Showing posts with label kemaafan. Show all posts
Showing posts with label kemaafan. Show all posts

Monday, August 29, 2011

Catatan Akhir Ramadhan: Maaf Batin Zahir

Dengan nama Allah, Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.


Berakhir sudah peluang untuk berpesta ibadah seberlalunya Ramadhan, tetamu dan sahabat yang sentiasa dirindu dan dikasihi.

Kini tiba pula Syawal pengganti Ramadhan. Masa untuk bergembira dan meraikan kejayaan sepanjang Ramadhan lalu. Firman Allah Ta'ala,
"Wahai orang-orang beriman! Telah difardhukan puasa ke atas kamu sebagaimana telah difardhukan ke atas mereka sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa."
[al-Baqarah, 2:183]

Tujuan utama kefardhuan berpuasa ke atas orang-orang beriman, iaitu orang-orang yang meyakini sebenar yakin sepenuh hati bahawa Allah adalah Tuhan mereka dan segala yang diusahakan adalah untukNya, ialah untuk melatih mereka menjadi orang bertaqwa -- orang-orang yang mampu melindungi diri mereka dari Murka dan Azab Allah Ta'ala (lihat video berkenaan puasa oleh Brother Nouman Ali Khan di sini).

Mari muhasabah diri: Sudahkah kita menjadi orang bertaqwa, iaitu orang yang dapat melindungi dirinya dari Murka dan Azab Allah Ta'ala? Berjayakah Madrasah Tarbiyyah Ramadhan mendidik kita menjadi orang sebegini?

Berjaya atau tidak, itu antara anda (dan saya!) dengan Allah. Ramadhan tetap berlalu, Syawal tetap tiba. Jika berjaya mendidik diri tahun ini, alhamdulillah wa syukrillah. Jika tidak berjaya, doakan bertemu Ramadhan lagi tahun hadapan. Apa-apa pun, sambutlah Aidil Fitri yang menjelang tiba ini dengan kegembiraan. Tidak perlu terlalu bersedih sehingga mencacatkan suasana Syawal. Sebaliknya, isikan awal Syawal dengan takbir membesarkan Allah, itu Sunnah Rasul s.a.w.

Selamat menyambut 'Aidil Fitri. Maaf batin dan zahir. Moga semoga amalan baik kita diterima Allah. :')

Jadi.

Di kesempatan ini, saya ingin menyusun sepuluh jari dengan hati tulus ikhlas ingin memohon keampunan semua pihak andai ada mana-mana penulisan saya yang mungkin telah menyinggung perasaan mana-mana pihak dengan saya sedar atau tidak saya sedari.

Maaf batin, maaf zahir.

Maaf batin, andai ada terlintas apa-apa perasaan mazmumah (keji) di hati saya semasa menulis atau ketika melihat update status atau entri anda yang tidak pernah saya zahirkan.

Dan juga maaf zahir, andai ada antara tindakan, perbuatan, lafaz bicara dan penulisan saya yang terlanjur. Itu kelemahan saya, khilaf manusia biasa.

Paling penting, semoga Allah menerima semua amalan baik kita semua sepanjang Ramadhan kali ini dan di bulan-bulan mendatang. Taqabbalallahu minna wa minkum, ya Kareem!

Jangan terlalu excited buat persiapan raya itu ini tapi terlupa nak bertakbir membesarkan Allah dan pergi solat sunat hari raya!


Akhir kata, sambutlah ketibaan 'Aidil Fitri dengan perasaan gembira. Tetapi jangan dilupa pada yang tiada. Pada yang telah kembali menemui Pencipta, kirimkanlah doa kerana mereka menunggu (al-Fatihah buat mak tersayang. Din rindu mak!). Pada yang tiada di sisi, telefon kan ada? :')



"Ya Allah! Temukanlah kami lagi dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Ameen!"

Sunday, August 28, 2011

Catatan Ramadhan 7: Maafkan, Lepaskan

Dengan nama Allah, Penguasa Masa.


