Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Monday, August 29, 2011

Catatan Akhir Ramadhan: Maaf Batin Zahir

Dengan nama Allah, Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.


Berakhir sudah peluang untuk berpesta ibadah seberlalunya Ramadhan, tetamu dan sahabat yang sentiasa dirindu dan dikasihi.

Kini tiba pula Syawal pengganti Ramadhan. Masa untuk bergembira dan meraikan kejayaan sepanjang Ramadhan lalu. Firman Allah Ta'ala,
"Wahai orang-orang beriman! Telah difardhukan puasa ke atas kamu sebagaimana telah difardhukan ke atas mereka sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa."
[al-Baqarah, 2:183]

Tujuan utama kefardhuan berpuasa ke atas orang-orang beriman, iaitu orang-orang yang meyakini sebenar yakin sepenuh hati bahawa Allah adalah Tuhan mereka dan segala yang diusahakan adalah untukNya, ialah untuk melatih mereka menjadi orang bertaqwa -- orang-orang yang mampu melindungi diri mereka dari Murka dan Azab Allah Ta'ala (lihat video berkenaan puasa oleh Brother Nouman Ali Khan di sini).

Mari muhasabah diri: Sudahkah kita menjadi orang bertaqwa, iaitu orang yang dapat melindungi dirinya dari Murka dan Azab Allah Ta'ala? Berjayakah Madrasah Tarbiyyah Ramadhan mendidik kita menjadi orang sebegini?

Berjaya atau tidak, itu antara anda (dan saya!) dengan Allah. Ramadhan tetap berlalu, Syawal tetap tiba. Jika berjaya mendidik diri tahun ini, alhamdulillah wa syukrillah. Jika tidak berjaya, doakan bertemu Ramadhan lagi tahun hadapan. Apa-apa pun, sambutlah Aidil Fitri yang menjelang tiba ini dengan kegembiraan. Tidak perlu terlalu bersedih sehingga mencacatkan suasana Syawal. Sebaliknya, isikan awal Syawal dengan takbir membesarkan Allah, itu Sunnah Rasul s.a.w.

Selamat menyambut 'Aidil Fitri. Maaf batin dan zahir. Moga semoga amalan baik kita diterima Allah. :')

Jadi.

Di kesempatan ini, saya ingin menyusun sepuluh jari dengan hati tulus ikhlas ingin memohon keampunan semua pihak andai ada mana-mana penulisan saya yang mungkin telah menyinggung perasaan mana-mana pihak dengan saya sedar atau tidak saya sedari.

Maaf batin, maaf zahir.

Maaf batin, andai ada terlintas apa-apa perasaan mazmumah (keji) di hati saya semasa menulis atau ketika melihat update status atau entri anda yang tidak pernah saya zahirkan.

Dan juga maaf zahir, andai ada antara tindakan, perbuatan, lafaz bicara dan penulisan saya yang terlanjur. Itu kelemahan saya, khilaf manusia biasa.

Paling penting, semoga Allah menerima semua amalan baik kita semua sepanjang Ramadhan kali ini dan di bulan-bulan mendatang. Taqabbalallahu minna wa minkum, ya Kareem!

Jangan terlalu excited buat persiapan raya itu ini tapi terlupa nak bertakbir membesarkan Allah dan pergi solat sunat hari raya!


Akhir kata, sambutlah ketibaan 'Aidil Fitri dengan perasaan gembira. Tetapi jangan dilupa pada yang tiada. Pada yang telah kembali menemui Pencipta, kirimkanlah doa kerana mereka menunggu (al-Fatihah buat mak tersayang. Din rindu mak!). Pada yang tiada di sisi, telefon kan ada? :')



"Ya Allah! Temukanlah kami lagi dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Ameen!"

Catatan Ramadhan 9: Budayakan Al-Quran

Dengan nama Allah, Pengarang Agung.


Shahrur Ramadhan, huwa Shahrul Quran.

Bulan Ramadhan adalah Bulan al-Quran. Padanya diturunkan al-Quran, dan padanya jua ada keberkatan untuk mempelajari dan menghayati Kalamullah ini.

Tetapi bagaimana caranya mendidik diri mencintai al-Quran?

Sebelum menjawab soalan tersebut, saya ingin kongsikan status seorang sahabat di Facebook:

"Take your son to NASA and on the way home he'll tell you that he wants to be an astronaut when he grows up. Take your daughter to the zoo and now she wants to be a veterinarian. Same thing goes for sports and athletes. So if we want our children to develop a love for the Quran and knowledge in general and aspire to be students of sacred knowledge, then we have to introduce them to it. InshaAllah no time better than the present, use this Ramadhan and Tarawih wisely." -Abdul Nasir Jangda

There. Jawapan saya ada dalam quote di atas ini.

