Showing posts with label perubahan. Show all posts
Showing posts with label perubahan. Show all posts

Friday, August 12, 2011

Catatan Ramadhan 5: As-Sami'

Dengan nama Allah yang Maha Mendengar bisikan rahsia dari hati hambaNya.


Pernahkah anda berhadapan dengan dilema dalam hidup yang menjadi titik perubahan hidup anda?

Ada dua titik perubahan (secara ruhani) yang besar dalam hidup saya pada tahun ini.

Pertama, apabila satu hubungan yang sangat diharapkan terputus di tengah jalan pada tanggal 2 Jun yang lalu. Secara jujurnya, ketika itu saya hanyut seketika, seolah-olah kembali mencari maksud hidup yang sebenar. Titik perubahan kedua tidak tunggu lama, hanya dua minggu kemudian untuk memunculkan diri iaitu apabila saya berhadapan sendiri dengan api yang memamah bangunan asrama pada tanggal 13 Jun yang lalu. Ketika itu, saya rasakan seperti ada yang menampar muka saya dan menjerit di telinga,


"Bangun engkau dari kehanyutan ini! Harus berapa lama lagi? Tujuan paling utama ialah Allah! Kalau api sebesar ini engkau sudah takut, mampukah melalui Api NerakaNya?"


Malam selepas insiden kebakaran tersebut, saya tersentak dan melelehkan airmata kesal kerana setelah sekian lama saya hanyut, Allah tetap sayangi saya dan Dia menyedarkan saya untuk berubah dan kembali mendekatkan diri denganNya lebih dari apa yang pernah saya lakukan sebelum ini. Dari situlah beberapa perubahan besar berlaku pada saya, antaranya saya mula bangun untuk qiyam setiap malam dan menunaikan solat sunat Dhuha setiap pagi. Perkara yang selama ini terasa berat, mula dirasakan ringan. Syukur, ya Allah!

Selain itu, saya juga dapat rasakan diri saya lebih cenderung mencurahkan bakti dan keringat di jalan Allah. Antaranya ialah dengan mengajarkan ilmu dan pengetahuan agama yang ada pada saya kepada 'anak-anak' saya di asrama dan membantu para ustaz memastikan pelajar-pelajar sekolah solat dengan sempurna di sekolah.

Malahan, ada juga terlintas di hati saya untuk memulakan usrah di kalangan pelajar-pelajar asrama. Saya mula menghubungi sahabat, rakan dan kenalan di Wellington dan lain-lain tempat yang saya tahu aktif melibatkan diri dalam usrah dan islah bagi mendapatkan bahan-bahan yang sesuai. Walau bagaimanapun, niat yang satu ini terpaksa saya pendam kerana pada saat itu terdapat beberapa halangan yang tidak dapat saya lepasi.

Ketika saya merasakan untuk memulakan usrah sendirian itu sukar, Allah temukan saya dengan seorang ustaz baharu yang bertukar ke sekolah saya tidak lama selepas wujud lintasan niat itu. Yang sukar mula terasa sedikit mudah. Terasa bagaikan dapat melihat sedikit cahaya di penghujung terowong yang gelap gelita.

Tetapi masih juga tidak bermula apa-apa lantaran kesibukan yang membaluti jadual mingguan dengan big events seperti lawatan Muhyiddin Yassin dan Karnival Sekolah-sekolah Kluster Zon Utara. Selepas satu, muncul satu lagi. Ketika itu, saya hampir lupa niat untuk mewujudkan usrah di asrama. Tetapi jauh di sudut hati tidak pernah luput perasaan ingin mendidik 'anak-anak' supaya kenal Allah.

Dan saya yakin, Allah juga tidak pernah lupa niat dan keazaman saya itu.

Sehinggalah pada suatu malam beberapa hari yang lalu usai solat tarawih dan witir berjamaah, saya kembali ke hostel untuk menukar kepada pakaian yang lebih casual. Setibanya di hostel, saya disapa mesra oleh sahabat sebaya saya (rujuk entri lepas) yang sedang menunggu saya di situ. Perbualan awal kami berkisar tentang beberapa perancangan jangkamasa jauh yang ingin dilakukan ke atas pentadbiran dan pengurusan asrama. Beliau menyatakan pandangan beliau dan saya menokok tambah apa-apa penambahbaikan yang saya rasa sesuai sehinggalah beliau menimbulkan tentang isu BADAR (Badan Dakwah dan Rohani).