Bermula 14 Ogos lalu sehingga bermulanya cuti, 'anak-anak' saya di Tingkatan 5 mula menduduki peperiksaan percubaan SPM. Seperti kebiasaan, kertas Bahasa Inggeris diletakkan pada hari kedua iaitu hari Isnin, 15 Ogos yang lalu. Sebelum keluar dari kawasan asrama, beberapa pelajar putera datang mendapatkan saya untuk bersalaman dan meminta restu dan doa agar mudah menjawab subjek yang saya ajarkan pada mereka untuk kelas tambahan asrama.

Dan saya berdoa urusan mereka menjawab soalan dipermudahkan.

***

Pada malamnya, saya meluangkan masa bersama mereka di dewan makan seperti biasa sambil cuba menyiapkan kerja menanda buku latihan yang masih berbaki.

Seperti biasa juga, saya akan duduk semeja dengan sekumpulan pelajar Tingkatan 5 yang sedang mengulangkaji. Cuba membantu apa-apa yang saya mampu, itu niat saya. Tiba-tiba air muka salah seorang pelajar puteri yang duduk semeja dengan saya mula berubah. Airmata perlahan-lahan mengalir.

"Awat ni, F?" saya bertanya perlahan.

"Tadi saya tak dapat jawab soalan continuous essay. 50 markah hilang macam tu ja." F mengesat sedikit airmatanya.

"La . . . yaka. Habih tu, awat nampak sedih sangat ni?"

F kembali menangis. Saya mula berasa kurang selesa. Sudah tentulah tidak selesa: Lelaki mana yang dapat tahan dengan airmata? Apa jua masalah F, perlu segera diselesaikan. Jika tidak, subjek ujian percubaan esok hari sudah tentu berisiko.

"Cuba habaq mai kat sir awat F sedih sangat ni?"

"Dah la saya tak dapat jawab essay tu, pastu dok terpikiaq pulak pasai BI masa jawab Sejarah. Sejarah pun saya tak dapat jawab jugak. Huuu . . ."

Apa yang saya risaukan rupanya memang terjadi. Ada sesetengah orang yang apabila dilanda masalah, terlalu memikirkan masalah tersebut hinggakan mengundang masalah pada hal-hal lainnya.

"Saya habaq kat mak saya tadi, dia marah saya sebab cuai sangat. Lagi la saya sedih."

Saya bersimpati dengan F. Sudahlah sedih kerana tidak dapat menjawab soalan percubaan dengan baik, dimarahi pula kerana kecuaiannya itu. F masih menangis di hadapan saya. Matanya mula merah dibasahi airmata. Saya pun memujuk,

"Mak marah tanda sayang tu. Orang tua biasa la tu. Walaupun depa pernah jadi muda, kadang-kadang depa lupa macam mana jadi muda. Lain la macam sir ni. Sir kan baru 19 tahun?" saya berseloroh.

[Nota: Saya sudah berumur 24 tahun pada tahun ini tapi saya sering "menekankan" pada 'anak-anak' saya yang saya baru berusia 19 tahun supaya mereka tidak rasa jurang umur yang terlalu besar. Semestinyalah tidak ramai yang percaya walaupun ada juga yang percaya]

"Sir ni! Tak habih-habih dok ngaku 19, tak sedar diri dah tua!" bentak F yang mula tertawa. Saya hanya tersenyum. Sudah kenal hati budi mereka, sudah tahu bagaimana mengambil hati mereka.

"Haa, gelak dah pun! Tadi dok teriak, sir risau dewan makan ni banjir tau."

F tersipu malu walaupun sedang tertawa. Mukanya sedikit merah.

"Ni sir nak habaq satu cerita kat F. Nak dengaq? Kira selingan la sat sebelum F sambung study balik satgi. Okay dak?"

F mengangguk bersetuju. Saya mula menceritakan serba ringkas tentang kisah saya hampir-hampir bertunang tetapi tidak jadi apabila pihak perempuan berubah fikiran. F mendengar dengan penuh minat. Anak gadis mana yang tidak berminat mendengar kisah cinta?

