intipati khutbah yang padaku agak remeh dan membosankan. Penyampaian khutbah oleh khatib berumur itu juga tidak banyak membantu kerana penyampaiannya begitu mendatar dan kaku. Pada pendapatku, khutbah sepatutnya lebih 'hidup' dan 'dekat' dengan pendengarnya bukannya formal dan kaku sehinggakan pendengar rasa 'jauh'. Sepatutnya short and sweet, bukannya berjela-jela dengan kata berbunga-bunga yang sekadar lalu di kotak fikiran. Bila teks khutbah terlalu panjang berjela dan kaku sebegitu, pada audiens mula 'membeku' dan pintu ke ruangan minda mereka perlahan-lahan tertutup. Malu untuk diakui tetapi aku tidak terkecuali. Tanpa sedar atau mungkin di luar kawal, pintu ke ruangan mindaku juga perlahan-lahan tertutup dan hanya kembali terbuka luas di saat bilal melaungkan iqamah.

Aku bingkas bangun sementelah mendengar lafaz "qod qomatis solah" dan bergegas melangkah masuk ke ruangan kosong di antara makmum di saf hadapan. Sudah kebiasaan kerana selalu mengajar diriku sendiri dan 'anak-anak'ku di setiap solat jamaah mereka, apatah lagi ianya tuntutan terpenting digariskan Baginda Rasul (s.a.w) sendiri, aku bersegera merapatkan bahu ke makmum di sebelah kanan dan menyamakan tumit dan buku lali supaya saf yang didirikan itu sempurna. Bukankah kesempurnaan saf (lurus dan rapat) itu syarat penting kesempurnaan solat berjamaah?

Dalam usaha merapatkan saf tadi, terdapat ruang (gap) yang boleh memuatkan seorang kanak-kanak tadika di antara aku dan makmum di sebelah kiri. Segera aku menoleh ke belakang dan senyum kepada barisan makmum yang lebih tua di belakangku itu sambil tangan dengan lemah lembut mengisyaratkan supaya salah seorang mereka tampil dan memenuhkan kekosongan itu. Yang paling menyedihkan aku adalah apabila seorang pakcik berjubah dan berserban di saf belakangku itu menjeling tajam kepadaku seolah-olah memarahiku, "Apa pandang-pandang ke belakang lagi ni? Imam dah solat dan baca Fatihah dah nu!" sebelum terus mengangkat takbiratul ihram. Aku terkedu. Sudah gagal 'menjemput' makmum dari saf belakang, aku berusaha memaut lengan makmum di kiriku yang sudah bersolat supaya rapat kepadaku. Seperti yang dapat aku jangkakan, si makmum tersebut memasang 'kuda-kuda' dan tidak dapat ditarik untuk merapatiku. Imam sudah habis membaca Fatihah dan aku hanya mampu mengangkat takbiratul ihramku dengan perasaan sedih di hati. Dan rasa sedih itu mengundang rindu . . .

Sedih Mengundang Rindu
Sungguh aku rindu saat setiap minggu aku berkejar menunaikan solat Jumaat sama ada di Lambton Quay mahupun di surau Kelburn ketika ada kuliah pada hari Jumaat.

Pertama kali bersolat Jumaat di Lambton Quay, aku agak terkejut dengan 'format' khutbah Jumaatnya. Manakan tidak, sedari kecil aku diajar yang makmum perlu diam ketika khatib menyampaikan khutbah tetapi ketika di situ terdapat sesi soal jawab dan berdebat antara penyampai khutbah dan makmum. Solat Jumaat pertamaku di Wellington tidak khusyuk kerana terfikirkan apa yang baru aku saksikan. Selesai solat, aku bertanya beberapa kenalan tentang kemusykilan di hati. Persoalanku terjawab: Sesi "soal jawab dan debat" yang aku saksikan itu tidak termasuk dalam khutbah tetapi ianya ritual majlis ilmu sebelum khutbah yang hanya disampaikan sekadar memenuhi rukun-rukun khutbah. Di surau Kelburn pula, khutbah yang disampaikan adalah amat ringkas. Lebih kepada penyampaian peringatan ringkas tentang isu-isu penting sambil diseliti rukun-rukun khutbah.