Bagaimana?

Mulalah dari awal.

Jika mendidik anak, mulakan dari semenjak mereka kecil. Pupuk minat mereka ke arah mencintai al-Quran. Budayakan al-Quran itu agar menjadi rutin mereka, yang mana akan rasa tak senang duduk jika tak baca sehari. Ada orang tak baca suratkhabar satu hari sudah tak senang duduk. Kenapa bukan macam tu dengan al-Quran?

Kerana mereka ini belum membudayakan al-Quran.


Al-Quran itu cahaya. Sematkan ia di hati. Jadikannya rutin, budayakan al-Quran dalam kehidupan sehari-hari


Jadi, adakah sudah terlambat untuk kita yang sudah dewasa dan mungkin sudah meniti usia senja?

Jawapannya tidak, masih belum lagi terlambat. Izinkan saya berkongsi sedikit pengalaman di sini.

Semasa saya masih di bangku sekolah rendah, arwah mak saya telah didik saya untuk mencintai al-Quran. Bagaimana? Dengan menunjukkan teladan yang baik. Beliau bukanlah ustazah mahupun orang yang serba serbi pandai berkenaan ilmu agama mahupun ilmu Quran. Beliau hanyalah wanita biasa tetapi keinginan dan kecintaannya pada ilmu telah memberi inspirasi mendalam pada saya yang mulai nampak keindahan ilmu pada hari ini.

Kenangan paling manis adalah pada setiap kali tibanya Ramadhan. Menjelang malam 1 Ramadhan, arwah mak saya akan memastikan anak-anaknya pergi bersama-sama untuk menunaikan solat Tarawih berjamaah di surau (malahan, saya juga telah dididik untuk sentiasa pergi ke surau untuk bersolat jamaah setiap kali terdengar laungan azan seawal umur 7 tahun. Tak kiralah apa jua yang sedang dilakukan, beliau akan memaksa saya berhenti segera dan mendahulukan solat. Dulu saya masih kecil dan sering mempersoalkan malah merungut dengan tindakan beliau tetapi kini saya sangat bersyukur dengan usaha beliau. Terima kasih mak!). Pulang dari surau, saya akan 'berlumba' dengan arwah mak untuk menghabiskan 1 juzuk al-Quran pada setiap malam. Terasa kemanisan bertilawah apabila ada persaingan sebegitu. Kini saya khatam sendirian setiap tahun, mudah-mudahan Allah temukan 'pesaing ganti' untuk kembali menghidupkan keceriaan tilawah Quran di malam-malam Ramadhan akan datang. Ameen.

Ini secebis pengalaman saya serba ringkas. Dari kisah ini, dapat kita lihat cara mendidik insan mencintai Kalamullah tanpa mengira umur. 

Tidak sukar.

Yang paling penting adalah keinginan. Kemampuan itu urusan Allah. Bila mahu, Dia akan berikan kita kekuatan. Seperti arwah mak saya: Walaupun membaca al-Quran dengan penuh susah payah supaya dapat tilawah dengan tajwid yang betul, Allah beri dia kekuatan untuk terus membaca dan terus membaca.

Jadi apa lagi alasan kita?

Pasang niat dan sematkan keinginan bermula sekarang. Jangan bertangguh. Agak sukar untuk sendirian, jadi carilah teman supaya ada sedikit rasa persaingan di situ. Persaingan menuju Mardhatillah adalah persaingan yang sihat. Ini cuma langkah awal. Bila dah biasa, tak perlu lagi rasa persaingan itu. Kerana insyaAllah, sudah mampu mengecap halawatul Iman (kemanisan Iman).

Ramadhan masih berbaki satu hari, gunakannya. Andai Ramadhan telah berlalu pergi, istiqamahlah. Ramadhankan hari-hari kita yang mendatang seberlalunya Ramadhan. Mudah-mudahan al-Quran dapat dibudayakan dalam hidup kita sehari-hari, insyaAllah.

Taqabballahu minna, wa minkum.



"Allahummarhamna bil Quran. Waj'alhulana imaama wanuura wahuda warahmah."

Tuesday, August 2, 2011

Catatan Ramadhan 1: Madrasah Ramadhan

Dengan nama Allah, sebaik-baik Perancang.


Alhamdulillah, syukur sangat ke hadrat Allah Ta'ala kerana Dia masih memberi peluang kepada saya untuk bertemu Ramadhan Mubarak, tetamu istimewa yang dinanti-nanti penuh rasa debaran saban tahun. Debaran makin terasa setiap kali hampirnya tetamu ini kerana bimbang tidak ketemu. Bila sudah bertemu, bimbang pula andai Ramadhan kali ini tersia-siakan.

