Saturday, August 6, 2011

Catatan Ramadhan 4: Hidayah Bukan Milik Kita

Dengan nama Allah yang setiap ruh kita di dalam TanganNya.


Hujung minggu ini saya berseorangan di hostel kerana 'anak-anak' dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setiap minggu bersempena Ramadhan. Saya tidak pulang ke Pulau Pinang kerana baru sahaja kembali ke Kuala Nerang tidak sampai 3 hari. Letih kerja pula masih berbekas di sendi-sendi tubuh.

Agak sedih bila sendiri. Dan sunyi.

Tapi saya bersyukur kerana punya seorang sahabat sebaya di sini. Baru kenal beberapa bulan tetapi sudah terasa sangat rapat bagaikan telah kenal bertahun-tahun. Tidak lupa juga 'anak-anak' saya yang sudah seperti adik-adik saya sendiri. Merekalah peneman ketika sedih, penghibur di kala sunyi. Ah, betapa manisnya ukhuwwah jika ianya semata-mata kerana Allah!


Sepetang di bazaar Ramadhan . . . tercoret sebuah perbualan. :')


Sepanjang dua hari pelajar-pelajar asrama pulang ke rumah untuk bermesra dan berbuka bersama keluarga, saya sendirian di hostel. Dan untuk kedua-dua hari itulah sahabat sebaya saya ini dan beberapa orang 'anak-anak' saya datang dan mengajak saya keluar ke bazaar dan kemudiannya berbuka bersama-sama mereka.

Sepanjang berjalan-jalan di bazaar memilih juadah berbuka, kami berbual-bual dan bergurau. Tampar menampar dan yang seangkatan dengannya adalah normal bagi kami hatta di khalayak ramai sekalipun. Buat apa mahu rasa malu? Berkasih kerana Allah selagi tidak melanggar hukumNya, biarlah terang-terangan. Bukan begitu?

Sedang berjalan-jalan menyelusuri lorong dipenuhi gerai, tiba-tiba salah seorang 'anak' saya di Tingkatan 5 yang juga merupakan ahli Majlis Tertinggi asrama menarik muka dan memuncungkan mulutnya. Awat ni? saya bertanya.

"Nu . . . tengok nu," katanya memuncungkan mulut. Saya cuba meneliti arah ditunjuknya tetapi tidak nampak apa yang dimaksudkannya dek lautan manusia yang sibuk membeli-belah. Lautan manusia pelbagai jenis. Yang bertudung bonggol unta. Yang berbaju ketat berlengan pendek. Yang berseluar ketat atau pendek. Pelbagai jenis ragam manusia yang sekadar menutup urat. Astaghfirullah al-adzhim . . .

"Apadianya, N oi?" saya bertanya lagi.

"Tadi ana nampak F (pelajar asrama puteri Tingkatan 1). Ya Allah, pakaian dia . . . Tudung singkat, shirt lengan pendek. Sakit mata ana tengok," mukanya masih masam.

"Hurm . . ." saya menghela nafas panjang sebelum bertanya, "tapi perlu ka N tarik muka macam ni?"

N mengangkat kedua-dua bahunya. Entah, bisiknya perlahan.

"Agak-agak la kan, N suka dak orang tarik muka kat N?" saya lihat matanya dalam-dalam tetapi tiada jawapan walaupun saya pasti jawapan N semestinya 'tidak suka'. "Jadi kalau tak suka, kita pun jangan la tarik muka kat orang lain. Muka kena sentiasa manis. Terutamanya bila kita di atas jalan dakwah dan islah ni."

N merupakan salah seorang ahli ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) cawangan Padang Terap yang juga dipimpin oleh salah seorang ustaz cemerlang di sekolah kami. Mereka agak aktif dengan muktamar dan perjumpaan di samping aktiviti-aktiviti amar ma'ruf nahi mungkar seperti cegah couple, sebagai contoh. Ini apa yang saya dengar dari mulut mereka. Saya sendiri masih belum libatkan diri secara langsung kerana rasa lebih bebas untuk tidak terikat dengan mana-mana organisasi. Itu cara saya buat masa sekarang.

"Tapi pakaian dia . . . ya Allah! Sepanjang 4 tahun ana duduk hostel, tak pernah jumpak budak hostel pakai macam ni bila keluaq rumah. Pakai di rumah tu biasa la," ujar N dengan nada kesal.

Saya pandang muka N. Itulah muka orang yang membenci kemungkaran dengan hati setelah diusahakan dengan tangan dan lidahnya. Syukur kerana N ada rasa bencikan kemungkaran itu tapi masih ada kekurangan pada caranya mendekati dakwah. Mungkin masih kurang kefahaman atau dek darah muda yang mengalir di dalam tubuhnya.

"Keluarga F pulak macam mana?" tanya saya ringkas.

"Sama ja. Kak dia pun pakai macam tu la jugak. Tudung singkat, baju lengan pendek, seluaq ketat," ada nada benci dalam getaran suara N.

Saya segera memeluk tubuh N dengan sebelah tangan sambil mengusap-usap bahunya.

"Sabaq, itu la cabaran dakwah dan islah. Dalam kita nak dakwah dan islah orang lain, semestinya akan timbul bermacam jenis cabaran dan ujian (mehnah). Contohnya macam F tadi tu. Dia berpakaian macam tu sebab pengaruh keluarga. Keluarga sendiri tak pernah kata apa dia pakai macam tu, jadi kata-kata kita orang luar ni  susah sikit la ada kesan kat dia. Tapi kita kena sentiasa sabaq dan istiqamah untuk terus usaha. Jangan membenci dan menarik muka masam bila apa yang kita buat (dalam dakwah dan islah) tak nampak kesan. Ingat balik macam mana sir selalu dok teguq angpa pasai solat setiap hari masa solat Maghrib."

Saya dapat rasakan otot-otot bahu N yang tadinya tegang mula kembali meregang. Saya menyambung,

"Setiap kali bila perlu ditegur, sir akan tegur. Ada sir pernah marah dan putus asa dengan angpa yang selalu tak ikut cakap sir?"

N menggeleng kepala.

"Macam tu la jugak kita bila nak berdakwah dan meng-islah orang lain. Kita kena sentiasa sabaq dan terus menerus. Muka kena sentiasa manis dan perbuatan kena sentiasa baik. Baru la akan ada yang tertarik dan nak ikut. Ingat, nak dakwah dan islah orang ni kita tak boleh paksa depa. Kalau berubah yang tidak ikhlas (kerana takut pada manusia), tak kekal pun. Biaq depa nak berubah kerana depa nak berubah (kerana Allah), insyaAllah kekal. Hidayah kan milik Allah? Dia bagi pada siapa yang Dia berkehendak. Kita cuma boleh usaha dan doa supaya Allah bagi Hidayah untuk seseorang tu berubah. Itu bahagian kita, yang lain semuanya terserah pada Allah. Faham, kan?"

N mengangguk dan mula tersenyum. Dan kami pun meneruskan pencarian juadah berbuka puasa di petang hening itu . . .




"Ya Allah! Jadikanlah kami orang-orang yang sabar dan istiqamah dalam menyeru orang lain menelusuri jalan menujuMu. Ameen."

1 comment:

Puding karamel said...

JZKK for the msg
will look 4ward to the entry
anything about teens will do
may allah bless