Keadaan bersolat di surau atau masjid di Wellington, tak kiralah solat fardhu atau solat Jumaat mahupun solat sunat hari raya, adalah keadaan yang paling aku rindu sekali. Safnya rapat-rapat dan padat sehinggakan bahu antara makmum saling bersentuhan dan ketika tahiyat akhir, boleh dikatakan tiada seorang pun yang dapat duduk tasyahud dengan sempurna tanpa terduduk di atas kaki saudaranya di sebelah. Mulanya rasa lemas dan rimas dengan keadaan itu tapi lama-kelamaan jadi sangat selesa dan menyeronokkan. Bahkan keadaan itu jugalah antara sebab hubungan mesra terjalin antara sesama saudara Muslim yang menunaikan solat jamaah bersebelahan. Kenapa? Apabila terduduk di atas kaki saudaranya semasa tasyahud, mereka segera meminta maaf dengan ukir senyuman sementalah memberi salam  pengakhiran solat. Selesai doa dan bersalaman, mereka ini biasanya akan berbual-bual sebentar jika ada masa padahal saling tidak mengenali sebelum solat tersebut. Di sinilah silaturrahim baru mula terjalin dan yang lama kembali erat. Bukankah itu salah satu tujuan kewajipan solat Jumaat?



Secoret Rasa
Mungkin ada yang berkata aku masih living in the past and have not moved on to the present. Itu tidak benar. I live in the present but I want - really, really want - to re-live that wonderful past I experienced in Wellington. Buktinya, aku seringkali berkongsi dan menceritakan kepada 'anak-anak'ku tentang keindahan dan kemanisan Islam yang aku rasai semasa di New Zealand dan dari masa ke masa aku akan menegur dan membetulkan mereka agar mereka akan mengikut acuan Islam sebenar, bukan acuan Islam yang telah dicemari karat-karat adat yang bertentangan dengan garis panduan Islam.

Tidak, aku tidak memperkecil mahupun memperlekeh golongan tua. Mereka ini lebih lama hidup dariku dan hanya Allah lebih mengetahui betapa lebih banyak kebaikan telah mereka lakukan berbanding aku yang masih baru menghirup udaraNya. Cuma aku kesal dan sedih bila aku tidak mampu berbuat apa-apa untuk memperbetulkan 'keadaan yang salah' kepada 'keadaan yang betul' di kalangan mereka yang lebih berumur. Bila ditegur, aku dijeling mereka. Menyedari hakikat itulah aku berazam untuk cuba semampu aku untuk membentuk generasi muda yang masih bisa aku lentur.

Dan tidak, aku tidak maksudkan di sini yang aku ini baik dan soleh. Aku terlalu banyak dosa jika mahu dibanding dengan 'anak-anak'ku yang masih kurang dosa itu. Tetapi aku mahu baiki diri. Itu inginku, itu kemahuanku. Aku sedar imanku lemah dan langkahku rapuh dalam menuruti Sunnah Baginda Rasul, tetapi aku mahu percaya yang Dia sentiasa ada untuk membantuku.

Dan selagi aku masih boleh menghirup dan menghembus udaraNya, aku percaya yang rindu ini tak mungkin hilang atau padam. Mana bisa sesuatu yang manis sebegini bisa hilang dan terpadam semudah itu? Biarlah aku senantiasa merindu andai dengan merindu itu mampu memberi kekuatan dan sokongan untuk kekal di atas jalanNya ini walau langkahku rapuh . . .

Saturday, October 31, 2009

Kisah Pisang

Dengan nama Allah yang menciptakan setiap sesuatu itu tidak sia-sia.

Seperti yang dijanjikan (walaupon lewat beberapa hari dari tarikh janji), nie aku nak post sebuah cerpen BM bertemakan pisang yang ditulis sebagai jenaka.