Ah, susah pula macam tu! Rindu ketemu, takut pula bila sudah bertemu.

Malam pertama menunaikan solat sunat Tarawih, entah kenapa saya seakan kurang khusyuk. Solat sunat witir berjamaah pun saya tinggalkan sedangkan solat sunat witir paling dituntut ditunaikan secara berjamaah di bulan mulia ini berbanding bulan-bulan lain yang lebih baik ditunaikan sendirian -- mungkin kerana tubuh yang agak keletihan usai Kem Kepimpinan Pengawas Asrama (insyaAllah, akan saya kongsi pengalaman ini bila ada masa terluang nanti). Mungkin juga kerana tekak yang masih kesakitan belum bertemu penyembuhan. Tetapi semua itu seperti alasan kerana khusyuk sebenar patut datang dari hati walaupun fizikal serba kekurangan.

Mengenangkan hal ini, rasa sebak di hati dan menitis air mata ketika menunaikan solat-solat sunat semasa qiyam sebelum sahur. Lemah sungguh diri ini, ya Allah! Excited sangat bila Ramadhan dah dekat, tapi acuh tak acuh dan masih belum bersedia bila tetamu istimewa ini sudah tiba . . .

Tapi saya masih terlalu bersyukur kerana memberikan kekuatan yang lebih dari hari-hari biasa untuk membaca KalamNya sehinggakan mampu fokus selama lebih satu jam hatta berada dalam bas yang sedang bergerak yang biasanya menjadi tempat tidur sahaja. Dan tidak lama tadi, alhamdulillah, saya dapat menunaikan solat Tarawih malam kedua secara berjamaah di Surau al-Hidayah SMKDSA.

Semasa sesi Tarawih tadi, ustaz yang ditunggu tidak kunjung tiba dan seorang pelajar yang juga ketua Biro Kerohanian Asrama lantas mengimamkan solat sunat itu. Solat tersebut turut dihadiri pengetua dan saya hanya berdiam di saf makmum selaku pemerhati. Memberi peluang kepada generasi muda mendidik diri, bisik hati saya.

Pelajar tadi agak ambitious dan mahu menunaikan 20 rakaat Tarawih berjamaah sedangkan majoriti makmum tidak bersetuju malahan ditegur pengetua supaya menunaikan hanya 8 rakaat supaya ada masa diluangkan untuk mengulangkaji pelajaran. Merebut peluang dalam Ramadhan memang dituntut, tetapi tanggungjawab diri perlu dijaga juga!

Usai solat, saya merapati pelajar tersebut dan berbisik,

"Sir ada cadangan sikit pasai solat Tarawih kita kalau ustaz tak mai macam tadi."

"Apadia, sir?" pelajar itu bertanya.

"Pertama, sir cadangkan kita rancang solat kita. Pastikan makmum tahu dan redha dengan plan kita. Macam tadi tu, makmum tak setuju buat 20 rakaat dan agak berterabur belah puteri masa Witir satu rakaat sebab depa tak tau masa tu buat Witir. Mungkin boleh buat taklimat ringkas kaifiat sebelum mulakan solat."

Pelajar tersebut mengangguk.

"Keduanya, sir cadangkan kita pentingkan kualiti daripada kuantiti. Biaq la solat 8 rakaat ja tapi ada khusyuk, dan imam baca ayat Quran panjang-panjang sikit daripada baca ayat lazim ja. Nanti kita boh stand untuk letak Quran besaq depan imam, boleh la baca satu page setiap rakaat. Lagi satu, sir cadangkan rehat 5 minit antara 8 rakaat Tarawih tu. Boleh la buat isi dengan tazkirah ka, sebab tadi ramai complaint kat sir yang depa tak khusyuk sebab kalut. Nak pi toilet pun tak dan, takut miss Tarawih jamaah."

Pelajar tersebut mengangguk lagi. Saya tersentak dengan nasihat sendiri tentang khusyuk dalam solat. Saya menyambung,

"Akhir sekali, sir cadangkan kita ada dua imam -- sorang imamkan Isyak dan 4 rakaat pertama Tarawih kemudian tukaq imam lain untuk selesaikan baki 4 rakaat dan 3 rakaat Witir. Sebab tadi sir perasan yang kamu 'tersasul' ayat dari surah 'Alaq ke dalam surah Humazah. Mesti kamu penat kan? Lagi satu, dengan cara ni kita boleh latih orang lain sama sebagai imam. Setuju dak cadangan-cadangan sir ni?"

