Showing posts with label madrasah Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label madrasah Ramadhan. Show all posts

Friday, August 5, 2011

Catatan Ramadhan 3: Ujian Allah

Dengan nama Allah, sebaik-baik Perancang.


Dua malam lepas, seperti biasa, saya berbuka puasa di dewan makan asrama bersama para pelajar. Seperti biasa juga, saya akan duduk semeja dengan beberapa warden yang lain. Dan semalam, seorang warden perempuan bercerita,

Warden perempuan (WP): Tadi laki (suami) saya kena rompak masa naik teksi.
Saya: Sorry to hear about that.
Warden lelaki 1 (WL1): Ish, ish. Bila kena rompak tu?
WP: Dia dalam perjalanan nak pi Makkah* untuk berbuka puasa, kena rompak sekitar waktu Zuhur camtu.
Warden lelaki 2: Macam mana boleh jadi?
WP: Dia naik teksi. Rompakan dalam teksi.
Saya: Uish, macam mana tu?
WP: Laki saya naik dengan lagi 2 orang lain -- sorang dok sebelah pemandu, sorang lagi kat belakang dengan dia. Depa cakap Urdu. Kalau cakap Arab, laki saya gagah-gagah la paham jugak rancangan jahat depa tu. On the way nak ke Makkah tu, teksi tu berenti. Driver ugut mintak duit, lepas tu suruh laki saya keluaq bawak luggage dia. Penumpang kat belakang tu mula-mula keluaq sekali tapi naik balik sebelum teksi tu jalan.
WL2: Hurm. Mesti tu rakan subahat depa. Banyak mana duit kena rompak?
WP: Laki saya bawak 1500 duit Saudi, 1500 duit Malaysia dan ada la sikit lagi dalam poket baju. Tapi perompak cuma ambik duit Malaysia ja.
WL1: Takpa la, sekurang-kurangnya tak jadi apa kat dia. Alhamdulillah.
Saya dan WL2: Betui tu. Alhamdulillah . . .
WP: Alhamdulillah. Tapi tak tau la pasai pa. Masa tu, laki saya blur semacam. Langsung tak melawan tak apa. Dia diam dan redha ja. Macam kena pukau, tapi dia pasti tak kena pukau sebab dia sedaq semua yang berlaku masa tu.
WL1: Nasib baik dia tak melawan, kalau dak tak tau la apa jadi . . .
Saya: Owh, yaka . . . so dia pi Makkah dak lepas tu?
WP: Dia pi jugak. Sebab niat asal memang nak ke Makkah. Sampai ja Makkah, dia terus call. Phone baru dia pun kena rompak jugak. Tak boleh dah nak Skype sama-sama . . . T_T

*suami warden perempuan tersebut bekerja dengan MAS di Arab Saudi. Harap maklum.

Anda pernah dirompak?

Okay, biar saya hentikan di sini catatan perbualan di atas.

Baca perbualan di atas dengan tenang. Apa pendapat anda?

Pendapat saya mudah: Ini ujian Allah kepada suami warden tadi. Ujian Ramadhan. Ujian keteguhan Iman sama ada beliau benar-benar tetap pendirian mahu ke Makkah yang sangat Allah berkati. Dan kerana beliau mempunyai niat yang suci dan bersih mahu menziarahi Rumah Allah, maka Allah pelihara beliau dari bahaya yang lebih besar (diapa-apakan) dan digantikan dengan musibah yang lebih kecil (sekadar dirompak). Maha Suci Allah.

Itu sekadar pendapat saya. Pendapat anda pula bagaimana? Setuju? Tidak setuju? Kongsikan di sini andai sudi. Terima kasih. :')




"Ya Allah! Berikanlah kekuatan kepada kami untuk sentiasa istiqamah atas JalanMu dengan hati yang tulus dan ikhlas. Ameen."

Tuesday, August 2, 2011

Catatan Ramadhan 1: Madrasah Ramadhan

Dengan nama Allah, sebaik-baik Perancang.


Alhamdulillah, syukur sangat ke hadrat Allah Ta'ala kerana Dia masih memberi peluang kepada saya untuk bertemu Ramadhan Mubarak, tetamu istimewa yang dinanti-nanti penuh rasa debaran saban tahun. Debaran makin terasa setiap kali hampirnya tetamu ini kerana bimbang tidak ketemu. Bila sudah bertemu, bimbang pula andai Ramadhan kali ini tersia-siakan.

Ah, susah pula macam tu! Rindu ketemu, takut pula bila sudah bertemu.

Malam pertama menunaikan solat sunat Tarawih, entah kenapa saya seakan kurang khusyuk. Solat sunat witir berjamaah pun saya tinggalkan sedangkan solat sunat witir paling dituntut ditunaikan secara berjamaah di bulan mulia ini berbanding bulan-bulan lain yang lebih baik ditunaikan sendirian -- mungkin kerana tubuh yang agak keletihan usai Kem Kepimpinan Pengawas Asrama (insyaAllah, akan saya kongsi pengalaman ini bila ada masa terluang nanti). Mungkin juga kerana tekak yang masih kesakitan belum bertemu penyembuhan. Tetapi semua itu seperti alasan kerana khusyuk sebenar patut datang dari hati walaupun fizikal serba kekurangan.

