Wednesday, August 3, 2011

Catatan Ramadhan 2: Ajari Aku

Dengan nama Allah yang memiliki Ilmu tentang segala sesuatu.


Semalam agak meletihkan. Bukan kerana berpuasa tetapi akibat cuaca yang terlebih panas dan usaha untuk over-exert diri mengoptimumkan ibadah. Tetapi semalam adalah hari yang menggembirakan dan penuh rasa kepuasan.

Kenapa?

Kebiasaan pelajar-pelajar hostel SMKDSA, mereka akan berkumpul di dewan makan seawal jam 6.15 petang untuk berbaris mengambil makanan dan kemudiannya bersedia untuk bacaan Maktsurat dan doa sekitar 15 minit terakhir sebelum dilaungkan azan tanda tiba waktu berbuka. Amalan yang baik sekali! Bukankah salah satu waktu mustajab doa adalah di saat hendak berbuka? Allah sendiri menyatakannya sebagai salah satu kegembiraan bagi hamba-hambanya yang berpuasa. Malangnya, masyarakat kita sekarang sering membuang peluang doa mustajab ini dengan berbual-bual kosong. Aduhai.

Kembali pada kisah di atas. Apabila pelajar mula berkumpul di dewan makan, saya suka turun dan bersama mereka -- berbual dan berkongsi rasa, kerana saat sebeginilah hubungan yang lebih erat mudah terjalin. Selepas bermesra dengan beberapa pelajar putera yang sedang beratur mengambil makanan, saya kemudiannya mendekati meja pelajar-pelajar puteri Tingkatan 5 yang sedang menggunakan peluang itu untuk mengulangkaji. Tiba-tiba salah seorang dari mereka menegur saya,

"Sir pandai sejarah dak?"

Saya tersenyum sambil menggeleng kepala, "Sir tak pandai nak ajaq sejarah Malaysia, satgi salah fakta pulak. Ajaq sirah boleh la."

"Dalam sejarah (SPM) pun ada sejarah Islam jugak," seorang pelajar lain menegaskan.

"Owh, hat tu sir kurang sikit." Saya tersenyum, "tapi kalau sirah nabawi, pasal comparative religion antara Islam-Yahudi-Kristian, insyaAllah hat tu sir tak dak masalah."

Sangkaan saya, mereka akan mula hilang minat dan kembali menyambung ulangkaji tetapi sangkaan saya meleset apabila pelajar kedua tadi berkata,

"Macam tu, sir cerita la kat kami pasal sirah. Pasai para nabi. Kami nak dengaq."

Pelajar-pelajar lain yang duduk semeja mengangguk dan mula menutup buku mereka. Saya tersenyum. Gembira kerana ada yang berminat mahu mempelajari sirah nabawi. Saya sendiri masih cetek ilmu sirah tetapi saya bersyukur kerana Allah memberi peluang ini kepada saya untuk berkongsi apa sedikit ilmu sirah yang ada. Saya mulakan dengan kisah penciptaan nabi Adam a.s. dan kemudiannya kisah "pembersihan" umat manusia di zaman nabi Nuh a.s. dan seterusnya beberapa kaum dilaknat Allah sebelum diutusnya nabi Ibrahim a.s. yang mencari kebenaran sehingga diilhamkan kepada baginda wahyu untuk menyebarkan agama Hanif (lurus). Saya ceritakan sirah ini dengan serba ringkas dan komprehensif, sesuai untuk didengari remaja. Dari kisah nabi Ibrahim a.s., saya mula buka kisah susur galur Bani Israel dan susur galur bangsa Arab yang kedua-duanya berasal dari baginda Khalilullah (nabi Ibrahim a.s.) yang kemudiannya secara tidak langsung menyentuh tentang Judaism dan Christianity.