Pelajar tersebut mengangguk lagi menyatakan rasa setujunya dan mengucapkan terima kasih,

Bila saya duduk sendirian selepas bermesra dengan beberapa orang pelajar putera Tingkatan 1 selepas moreh ringkas, saya muhasabah kembali pertalian antara tidak khusyuk saya pada malam pertama Tarawih dan kejadian yang berlaku di malam keduanya. Apa signifikan keduanya?

Ramadhan adalah Madrasah milik Allah untuk mengajar kita erti istiqamah


Lama saya berfikir menanti hadirnya lelap dan ini jawapan yang hadir dalam kotak fikiran saya: Ramadhan adalah Madrasah milik Allah. Dia sedang mengajar saya kepentingan memperbaiki amalan sedikit demi sedikit dan kemudiannya beristiqamah dengan amalan-amalan tersebut sepanjang bulan mulia ini. Allah tidak memandang hasil tetapi yang dipandangNya adalah usaha. Jadi, bukan banyak mana amalan dilakukan yang perlu kita risaukan tetapi kualiti dan istiqamah melakukannya (walaupun sedikit) yang perlu dititikberatkan.

Alhamdulillah, syukur kerana Allah memilih untuk menghadiri MadrasahNya pada tahun ini. Jom tingkatkan kualiti ibadah kita dan kemudian beristiqamah!



"Allahumma tsabbit 'anna quluubana wa aqdaamana 'ala deenik. Ameen."

Wednesday, August 11, 2010

Sempena Ramadhan Ini

Dengan nama Allah yang Maha Pengampun.


Alhamdulillah, dengan limpah Rahmat dan KurniaNya, kita masih diberi peluang untuk bertemu dengan bulan keampunan penuh keberkatan iaitu Ramadhan Mubarak pada tahun ini.

Dan bersempena dengan kedatangan Ramadhan ini juga, saya Hafizuddin bin Yahaya, ingin memohon maaf dengan setulus hati yang ikhlas kepada sekalian rakan, saudara dan saudari pembaca -- yang saya kenali atau tidak kenali -- atas sebarang kesilapan atau kelemahan saya sepanjang saya menulis di laman blog ini, terutamanya jika saya ada menyinggung atau menyakiti perasaan mana-mana pihak secara sedar mahupun secara tidak sedar.

Dan saya juga ingin mengambil peluang ini untuk menadah tangan melafaz syukur dan berdoa ke hadrat Yang Maha Kuasa supaya memberi kesempatan dan kelapangan kepada kita semua agar dapat memanfaatkan Ramadhan kali ini dengan sebaik mungkin, insyaAllah.

Mudah-mudahan Ramadhan kali ini lebih baik dan bermakna dari tahun-tahun yang lalu, insyaAllah. :')

Semoga Ramadhan kali ini lebih baik buat kita semua dan terisi dengan pelbagai amalan kebajikan yang tidak putus, dan menjadi Madrasah Ramadhan yang dapat mendidik hati, jiwa dan diri kita semua untuk menjadi Muslim yang lebih baik lagi di masa akan datang. InsyaAllah!



"Ya Allah! Lafaz syukurku ke hadratMu kerana masih memberi peluang untukku bertemu kekasih yang dinanti ini. Dan semoga Engkau memudahkanku untuk memanfaatkan Ramadhan Mubarak kali dengan sebaik mungkin, lebih baik lagi dari tahun-tahun yang telah lepas."

Monday, August 9, 2010

Allahumma Balighna Ramadhan II

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih.


Beberapa hari sahaja lagi sebelum menjelangnya Ramadhan Mubarak. Sesudah 2 tahun menyambutnya di New Zealand, tahun ini saya akan menyambut kedatangan Ramadhan di tanahair sendiri.

Ahlan wasahlan, ya Ramadhan!

Sungguh daku rindu pada Ramadhan. Hati melonjak riang kerana tak sabar nak bertemu. Juga rasa berdebar kerana risau hajat bertemu tak kesampaian kerana ajal itu rahsia Allah dan tiada dari kita yang tahu sama ada kita sempat bertemu Ramadhan tahun ini atau tidak. Saya masih ingat yang Allahyarham Ustaz Asri, vokalis utama kumpulan nasheed Rabbani, telah dijemput Allah ke sisiNya hanya beberapa hari sebelum tibanya Ramadhan. Itu kisah orang yang banyak amalan dan perjuangannya sebagai sumbangan kepada Islam. Andai Izrail datang menjemput diri kita sekarang, sanggupkah?

Jika bertanya diri sendiri, saya akan menjawab saya masih belum bersedia. Mungkin lebih tepat lagi, saya kurang rela sekarang. Hanya beberapa hari sahaja sebelum tibanya kekasih yang ditunggu, yang hanya kunjung tiba setahun sekali. Harap mohon diberi peluang bertemu.

"Allahumma balighna Ramadhan!"