Mengenangkan hal ini, rasa sebak di hati dan menitis air mata ketika menunaikan solat-solat sunat semasa qiyam sebelum sahur. Lemah sungguh diri ini, ya Allah! Excited sangat bila Ramadhan dah dekat, tapi acuh tak acuh dan masih belum bersedia bila tetamu istimewa ini sudah tiba . . .

Tapi saya masih terlalu bersyukur kerana memberikan kekuatan yang lebih dari hari-hari biasa untuk membaca KalamNya sehinggakan mampu fokus selama lebih satu jam hatta berada dalam bas yang sedang bergerak yang biasanya menjadi tempat tidur sahaja. Dan tidak lama tadi, alhamdulillah, saya dapat menunaikan solat Tarawih malam kedua secara berjamaah di Surau al-Hidayah SMKDSA.

Semasa sesi Tarawih tadi, ustaz yang ditunggu tidak kunjung tiba dan seorang pelajar yang juga ketua Biro Kerohanian Asrama lantas mengimamkan solat sunat itu. Solat tersebut turut dihadiri pengetua dan saya hanya berdiam di saf makmum selaku pemerhati. Memberi peluang kepada generasi muda mendidik diri, bisik hati saya.

Pelajar tadi agak ambitious dan mahu menunaikan 20 rakaat Tarawih berjamaah sedangkan majoriti makmum tidak bersetuju malahan ditegur pengetua supaya menunaikan hanya 8 rakaat supaya ada masa diluangkan untuk mengulangkaji pelajaran. Merebut peluang dalam Ramadhan memang dituntut, tetapi tanggungjawab diri perlu dijaga juga!

Usai solat, saya merapati pelajar tersebut dan berbisik,

"Sir ada cadangan sikit pasai solat Tarawih kita kalau ustaz tak mai macam tadi."

"Apadia, sir?" pelajar itu bertanya.

"Pertama, sir cadangkan kita rancang solat kita. Pastikan makmum tahu dan redha dengan plan kita. Macam tadi tu, makmum tak setuju buat 20 rakaat dan agak berterabur belah puteri masa Witir satu rakaat sebab depa tak tau masa tu buat Witir. Mungkin boleh buat taklimat ringkas kaifiat sebelum mulakan solat."

Pelajar tersebut mengangguk.

"Keduanya, sir cadangkan kita pentingkan kualiti daripada kuantiti. Biaq la solat 8 rakaat ja tapi ada khusyuk, dan imam baca ayat Quran panjang-panjang sikit daripada baca ayat lazim ja. Nanti kita boh stand untuk letak Quran besaq depan imam, boleh la baca satu page setiap rakaat. Lagi satu, sir cadangkan rehat 5 minit antara 8 rakaat Tarawih tu. Boleh la buat isi dengan tazkirah ka, sebab tadi ramai complaint kat sir yang depa tak khusyuk sebab kalut. Nak pi toilet pun tak dan, takut miss Tarawih jamaah."

Pelajar tersebut mengangguk lagi. Saya tersentak dengan nasihat sendiri tentang khusyuk dalam solat. Saya menyambung,

"Akhir sekali, sir cadangkan kita ada dua imam -- sorang imamkan Isyak dan 4 rakaat pertama Tarawih kemudian tukaq imam lain untuk selesaikan baki 4 rakaat dan 3 rakaat Witir. Sebab tadi sir perasan yang kamu 'tersasul' ayat dari surah 'Alaq ke dalam surah Humazah. Mesti kamu penat kan? Lagi satu, dengan cara ni kita boleh latih orang lain sama sebagai imam. Setuju dak cadangan-cadangan sir ni?"

Pelajar tersebut mengangguk lagi menyatakan rasa setujunya dan mengucapkan terima kasih,

Bila saya duduk sendirian selepas bermesra dengan beberapa orang pelajar putera Tingkatan 1 selepas moreh ringkas, saya muhasabah kembali pertalian antara tidak khusyuk saya pada malam pertama Tarawih dan kejadian yang berlaku di malam keduanya. Apa signifikan keduanya?

Ramadhan adalah Madrasah milik Allah untuk mengajar kita erti istiqamah


Lama saya berfikir menanti hadirnya lelap dan ini jawapan yang hadir dalam kotak fikiran saya: Ramadhan adalah Madrasah milik Allah. Dia sedang mengajar saya kepentingan memperbaiki amalan sedikit demi sedikit dan kemudiannya beristiqamah dengan amalan-amalan tersebut sepanjang bulan mulia ini. Allah tidak memandang hasil tetapi yang dipandangNya adalah usaha. Jadi, bukan banyak mana amalan dilakukan yang perlu kita risaukan tetapi kualiti dan istiqamah melakukannya (walaupun sedikit) yang perlu dititikberatkan.

Alhamdulillah, syukur kerana Allah memilih untuk menghadiri MadrasahNya pada tahun ini. Jom tingkatkan kualiti ibadah kita dan kemudian beristiqamah!



"Allahumma tsabbit 'anna quluubana wa aqdaamana 'ala deenik. Ameen."