Thursday, July 21, 2011

Ucapan Dari Hati

Dengan nama Allah, Pemilik kita semua.



Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana masih memberi peluang untuk saya bernafas dan berbakti kepada Islam dan kepada masyarakat melalui saluran pendidikan. InsyaAllah, kali ini saya ingin berkongsi sedikit pendapat berkenaan satu isu yang bagi saya, acapkali disalahfahami masyarakat umum: Konsep takziah.

Biar saya mulakan dengan secoret kisah yang baru berlaku semalam...

Secoret Kisah

Semalam, sedang saya bergurau senda dengan Mak Long (pegawai sekuriti asrama @ jaga asrama) selepas pulang dari solat Maghrib berjamaah di surau (para pelajar sedang bergerak untuk kelas prep), saya lihat seorang pelajar puteri Tingkatan 4 sedang duduk di kerusi menunggu di sebelah pondok sekuriti. Kepalanya tunduk dan dia diam. Saya bertanya pada Mak Long, kenapa dengan pelajar tersebut dan saya diberitahu yang pelajar itu sedang menunggu warisnya kerana ada kematian.

Hati saya sebak mengucapkan lafas Innalillaah kerana baru saja beberapa hari lepas, seorang pelajar lelaki yang saya sangat sayang kerana Allah telah kehilangan ayahandanya. Saya dekati pelajar puteri tersebut dan duduk di atas sebuah kerusi plastik bersebelahan dengan kerusi menunggu itu.

Saya: Assalaamu'alaikum. Nama apa dah? Sir tak ingat nama (kamu).
Pelajar puteri: Wa'alaikumussalaam. Khalijah. Ijah.
Saya: Ijah tunggu sapa ni?
Ijah: Tunggu abah mai. Mungkin lambat, pi ambik adik kat Kubang Pasu dulu.
Saya: Owh. Dengaq kata tok Ijah meninggai.
Ijah: *menggeleng kepala* Bukan tok. Tok takdak dah. Nek pun takdak lama dah. Baru pi ni tok nek. Nenek pada abah.
Saya: Owh, yaka. Ijah rapat dengan tok nek dak?
Ijah: *mengangguk lemah*
Saya: Dulu Ijah kecik-kecik mesti selalu pi mengacum (bagitau) kat tok nek kalau abang ka kakak Ijah buli Ijah kan?
Ijah: *mengangguk lagi. Ada sedikit sirna gembira bercampur sedih di hujung matanya*
Saya: Ijah mesti sangat sayang kat tok nek. Sir faham perasaan Ijah. Sir pun sayang kat arwah mak sir tapi Allah lagi sayang kat dia sebab tu Allah panggil mak sir pi ke sisiNya. Sama jugak macam tok nek Ijah. Ijah sangat sayang kat dia tapi Allah sayang lebih lagi. Suka kan kalau Allah sayang tok nek Ijah?
Ijah: *mengangguk*

Ijah mempunyai perwatakan Muslimah yang saya kagumi -- dengan bertudung labuh, memakai hand-socks dan berstokin. Sungguh sejuk mata memandang. Tetapi bila saya perhatikan Ijah, dia kelihatan seperti menahan rasa sedihnya. Mungkin dia merasakan yang menangisi kematian individu tersayang menyalahi Islam. Saya menegur,

Saya: Kalau Ijah rasa sedih, tak salah nak menangis. Biaq la airmata tu mengalir keluaq. Itu fitrah kita sebagai manusia. Ijah ingat dak Nabi kita ada putera?
Ijah: Hassan/Hussain?
Saya: Itu cucu Baginda. Ingat dak nama-nama putera Baginda?
Ijah: Qasim?
Saya: *mengangguk* Lagi?
Ijah: Abdullah.
Saya: *mengangguk* Lagi?
Ijah: . . . Ibrahim?
Saya: Semua pun betul. Pandai la Ijah ni. Ni sir nak habaq sikit pasai kisah Rasulullah (s.a.w) kehilangan putera Baginda bernama Ibrahim. Ibrahim baru lahir sat ja, Allah ambik dia balik. Masa tu Rasulullah (s.a.w) sangat sedih. Para sahabat lihat Nabi kita menangis dan masa tu Baginda bersabda, "Inilah kasih sayang. Mata menjadi basah dan hati menjadi sakit; tetapi lidah ini hanyalah untuk melafazkan apa yang disukai Tuhanku.*"

Saya lihat Ijah semakin menundukkan kepalanya. Kedengaran esak tangisnya perlahan. Saya memanggil seorang pelajar perempuan yang sedang lalu di situ untuk memeluk dan mengusap belakang Ijah. Saya menyambung,