"Ya Tuhan kami! Temukanlah kami dengan Ramadhan."

Ini doa saya setiap kali hati teringat pada Ramadhan. Sungguh, Allah Ta'ala yang menentukan segalanya tetapi menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa merancang dan memohon bantuanNya. Allah tidak membantu mereka yang tidak membantu diri mereka sendiri. Bukankah begitu?

Dan setiap kali saya teringat pada Ramadhan, setiap kali itu juga hati rasa sedih mengenangkan Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas telah disia-siakan tanpa diisi dengan sebanyak amalan yang mungkin. Jadi beberapa hari yang lalu, saya telah sediakan satu personal checklist untuk Ramadhan kali ini. Hampir sama dengan checklist tahun-tahun lalu, cuma dengan sedikit perubahan.

Dengan blog ini sebagai saksi, saya berjanji kepada diri sendiri untuk memenuhkan Ramadhan kali ini dengan:

1) Usaha membaca al-Quran sebanyak mungkin. Sebolehnya satu juzuk pada setiap malam sebagai bacaan utama, dan menyambung bacaan yang biasanya dilakukan setiap hari.
2) Berusaha untuk tidak tertinggal Tarawih berjamaah. Sekurang-kurangnya 8 rakaat Tarawih. Andai di NZ dulu selalu terlepas Tarawih berjamaah kerana bekerja pada waktu malam, tahun ini tiada alasan lagi. Sakit dan lesson plan itu cuma alasan.
3) Menjaga mulut dan hati dari perasaan mazmumah sesama insan, di samping menerapkan nilai-nilai murni dalam pengajaran di kelas setiap hari.
4) Melakukan amalan-amalan sunat seperti bersedeqah dan lain-lain dengan kadar yang lebih banyak.

Ya, memang banyak lagi amal ibadah lain tetapi ini adalah amalan-amalan yang telah biasa saya lakukan sedari kecil hasil didikan ibu bapa.

Antara amalan-amalan digalakkan dan patut dielakkan semasa Ramadhan. :')

Islam adalah agama yang syumul, tidak hanya terbatas bila di dalam masjid atau ketika berbaju Melayu atau ketika di bulan Ramadhan sahaja. Tetapi untuk dijadikan sebagai gaya hidup atau lifestyle, dan Ramadhan adalah platform untuk melatih diri bagi tujuan itu.

Jadi marilah kita sama-sama berusaha untuk memanfaatkan Ramadhan kali ini andai kita masih berpeluang agar kita sentiasa bersedia andai Izrail datang menjemput. Dan sentiasalah berdoa agar diberi peluang bertemu Ramadhan. Allahumma balighna Ramadhan, ya Allah!






"Ya Allah! Berikanlah kami peluang bertemu Ramadhan kali ini agar kami bisa melatih diri kami untuk menjadi Muslim yang lebih baik setiap hari."

Saturday, September 19, 2009

Aku Saaaayang Dia!

Masa aku kecik dulu, abah aku hantar aku pegi Sekolah Agama Rakyat (SAR) Tasek Gelugor belakang tapak perkuburan Islam setentang SK Tasek Gelugor. Masa aku kat SAR tue, aku suka sangat pinjam buku-buku cerita agama yang tajuk-tajuknya biasanya bermula dengan "XX Kisah ..." (XX merujuk kepada bilangan nombol, e.g. 66, 99 and so on) dari perpustakaan sekolah. Ustazah yang jaga library tue memang da kenal muka aku, syiap bagi kelonggaraan untuk lewat pulangkan buku kadang-kadang tue. Ehehe~ :'D

Dari salah satu buku-buku cerita tue, ada satu kisah teladan yang paaaaling aku suke. Aku da tak ingat sumber tapi aku masih ingat summary kisah tue. Ini la yang aku nak kongsi kat sini. :'D


Dikatakan, selepas semua manusia habis dihisab maka akan diazablah mereka yang membuat dosa dan kerosakan di muka bumi semasa hidup mereka. Setiap individu akan diazab dalam tempoh tertentu bergantung kepada berapa berat dosanya. Mereka yang punya amalan kebaikan walaupon berdosa, akan tetap dimasukkan ke Syurga selepas diazab tetapi dengan cop mohor di dahi sebagai bekas penghuni Neraka.

Dikatakan di akhirat nanti, akan berlaku satu peristiwa tentang manusia terakhir yang akan memasuki Syurga setelah diazab di Neraka. Manusia ini, setelah sudah cukup hisab azab yang setimpal dengan dosanya di dunia lalu ia dikeluarkanlah dari Neraka itu. Dia dibiarkan keseorang di hadapan pintu Neraka. Terasa bahang kepanasan Neraka, manusia itu berdoa:

"Ya Allah! Telah lama aku diazab di dalam nerakaMu. Aku malu kerna aku insan berdosa. Tetapi, dengan rahmatMu aku pohon andai Engkau bisa menjauhkan aku sedikit dari bahang panasnya NerakaMu ini."