Elok sahaja menyentuh topik comparative religion, corong-corong speaker mula dihiasi bacaan Maktsurat oleh ketua Biro Kerohanian. Saya berhenti di situ dan ingin berlalu pergi apabila pelajar tadi berkata,

"Sir, sambung esok na?"

"InsyaAllah," jawab saya ringkas.


*

Sebelah malamnya usai solat Tarawih berjamaah di surau, para pelajar kembali ke dewan makan untuk moreh (supper) dan kemudiannya mengulangkaji pelajaran di situ.

Seperti malam sebelumnya, saya sertai mereka sebentar sebelum pulang ke kamar untuk menyelesaikan kerja-kerja sendiri. Tiba-tiba seorang pelajar mendekati saya dan bertanyakan soalan untuk latihan bahasa Inggeris. Saya pun membantunya untuk fahami soalan. Selesai seorang, seorang lagi datang dengan masalah-masalah lain -- fizik, tentang kanta dan gelombang sebagai contohnya. (Nota: Tiada yang bertanya soalan matematik kerana telah saya "haramkan". Sir mengantuk bila tengok nombor, itu kata saya pada mereka :'p)

Sebelum saya pulang ke bilik, seorang pelajar puteri bertanya jikalau saya boleh tolong jelaskan beberapa masalah dan istilah dalam Pendidikan Syariah Islamiyyah yang kurang difahaminya. It'd be my pleasure, kata saya. Dan saya pun menjelaskan istilah-istilah Usul Fiqh seperti takhsis, mutlak, muqayyad dan nasakh dengan panjang lebar beserta huraian dari contoh yang diberikan dalam buku teks dan contoh dari kefahaman saya sendiri.

Menuntut ilmu itu fardhu atas setiap Muslim, di mana dan dalam apa jua bentuk sekalipun. :')


Sungguh gembira rasa di hati bila dapat menyumbang tenaga membantu orang lain mengecapi  pencerahan. Ada orang berpendapat, buang masa sahaja bila kita "laburkan" masa kita membantu orang lain. Betulkah begitu? Terpulang pada diri masing-masing.

Bagi saya, apa-apa yang buat (tenaga, masa dan wang) untuk orang lain jika ikhlas semata-mata kerana Allah, tak ada ruginya. Terutamanya bila mengajarkan ilmu. Ini kerana, to teach is to learn twice. Makin diajari sesuatu ilmu itu, insyaAllah makin kita akan memahaminya. Bukankah salah satu cara Allah hendak memuliakan seorang itu adalah dengan dibukakanNya pintu ilmu dan dikurniakan kefahaman agama padanya? Mudah-mudahan itu yang kita beroleh.

Dan jika berasa penat, ingatlah pesanan padat berhikmat dari Sayyidina 'Ali karamallahu wajhah:

"Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka sesungguhnya keeletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal."

Semoga kita semua tetap tsabat atas jalanNya yang lurus dan dimudahkan Allah untuk berbuat kebaikan, insyaAllah.



"Ya Allah! Janganlah Engkau condongkan kembali hati kami kepada kekufuran dan kefasikan setelah Engkau tunjuki kami jalan yang Engkau redhai, sesungguhnya Engkaulah tempat kami merintih dan meminta-minta."

4 comments:

hajrunsasuke said...

post yg bermanfaat! em yup sy irshadian, SPM batch 2004. i think i know who u are, adik ckg Wati kah? sorry kalau salah

Puding karamel said...

salam
sangat tertarik dgn pendekatan anda dgn remaja
saya pula baru (insha allah) akan mengelumangkan diri beraktiviti dgn remaja lepas syawal nanti.kurang pasti nak mulai dgn halaqah atau ta'lim.
kini in search of proper module.
kindly offer some sugestion?
JZKK

hafiz CHouJi said...

Thanks for your comment. Yup, betul la saya adik cikgu Wati (Suhailawati). Macam mana kenal dia?

hajrunsasuke said...

dulu SK Tok Bedu. bekas anak murid dia