Saya: Tak salah Ijah nak menangis. Menangis la kalau itu dapat hilangkan kesedihan Ijah. Sedangkan Baginda Rasul (s.a.w) sendiri pun menangisi pemergian putera Baginda, apatah lagi kita ni kan. Menangis dan merasa sedih, itu fitrah kita sebagai manusia. Langsung tak salah. Cuma Ijah kena ingat, airmata Ijah dapat bantu sapa? Dapat bantu tok nek Ijah di alam Barzakh dak?
Ijah: *masih menangis*
Saya: Ingat lagi dak apa amalan anak Adam yang tak terputus selepas mati?
Ijah: *mengangguk perlahan*
Saya: Salah satunya ialah doa dari anak-anak yang soleh dan solehah. Anak-anak, cucu-cicit; semua la. Ijah la tu. Jadi bila Ijah dah rasa lega lepas menangis nanti, kesat airmata tu sampai kering. Baca la apa-apa ayat Quran yang Ijah boleh dan niat sedeqahkan pahalanya untuk tok nek. Kemudian panjatkan doa ke hadrat Allah mintak Dia ampunkan dosa-dosa tok nek Ijah, luaskan kubur dia dan mintak Allah tempatkan ruh tok nek Ijah bersama orang-orang yang soleh/solehah dan dekat denganNya. Ijah banyakkan sabaq, na?
Ijah: *mengangguk* Thank you, sir.
Saya: *tersenyum* Welcome. Sir mintak diri dulu na. Ada urusan. Ijah jaga diri baik-baik tau. Sir doakan Ijah sentiasa sabar. Assalaamu'alaikum.
Ijah: Wa'alaikumussalaam.

Dan saya pun berlalu meninggalkan Ijah untuk meluangkan masa sendirian. Moga Allah beri kekuatan buat Ijah dan menyelamatkan ruh tok nek Ijah di alam sana.

*hadith ini dipetik dari kitab Sahih Bukhari (klik sini untuk sumber asal hadith dalam Bahasa Inggeris)

Konsep Takziah

Seringkali, setiap kali kita menerima berita kematian kita pasti akan mengucapkan "Salam takziah" atau hanya "takziah" kepada individu dan keluarga yang baru kehilangan insan tersayang. Lebih buruk lagi dengan fenomena penggunaan laman sosial seperti Facebook sekarang ini. Apabila mendengar tentang sahabat atau kenalan kita yang baru kehilangan, kita akan menulis wallpost atau komen di status dengan ayat-ayat telah saya nyatakan di atas.

Salahkah tindakan itu? Tidak.

Cumanya, tindakan seperti itu menjadikan kita tidak prihatin dalam usaha kita yang hendak menjadi prihatin. Kenapa saya kata begitu? Sekarang cuba anda letakkan diri anda dalam situasi mereka yang sedang kehilangan itu: Adakah terkesan di hati anda walau secuit lafaz "takziah" atau "salam takziah"? Bagi saya, lafaz tersebut in itself means nothing. Tiada maknanya jika berdiri sendiri. Lalu apa itu "takziah" sebenarnya?

Saya teringat sebuah ceramah oleh seorang ustaz di radio Penang.fm yang saya dengar beberapa tahun lalu. Maaf kerana nama penceramahnya saya tidak ingat tetapi intipati ceramah beliau sangat terkesan di hati saya. Ianya berkenaan kematian dan takziah. Ustaz tersebut menghuraikan serba ringkas tentang makna dan konsep takziah yang mana saya berpegang dengan fahaman tersebut sehingga hari ini.

Jadi, apakah "takziah"?

Takziah dari lafaz Arabnya bermaksud menenangkan (comforting). Takziah dari segi istilahnya pula bererti "menyuruh seseorang dengan bersabar dan mendorongnya dengan pahala yang dijanjikan, memperingati dari dosa, mendoakan si mati dengan keampunan dan mendoakan bagi orang yang terkena musibah dengan mendapat penggantinya." (dipetik dari Mughni al-Muhtaj, klik sini untuk sumber asal)

Berdasarkan definisi yang saya lampirkan di atas, jelas sekali bahawa masyarakat kita kurang memahami konsep takziah yang sebenar. Bukan tujuan saya menulis entri ini untuk menghuraikan dengan panjang lebar tentang konsep takziah dan hukumnya. Link yang saya kepilkan di atas telah cukup mengupas serba sedikit mengenai konsep takziah bersesuaian untuk pengetahuan umum.

Sekarang, mari alihkan perhatian kita kembali kepada coretan kisah semalam yang saya kongsikan di awal entri ini. Letakkan diri anda dalam situasi Ijah yang ketika itu sedang bersedih dan sendirian, menahan airmata dari jatuh; apakah perasaan anda apabila ada seseorang yang datang membelai dan menenangkan anda dengan sentuhan fizikal dan ucapan nasihat ikhlas dari hati? Inilah nilai perkataan "takziah" yang sebenar -- perkataan dan tindakan yang lahir dari hati dengan tujuan untuk menenangkan mereka yang sedang ditimpa musibah agar mereka sentiasa mengingati Allah dan redha dengan ketentuanNya serta tidak terjebak dalam hal-hal yang menyebabkan dosa tanpa mereka sedari lantaran berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil, bukan semata-mata hanya pada lafaz "takziah" itu sahaja.



Buat pembaca (semoga anda semua dirahmati Allah sentiasa) sekalian:

Apabila anda menerima berita kematian atau jika ada apa-apa musibah yang melanda saudara terdekat atau sahabat anda, jangan hanya lafaz "takziah" atau "salam takziah". Sebaliknya tunjukkan keprihatinan anda itu dengan perbuatan atau nasihat-nasihat yang berguna dan mampu mengingatkan mereka kepada Allah dan redha dengan ketentuanNya. Bagaimana anda mahu dilayan ketika bersedih, berilah layanan tersebut kepada mereka yang memerlukannya. Wallahu a'lam.


"Innaa lillahi wainnaa ilaihi raaji'uun. Wallahumma muqallibal quluub! Tsabbit 'anna quluubanaa 'alaa deenik. Ameen."