Allah berfirman:

"Wahai hambaKu. Benar tempoh azabmu sudah tamat. Maka aku kurniakan permintaanmu itu."

Lalu Allah menggerakkan insan jauh dari NerakaNya sehingga tidak lagi menderita dek bahang panas Neraka itu. Tetapi setelah sekian lama, manusia ini merasa kesunyian. Lalu ia berdoa kepada Allah:

"Ya Allah! Aku tidak layak untuk memohon dariMu kerna aku insan berdosa. Tetapi dengan rahmatMu, aku berharap dapatlah kiranya Engkau mendekatkan aku sedikit dengan SyurgaMu agar bisa ku merasai kesejukan damainya itu."

Allah berfirman:

"Wahai hambaKu. Aku kurniakan pintamu itu."

Lalu Allah dekatkan sedikit manusia ini dengan SyurgaNya sehingga hilanglah perih siksa yang telah diharunginya dari Neraka. Manusia mula merasa kenikmatan dari rasa damai dan sejuknya Syurga itu, dan ia berdoa:

"Ya Allah! Engkau penah berfirman yang SyurgaMu itu baunya sangatlah harum. Engkau telah dekatkan aku dengan SyurgaMu tetapi aku sangat berharap andai Engkau membenarkan aku sekadar untuk menghidu harum SyurgaMu."

Allah berfirman:

"Wahai hambaKu. Jika engkau sekadar mahu menghirup wangi SyurgaKu, maka aku benarkan."

Lalu Allah mendekatkan manusia ini dengan pintu Syurga sehingga ia bisa menghidu keharuman Syurga itu. Enak dibuai keharuman Syurga, manusia ini lantas berdoa:

"Ya Allah! Harum sungguh SyurgaMu ini. Timbul keinginan di hatiku ini untuk melihat bagaimanakah rupanya SyurgaMu itu."

Allah berfirman:

"Wahai hambaKu. Akan Aku bukakan pintu SyurgaKu agar bisa kau melihat isinya."

Lalu Allah bukakan pintu SyurgaNya dan tampaklah kepada manusia itu keindahan isinya - pepohon yang segar bugar yang di bawahnya mengalir anak sungai yang segar lagi menyegarkan, seluas mata memandang. Di dalamnya, manusia-manusia yang dahulunya beriman di dunia kelihatan bergembira. Di antara mereka itu, terdapat kenalan manusia bekas penghuni neraka ini dan melambailah mereka kepadanya.

Sayu hati manusia ini melihat mereka dan berdoalah ia:

"Ya Allah! Ku lihat para penghuni SyurgaMu sangat bergembira di dalamnya. Aku juga ingin tahu bagaimanakah nikmatnya SyurgaMu, ya Allah. Ku pohon agar bisa Kau benarkan untuk aku menjejak sebelah kakiku ke dalam SyurgaMu."

Allah berfirman dengan kemurkaan:

"Sungguh Engkau tidak bersyukur, wahai hambaKu. Engkau telah aku keluarkan dari siksa Neraka tapi Engkau berasa tidak cukup. Kau minta dijauhkan dari bahang panas NerakaKu. Tidak cukup itu, kau pohon pula untuk menghidu harum SyurgaKu. Dan setelah aku kurniakan pintamu untuk kau melihat isi SyurgaKu, kini kau mintak untuk menjejakkan kakimu ke dalamNya?"

Gementar hati manusia ini dan teresak-esak ia menangis, bimbang akan dimasukkannya semula ke dalam Neraka kerana telah menyebabkan Allah murka. Tetapi Allah berfirman:

"Wahai hambaKu. Sesungguhnya Aku tahu apa yang ada di dalam hatimu itu. Bukankah Aku Maha Mengetahui segala apa Yang Zahir dan Yang Tersembunyi? Aku tahu, andai aku benarkan kau menjejakkan sebelah kakimu ke dalam SyurgaKu akan kau berdoa pula kepadaKu untuk memasukkan kakimu yang lagi satu. Ketahuilah hambaKu, sesungguhnya Aku Maha Pengasih bahkan lagi Maha Penyayang. Maka dengan rahmatKu, masuklah Engkau ke dalam SyurgaKu dan bergembiralah engkau di dalamnya."



Begitulah adanya cerita tersebut. Setiap kali aku teringat cerita ini, aku akan tersenyum gembira mengenangkan betapa Allah Ta'ala masih dan tetap menyayangi kita walau kita sering lalai dari tanggungjawab kita kepadaNya. Dan betapa Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, walau kita sering memohon kepadaNya (dan hanya mengingatiNya di kala kita susah), Dia tetap menerima doa dan taubat kita.