Perbincangan berkisar tentang projek jangkamasa jauh untuk mengaktifkan BADAR sebagai suatu entiti terpisah dari Biro Kerohanian Asrama dan akhirnya perbincangan mula menyentuh tentang usrah. Saya kembali teringat tentang niat saya ingin mewujudkan usrah di asrama. Sungguh, Allah Maha Mendengar dan perancanganNya adalah yang terbaik!

Alhamdulillah. Hasil dari perbincangan tersebut, saya diminta oleh sahabat sebaya saya itu untuk menjadi murabbi secara langsung kepada para naqib dan naqibah asrama Tingkatan 4 yang akan dilantik tidak lama lagi memandangkan saya tinggal di asrama bersama para pelajar dan paling convenient sebagai pelaksana tugas tersebut. InsyaAllah, tugas saya pula akan dipantau dan dibantu oleh para ustaz di sekolah.


Isi hati manusia siapa yang tahu? Hanya Allah. Dia kan as-Sami'? :')


Okay, penulisan saya semakin hilang arah tuju kerana terlalu gembira. Gembira dengan perancangan as-Sami' yang sentiasa tahu isi hati hamba-hambaNya. Biar saja saya berhenti di sini untuk catatan kali ini. Doakan saya mudah-mudahan saya tsabat atas jalan ini.

Biar letih membaluti diri ini, asalkan generasi hadapan kenal Allah dan kenal Islam yang sebenar. Doakan saya!



"Allahumma tsabbit 'anni, quluubi wa tsabbit aqdaami 'alaa deenik. Ameen."

Sunday, January 17, 2010

Sedikit Pembaharuan :')

Dengan nama Allah, yang Awal dan yang Akhir.


Setelah membaca ulasan Uzar tentang etika di alam siber [klik sini], saya merasakan perlu kiranya untuk saya membuat sedikit "pembaharuan" ke atas laman blog saya ini.

Pertama: Penggunaan kata ganti nama diri dari 'aku' kepada 'saya'.
Kedua: Menulis dengan ejaan yang penuh dan betul.
Ketiga: Memastikan kandungan entri dalam blog lebih ilmiah dan kurang personal, melainkan untuk berkongsi pengalaman yang berguna.

Rasionalnya? Saya berpegang kepada hadith sahih yang Uzar kemukakan dalam penulisannya:

"Setiap kamu adalah pemimpin (penjaga) dan setiap kamu bertanggungjawab atas apa yang dijaganya."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Ini membuatkan saya terfikir, "Seandainya blog saya dibaca oleh seorang individu (siapa sahaja beliau itu) dan dia mengambil atau terikut dengan perkara yang kurang baik dari kandungan entri blog ini, lalu sayalah yang akan dipertanggungjawabkan di Akhirat kelak. Contohnya, ejaan yang salah boleh merosakkan tatabahasa sebuah bahasa dan berkongsi perkara remeh yang tidak bermanfaat boleh menggalakkan perkara yang sama untuk berkembang. Bayangkan andai ini berlaku berhasil dari blog saya. Ya, saya juga berkongsi 'saham' oleh kerana menjadi penyebab." Na'uzubillah, saya pohon perlindungan Allah Ta'ala dari diseret ke NerakaNya atas hal sebegini.

Mungkin nampak seperti suatu perkara yang kecil. Malahan perubahan yang ingin saya lakukan di sini juga nampak seperti kecil. Tetapi sekecil-kecil perkara andai dilaksanakan dengan serius dan istiqamah, ia akan menampakkan perubahan dalam jangka masa panjang. Yes, even the littlest acts do make a difference in the long run. InsyaAllah.



"Ya Allah! Maha Kuasa Engkau yang mampu membolak-balikkan hati-hati manusia dan mampu mengembalikan hati ini yang ingin mencari cintaMu kembali kepada kejahilan dan kesesatan, daku pohon dariMu ketetapan hati untuk istiqamah atas jalanMu yang lurus ini."