Cerpen ini adalah hasil nukilan bersama Pisang 2 (aku) dan Pisang 4 (Diana Ayub), didedikasikan khususnya kepada Pisang 1 (Fauzi Ibrahim) dan Pisang 3 (Shahimi Shahidan) serta jamaah pisang yang laen di dalam tandanan bumi Wellington terchenta ini. :'D

Mesej dan intipati cerpen ini adalah rekaan semata, sememangnya berkaitan dengan watak-watak yang masih hidup bernafas atas bumi Allah. Cerpen ini ditulis bersama tanpa sebarang perancangan plot oleh kedua-dua penulis, tetapi telah aku edit semula supaya sesuai dibaca umum.


~KISAH PISANG~

Dada rasa bergetar, peluh mula membasahi dahi. Langkahku makin lemah persis gemalai. Dalam hati menjerit, "Ini semua salah pakcik yang jual pisang tu. Huh!"

Getaran di dadaku sudah tak tertahankan, lalu aku membuat keputusan untuk ke klinik. Bertemu doktor peribadiku.

Daun pintu bilik doktor itu ku kuak perlahan. Pada pintu tersebut terpampang nama 'Doktor Fauzi Ibrahim'. Ya, doktor Poji adalah doktor peribadiku. Lama sudah kami berkenalan ketika masing-masing masih pelajar undergrad di bumi Wellington.

Ku duduk diam membisu seribu bahasa menanti jawaban dari mulut sang doktor yang terkunci rapat.

Dia diam.

Makin bergetar dada ini. Dahiku makin basah dengan peluh sejuk. Peluh itu mengingatkan aku pada malam ayahku bercerita tentang hantu pontianak yang mengganas di kampungku. Ya! Perasaan yang sama. Nafasku turun naik menahan debaran dan getaran kencang yang berombak dalam dadaku.

Perlahan ku teringat pesanan Jimi. Jimi, rakan sepermainanku. Ah, tak mungkin kata-kata Jimi itu benar! Mana mungkin 3 biji pisang bisa membunuh?

"Cardiac arrest," katanya dengan nada serius. Dahinya berkerut lebat menandakan dia tidak bergurau. Dadaku masih berombak kencang, makin kencang bila teringatkan kata-katanya yang menyusul.

"Kau tahu Chouji, pisang boleh membunuhmu!" ujarnya dengan suara lantang, selantang persis menteri bersidang di Parlimen. Seperti nada orang yang mahu menegakkan benang yang basah.

Hatiku kian gelisah mengenangkan doktor Poji yang seakan tidak sudi memberitahu hasil diagnosisku. Ditatapnya berulang-ulang kali keputusan ujian ECG ku itu diselang selikan dengan menatap mataku dalam-dalam. Seolah-olah aku ini seperti banduan yang akan ke tali gantung. Disepetkan matanya, seperti aku ini sedang mengecil di hadapannya. Setiap kali matanya menatap fail ujian ECG ku, kelihatan seolah olah matanya sedang mentertawakan aku.

Tetapi makin lama ku lihat doktor Poji makin galak. Matanya melirik, bermain mata. Seolah-olah sedang mengendap janda di hujung kampung.

“Gila doktor ini. Takkanlah jantan sepertiku ini pun dia boleh tertarik!" Tetapi aku tak boleh menafikan, dengan six packs pada abdomenku, Razif pun boleh tersungkur.

Tapi hatiku tidak goyah walaupun dadaku bergetar kuat. Kerna cintaku tetap pada Razif.

Razif mesti diberitahu segera! Pesan Jimi harusku sampaikan segera pada Razif. Biar saja aku yang pergi meninggalkan dunia fana ini.

Tetapi tidak Razip! Dia perlu terus hidup.

Razif, anak teruna harapan kampungku dan kekasih gelapku. Tiada dia, mungkin kampung kami akan banjir. Banjir dengan airmata ibu-ibu yang mengharapkan anak dara mereka bertemu jodoh dengan Razif.