"Mula-mula mintak putus tu, sir tak dapat terima. Marah ada, geram ada. Emosi bercampur baur. Tapi sir teringat pesanan seorang professor berbangsa Yahudi* tentang perasaan."

"Apa pesanan dia, sir?" tanya F.

"Professor tu pesan, setiap perasaan yang kita rasa kita kena terima dan rasa. Kenali perasaan tu, kemudian lepaskan perasaan tu. Jangan disimpan."

"Pasaipa?"

"Supaya bila kita bertemu lagi perasaan atau emosi yang sama di masa hadapan, kita akan mudah melepaskan. Ingat lagi dak sir pernah cerita pasal masa sir terima berita arwah mak sir meninggai masa sir di NZ dulu?"

F mengangguk.

"Masa tu sir ada satu jenis undefined feelings. Sedih sebab arwah meninggai tapi ada perasaan lain yang sir tak dapat tafsirkan. Dengan bantuan seorang sahabat, baru sir dapat kenalpasti rupanya emosi itu adalah rasa terkilan (klik sini untuk entri berkenaan). Alhamdulillah, la ni kalau sir rasa terkilan sebab apa-apa pun, sir akan tegur perasaan terkilan tu dan kemudian pesan pada diri sir, 'Ini rasa terkilan. Aku tau macam mana rasa dia dan kesan buruk dia pada aku' dan sir pun akan lepaskan perasaan tu pergi. Tak simpan."

"Tapi macam mana nak buat macam tu, sir? Saya cukup susah nak lupakan. Tambah pulak bila ada orang di sekeliling yang mengingatkan," soal F kebingungan.

"Of course, easier said than done tapi tak mustahil. Kena selalu latih diri. Langkah pertamanya mudah: Maafkan."

Saya menyimpul senyum. Muka F ada tanda tanya.

"Maafkan; pertama sekali, diri sendiri. Keduanya, sesiapa atau apa-apa yang terlibat. Bila kita mampu maafkan diri sendiri, insyaAllah barulah fikiran kita akan tenang. Bila fikiran kita tenang, baru kita dapat kenalpasti emosi dan seterusnya merasai emosi tu sebelum kita lepaskan ia pergi."

"Ooo . . . macam tu. Faham dah kot."

"Alhamdulillah."

*Morrie Schwartz dalam Tuesdays With Morrie nukilan Mitch Albom.

Buku yang banyak mengajar saya. Alhamdulillah. :')

Perbualan kami tidak tamat di situ. Sebelum menyambung ulangkaji, F berkata kepada saya:

"Thank you, sir. Dah rasa lega dah. Mujuq sir ada."

"Itu semua aturan Allah. Dia selalu pujuk sir bila sir ada masalah, jadi Dia jadikan sir sebagai medium untuk pujuk F pulak bila F ada masalah. Allah kan Perancang Terbaik?"

"Tapi kan sir, kalau sir takdak nanti macam mana pulak? Kat sapa saya nak mintak tolong?"

"F kena ingat. Kebergantungan kita mesti hanya pada Allah. Allah yang atur supaya sir tolong F hari ni. Jadi F ingat ni: Bila diri kita dilanda musibah, carilah Allah. Dia sentiasa ada untuk kita. Kalau mahu bercakap dengan Dia, kita solat. Kalau mahu mendengar pujukanNya, bacalah KalamNya. InsyaAllah bila kita letakkan 100% kebergantungan kita padaNya, Allah takkan sekali-kali hampakan kita. Faham dak?"

"Oops. sorry sir. Lepas ni kebergantungan mesti hanya pada Allah semata-mata!"

"Alhamdulillah. Dah, pi sambung ulangkaji nu."

F mengangguk dan kembali menyelak lembaran buku rujukan yang berada di hadapannya.



"Allahumma arinal haqqan haqqa, wa arinal baathilan baathila. Ameen, ya Kareem!"