Dan semalam aku merasa gembira juga kerana aku merasakan kasih Allah kepadaku. Dia tahu betapa aku banyak berdosa kepadaNya dan betapa aku masih belom cukup memanfaatkan Ramadhan kali ini (dan Dia lebih mengetahui kiranya tiada lagi peluangku untuk bertemu Ramadhan akan datang), lalu Dia sembunyikan anak bulan Shawal agar bisa aku dan rakyat New Zealand yang laen untuk memanfaatkan sehari lagi bersama Ramadhan.




Aku tunduk dan sujud bersyukur ke hadratMu, Ya Allah. Sungguh Engkau menyayangiku walau aku penuh karat dosa dan daki dunia. Dan sering pula aku lupa untuk bertasbih, bertahmid, bertahlil dalam mengingatiMu sebagai tanda kasih dan sayangku kepadaMu.



"Tubni ilallah, waraja'ni ilallah, wanadimni 'ala maa fa'alni. Subhanallah walhamdulillah walaa ilaha illallah, wallahu akbar!"

Thursday, September 17, 2009

Tak Mahu Berpisah, Bole Tak? T_T

Ingat lagi perasaan masa kita kat airport, bersalam salaman dengan mak abah dan ahli keluarga yang laen seblom departure? Kita jalan nak masuk departure hall tue, langkah perlahaaan je. Kalo bole, mau lanjutkan seinci je setiap langkah tue sebab sedih dan tak mahu berpisah dengan keluarga terchenta. Dalam kita bergerak masuk departure hall tue, tangan tak henti-henti melambai tanpa rasa risau andai tangan kita gugur dek lambaian tanpa henti tue. Tangan pulak tak lekang dari henset - call dan texts kluar masuk tanpa henti, sampai le bila pilot kasi peringatan untuk switch off henset. Itu pon kalo bole tamo turn off kan?

Masih ingat perasaan nie? Sedih, kan?

Sekembalinya aku dari tempat keja smalam, aku tunaikan solat isyak, baca Quran dan belek-belek sket Tafsir Quran seblom aku berdiskusi dengan seorang rakan, M, melalui YM. Kami berbincang tentang pelbagai isu: Dari isu kahwin dan mencari jodoh, bawak ke sirah nabi dan perbincangan tentang klip-klip video menarik di YouTube.

Diskusi berlanjutan sehingga sekitar jam 4am dan abes masing-masing bersahur dan menunaikan solat subuh sujud sajjadah, aku pon cuba lelapkan mata. Tapi tak lama lepas aku lelapkan mata, aku tersentak dan terjaga dari tido. "Astaghfirullah . . . aku terlupa tarawih smalam!"

Aku duduk meloko (bahasa Utagha, maksudnye termenung) kejap atas katil dengan hati yang berasa sayu. Aku buat kiraan yang tak perlu guna kalkulus mahupon trigonometri - dan hati aku bertambah sayu mengenangkan yang aku mungkin ada cuma lagi 3 malam untuk bertarawih dan melakukan amalan-amalan sunat laen di malam-malam Ramadhan yang sememangnya berkali-kali lebih baek dari malam biasa. Bukan aku tidak gembira dengan Shawal yang bakal tiba membawa bersamanya kesucian fitrah manusia, tetapi aku lebih bersedih hati dengan Ramadhan yang bakal pergi dari sisiku tak lama lagi.

Iye, perasaan sedih itu sangat identical dengan perasaan sedih dan sayu masa cium tangan, dahi dan pipi mak abah kat airport dulu. Sedih dan sayu, sebab aku tau aku tidak akan bersua dengan mereka buat jangka masa yang lama dan aku tidak tahu andainya aku tidak lagi berpeluang untuk bertemu mereka kembali.

Begitu juga dengan Ramadhan. Dia akan pergi tak lama lagi dan selama setahun aku tak akan bersua dengan Ramadhan. Lebih menyedihkan bila aku sedar yang aku tidak tahu sama ada diberikan Allah kepadaku kesempatan untuk bertemu Ramadhan skali lagi pada tahun hadapan. Hati rasa gundah bila aku membuat kira-kira dengan ilmu hisab yang tak seberapa tentang amalan yang telah aku lakukan sepanjang hari-hari Ramadhan yang telah berlalu pergi.

Aku tanya pada diri, setimpalkah dengan amalan yang sepatutnye aku lakukan?
Aku geleng kepala.

Aku tanya lagi pada diri, tercapaikah resolusi Ramadhan aku tahun ini?
Aku tertunduk perlahan dan aku geleng kepala.