Ah, saat ini juga kisah pergaduhan aku dan Razif mula bermain-main di minda. Ku dapat membayangkan muka Razif yang gusar. Mana mungkin? Anak-anak dara Kampung Pisang Setandan tetap memilih Razif walaupun akulah yang menmpunyai six packs?

Katakan saja Razif, andai laut ini terbelah tujuh. Andai saja langit ini jatuh menjunam. Aku dan kau tak mungkin dapat dipisahkan!

Di kala minda makin dipenuhi memori bersama Razif, dadaku terasa semakin ketat. Seolah-olah bekalan oksigen ditahan dari melalui pembuluh darahku. Pandanganku makin kabur. Mulut tak mampu lagi berbicara. Hanya desingan berkumandang di telinga dan di saat itulah doktor Poji akhirnya bersuara perlahan,

"Chouji tak perlu risau, ini cuma peringkat awal kepada cardiac shock."

Ah, lega! Perkataan 'awal' sudah cukup menghentikan seribu kerisauanku.

Mungkin kerna melihat kegusaran pada raut mukaku, doktor Poji pon menghela nafas sambil menerangkan tentang "peringkat awal cardiac shock" ini.

"Kajian di Otago Medic School beberapa tahun yg lalu telah mendapati bahwa serangan penyakit jantung berpunca dari pengambilan pisang yg berlebihan. Serangan ini yang dipanggil ‘cardiac shock’ terbahagi kepada beberapa peringkat dan Chouji berada pada peringkat paling awal yg dikenali sebagai Cardiac Shake

Lagu Shake Shake Banana tidak henti bermain-main di telingaku.

Awak faham tak apa yang saya cakap ni?

Terus terhenti lamunanku seketika. Aku menggelengkan kepala untuk menghilangkan deruan lagu tersebut tetapi doktor Poji menyangka yang aku tidak faham dengan penerangannya yang panjang lebar itu.

Wajahnya serius. Seserius wajah Penghulu kampungku. Aku mula faham. Ini bukan perkara main-main.

Aku kaget. Apa lagi mampu aku bicarakan di saat ini? Semua sudah terang lagi bersuluh . . . memang pisang puncanya! Tunggulah pakcik penjual pisang goreng! Kerna pisangmu jantungku menderita.

Dan Razif. Kasihan Razif. Terpaksa keseorangan digilai himpunan anak-anak gadis kampung setelah ketiadaanku. Tetapi aku akur. Sudah takdir Maha Kuasa, aku dan Razip terpaksa berpisah . . .

Mungkin bahagia bukan milik kami berdua.


10 tahun kemudian...

Aku seperti tidak percaya apa yang aku lihat di dada akhbar hari ini.

'Dr. Shahimi Shahidan menang Hadiah Nobel dengan hasil kajian Pisang dan Cardiac Arrest.'

Akhirnya budak kampungku itu berjaya. Dan perasaanku bercampur baur melihat satu lagi berita tersisip di sudut kecil akhbar

‘Dr. Fauzi Ibrahim kembali ke Rahmatullah. Cardiac Shake sebagai punca.’

Inilah kuasa Allah. Kun fayakun. Aku yang diramalkan akan kembali ke RahmatNya tetapi kini masih berdiri tegar mengharungi hidup. Menghargai setiap detik kasih bersama isteriku tercinta setelah Razip menghilangkan diri bersama 10 anak gadis kampungku sedangkan doktor Poji yang memberi amaran kepadaku tentang bahaya pisang pula yang telah dijemput Yang Kuasa untuk kembali ke sisiNya dahulu. Dengan jalan memakan pisang juga.

Tapi aku. Aku dan isteriku, kami sentiasa bahgia memakan pisang setiap hari sebagai sumber tenaga dalam setiap hidangan. Syukur, ya Allah!



Sekian.



"Ya Allah! Sungguh aku kasih sekalian sahabat dan temanku di Wellington ini. Letakkanlah mereka semua di bawah naungan Rahmat dan PerlindunganMu, senantiasa. Dan jauhkanlah mereka dari bayangan Azab dan MurkaMu, senantiasa."