Monday, August 29, 2011

Catatan Ramadhan 9: Budayakan Al-Quran

Dengan nama Allah, Pengarang Agung.


Shahrur Ramadhan, huwa Shahrul Quran.

Bulan Ramadhan adalah Bulan al-Quran. Padanya diturunkan al-Quran, dan padanya jua ada keberkatan untuk mempelajari dan menghayati Kalamullah ini.

Tetapi bagaimana caranya mendidik diri mencintai al-Quran?

Sebelum menjawab soalan tersebut, saya ingin kongsikan status seorang sahabat di Facebook:

"Take your son to NASA and on the way home he'll tell you that he wants to be an astronaut when he grows up. Take your daughter to the zoo and now she wants to be a veterinarian. Same thing goes for sports and athletes. So if we want our children to develop a love for the Quran and knowledge in general and aspire to be students of sacred knowledge, then we have to introduce them to it. InshaAllah no time better than the present, use this Ramadhan and Tarawih wisely." -Abdul Nasir Jangda

There. Jawapan saya ada dalam quote di atas ini.

Bagaimana?

Mulalah dari awal.

Jika mendidik anak, mulakan dari semenjak mereka kecil. Pupuk minat mereka ke arah mencintai al-Quran. Budayakan al-Quran itu agar menjadi rutin mereka, yang mana akan rasa tak senang duduk jika tak baca sehari. Ada orang tak baca suratkhabar satu hari sudah tak senang duduk. Kenapa bukan macam tu dengan al-Quran?

Kerana mereka ini belum membudayakan al-Quran.


Al-Quran itu cahaya. Sematkan ia di hati. Jadikannya rutin, budayakan al-Quran dalam kehidupan sehari-hari


Jadi, adakah sudah terlambat untuk kita yang sudah dewasa dan mungkin sudah meniti usia senja?

Jawapannya tidak, masih belum lagi terlambat. Izinkan saya berkongsi sedikit pengalaman di sini.

Semasa saya masih di bangku sekolah rendah, arwah mak saya telah didik saya untuk mencintai al-Quran. Bagaimana? Dengan menunjukkan teladan yang baik. Beliau bukanlah ustazah mahupun orang yang serba serbi pandai berkenaan ilmu agama mahupun ilmu Quran. Beliau hanyalah wanita biasa tetapi keinginan dan kecintaannya pada ilmu telah memberi inspirasi mendalam pada saya yang mulai nampak keindahan ilmu pada hari ini.

Kenangan paling manis adalah pada setiap kali tibanya Ramadhan. Menjelang malam 1 Ramadhan, arwah mak saya akan memastikan anak-anaknya pergi bersama-sama untuk menunaikan solat Tarawih berjamaah di surau (malahan, saya juga telah dididik untuk sentiasa pergi ke surau untuk bersolat jamaah setiap kali terdengar laungan azan seawal umur 7 tahun. Tak kiralah apa jua yang sedang dilakukan, beliau akan memaksa saya berhenti segera dan mendahulukan solat. Dulu saya masih kecil dan sering mempersoalkan malah merungut dengan tindakan beliau tetapi kini saya sangat bersyukur dengan usaha beliau. Terima kasih mak!). Pulang dari surau, saya akan 'berlumba' dengan arwah mak untuk menghabiskan 1 juzuk al-Quran pada setiap malam. Terasa kemanisan bertilawah apabila ada persaingan sebegitu. Kini saya khatam sendirian setiap tahun, mudah-mudahan Allah temukan 'pesaing ganti' untuk kembali menghidupkan keceriaan tilawah Quran di malam-malam Ramadhan akan datang. Ameen.

Ini secebis pengalaman saya serba ringkas. Dari kisah ini, dapat kita lihat cara mendidik insan mencintai Kalamullah tanpa mengira umur. 

Tidak sukar.

Yang paling penting adalah keinginan. Kemampuan itu urusan Allah. Bila mahu, Dia akan berikan kita kekuatan. Seperti arwah mak saya: Walaupun membaca al-Quran dengan penuh susah payah supaya dapat tilawah dengan tajwid yang betul, Allah beri dia kekuatan untuk terus membaca dan terus membaca.

Jadi apa lagi alasan kita?

Pasang niat dan sematkan keinginan bermula sekarang. Jangan bertangguh. Agak sukar untuk sendirian, jadi carilah teman supaya ada sedikit rasa persaingan di situ. Persaingan menuju Mardhatillah adalah persaingan yang sihat. Ini cuma langkah awal. Bila dah biasa, tak perlu lagi rasa persaingan itu. Kerana insyaAllah, sudah mampu mengecap halawatul Iman (kemanisan Iman).

Ramadhan masih berbaki satu hari, gunakannya. Andai Ramadhan telah berlalu pergi, istiqamahlah. Ramadhankan hari-hari kita yang mendatang seberlalunya Ramadhan. Mudah-mudahan al-Quran dapat dibudayakan dalam hidup kita sehari-hari, insyaAllah.

Taqabballahu minna, wa minkum.



"Allahummarhamna bil Quran. Waj'alhulana imaama wanuura wahuda warahmah."

1 comment:

sekolahidup said...

slm

"Kini saya khatam sendirian setiap tahun, mudah-mudahan Allah temukan 'pesaing ganti' untuk kembali menghidupkan keceriaan tilawah Quran di malam-malam Ramadhan akan datang. Ameen."

Amin... ('_')V