Aku rasa sedih, tapi aku lebih malu lagi dengan Allah dan diri sendiri kerna tak mampu nak capai resolusi Ramadhan tahun ini: Untuk tidak tinggal tarawih dan khatam Quran dengan membaca satu juzuk setiap malam. Tapi aku lebih bersyukur kepada Allah kerna masih diberikan kepada aku kesempatan untuk menghidupkan Ramadhanku tahun ini dengan lebih bermakna dari tahun-tahun lepas di kala aku tidak faham erti kemanisan beribadah dengan hati yang ikhlas dan ihsan hanya kerana Allah. Lebih aku bersyukur kerana Allah menetapkan hati aku di atas jalan lurus menujuNya dan menahan aku dari kembali kepada kelalaian hati yang lupa untuk mengingatiNya.

Terima kaseh Allah!

Dan owh, ingin kiranya aku berkongsi sebuah lagu yang bagi aku sangat bermakna dendangan Ramli Sarip bersempena malam-malam terakhir Ramadhan ini:



Lirik:

Naluri kita manusia
Selalu leka
Hanya sujud dan sembah
PadaNya jua

Kini Engkau ku datangi
Berserah diri
Bersama kehitaman masa
Nan silam

AmpunanMu kuharapkan
Tiada daya
Aku menghindarkan
Kesalahan dan dosaku
Hanya Engkau Yang Tahu
Di Ramadhan ini
Kabulkan doaku

Suluhkanlah cahayaMu
Di malam yang penuh syahdu



Ya Ghafur! Ighfirli zanbi. Innii kuntu minaz dzaalimiin. Wa ya Muqqallibal quluub! Thabbit quluubi wa hayaati 'alaa deenil haq, wastaqim nafsi fis sabeelil jihaad wafis siraatil mustaqeem. Ya Somad! Fain tatdhtrud faman arju siwaaka. T_T

Tuesday, August 18, 2009

Allahumma Balighna Ramadhan

Hanya beberapa hari lagi sebelom Ramadhan tiba ke bumi NZ ini. Sedikit berdebar rasa di hati, takot tak sempat ketemu. Tapi lebih terasa lonjakan di hati kerna diri berharap untuk mengisi Ramadhan kali ini dengan lebih banyak amalan soleh, tidak seperti tahun-tahun yang lalu ketika diri hanyut di dalam arus dunia.

Tahun nie aku berazam nak revisit amalan-amalan yang pernah menjadi amalan wajib tahunan bersempena Ramadhan, yang malangnya makin aku "ter"tinggalkan bila makin tua remaja. Aku nak pastikan aku:
1) Abes khatam Quran sepanjang Ramadhan, preferably satu juzuk setiap malam.
2) Tanak tertinggal Tarawih. Keja bukan alasan, bole je buat sorang-sorang lepas balik keja. Saket pon bukan alasan, masih bole tunaikan juge.
3) Menjaga mulut dan hati dari perasaan mazmumah sesama insan.
4) Melakukan amalan-amalan sunat seperti bersedeqah dan lain-lain dengan kadar yang lebih banyak.


Bunyi macam agak sukar untuk dicapai tapi jika yakin dan istiqomah, insyaAllah mampu. Allah akan bantu mereka yang ingin berubah ke arah kebaikan. :')

Dan owh, di sini aku nak kongsi sebuah nasheed dari Rabbani yang bertajuk Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan. [klik sini]

Walaupon lirik dah ada kat video tue, aku nak kongsi jugak kat sini~ :'D

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Ahlan wa sahlan, marhaban
Ahlan wa sahlan, ya Ramadhan
Ahlan wa sahlan, marhaban
Ahlan wa sahlan, ya Ramadhan

Ramadhan menjelma lagi
Menghimpun Rahmat dan Maghfirah
Bertambah keberkatannya
dengan amal ibadah
Diri tunduk keinsafan
dan rasa berdosa

Bulan kemuliaan yang dikurniakan ini
Usah biarkan berkatnya
berlalu sia-sia saja
Ia hadir bagai air bah
membasuh daki dunia

Sambutlah Ramadhan dengan jiwa terbuka
seperti ketibaan orang yang kita cinta
Dengan ucapan
Ahlan Wa Sahlan Marhaban Ya Ramadhan
Hati gembira pintu terbuka
Rahmat Allah Yang maha Besar

Kita beroleh mutiara hikmah Al-Quran
Lantas dibelenggu nafsu dan syaitan
Didatangkan pula Lailatul Qadar
Pengorbanan yang dibuat balasannya syurga





"Allahumma, balighna Ramadhan! Ya Allah, ketemukanlah kami dengan Ramadhan! Ameen~"