Sunday, August 28, 2011

Catatan Ramadhan 8: Setahun Hanya Sekali

Dengan nama Allah yang Maha Mengetahui perkara-perkara Ghaib.


Saya masih teringat perbualan ringkas dengan seorang pelajar saya pada malam 21 Ramadhan yang lalu. Kami berjalan beriringan menuju Surau al-Hidayah lebih kurang 15 minit sebelum masuknya waktu Maghrib. Ya, "berbuka puasa sunnah" (berbuka hanya dengan 3 biji kurma dan air putih, solat Maghrib berjamaah dan kemudiannya baru menjamu selera) telah dijadikan amalan harian selepas lawatan pegawai-pegawai PPD dan JPN beberapa hari sebelumnya (klik sini untuk entri berkenaan).

Petang itu sungguh indah. Tenang dan damai sememangnya jelas terasa. Ufuk Barat langit sedikit ungu kemerah-merahan, beserta kepul-kepul awan putih berarak perlahan. Sungguh damai.

"Cantik petang ni noh. Entah-entah Lailatul Qadar pa malam ni, sir?" pelajar tersebut menyapa saya dengan sekuntum senyum.

"Memang cantik," balas saya pendek, membalas senyuman. "Tapi Allah lebih Mengetahui bila malam al-Qadar tu."

Kami sama-sama melangkah masuk surau SMKDSA itu dan langkah terhenti di sebelah pintu.

"Sebenarnya kan, orang kita salah konsep tentang Lailatul Qadar ni," ujar saya, memulakan perbincangan ilmiah. Ingin saya lihat reaksi pelajar ini yang saya tahu agak luas ilmu agamanya berbanding pelajar-pelajar lain. Harapan saya tidak dikecewakan.

"Betui tu, sir. Saya ingat lagi Ustaz Lah (seorang ustaz yang mengajar di SMKDSA, juga naib pengerusi ABIM Kedah) pernah habaq kat kami benda sama."

"Apa Ustaz Lah habaq?" soal saya, mula tertarik.

"Ramadhan last year, masa tu kami tengah on the way nak pi X (maaf, saya terlupa nama tempat yang dinyatakan). Dalam kereta, kami pandang luaq. Nampak ada awan yang saaangat cantik. Ada dua baris awan selari, di tengah-tengah dia kosong nampak macam ada pembaris."

"Subhanallah," balas saya apabila mendengar huraian keindahan alam ciptaanNya.

"Masa tu la Ustaz Lah pesan, sambil tangan dok amek gambaq: Kita ni (masyarakat Melayu) selalu sangat sibuk dok cari tanda-tanda Lailatul Qadar - nak cari pokok sujud la, nak cari air beku la, nak cari itu nak cari ini."

"Betui tu," saya tertawa. "Entah-entah, tanda-tanda tu sebenaqnya orang-orang bernasib baik jumpak Lailatul Qadar ni depa terjumpak ja. Tak dak niat cari pun. Lagipun, tiap-tiap orang ceritakan pengalaman berbeza."

"Tu la, sir. Ustaz Lah pesan, maksud 'mencari Lailatul Qadar' ni sebenarnya adalah peringatan untuk kita lipat gandakan usaha dalam beribadah, insyaAllah kalau kita jumpak nanti pasti kita akan rasa perbezaannya dengan malam-malam lain. Kat situ la baru dapat kita bezakan Lailatul Qadar ka dak."

Exactly, kata saya dalam hati. "Itu barulah konsep sebenar mencari Lailatul Qadar. Cari dengan melipat gandakan ibadah, bukannya sibuk mencari tanda-tanda. Tak jumpak tanda, tak beribadah la? Kalau langsung tak jumpak tanda? Haa, tak ka rugi dah kat situ."

"Sir jangan dok kata la."

"Awatnya?"

"Saya dulu macam tu la. Sibuk tiap-tiap malam menjelang 10 malam akhir Ramadhan dok cari tanda-tanda Lailatul Qadar. Tak jumpak, tak tarawih la saya."

Kami berdua tertawa.

"Takpa, itu zaman jahiliyyah. La ni jangan jadi orang yang rugi. Haa, tu orang dok pebetoi mikrofon dah. Jom masuk."

Dan azan Maghrib pun dilaungkan.



Ianya lebih baik dari seribu bulan. Carilah ia di sepuluh malam akhir Ramadhan. Allahumma balighna Lailatal Qadar!


Malam al-Qadar.

The Night of Power.

Malam yang lebih baik berbanding seribu bulan.

Siapa yang tak mahu ketemu? Semua mahu. Semua sibuk 'mencari', cuma kadang-kadang cara kita mencari itu yang salah. Usah dicari tanda-tandanya. Tetapi, lipat gandakanlah usaha beribadah. Jika bertemu tanda-tandanya, alhamdulillah syukur. Jika tak bertemu, sekurang-kurangnya kita tiada sesalan kerana telah berusaha sedaya mungkin meraih keberkatan dan kemuliaan Ramadhan ini. Bukankah Allah melihat pada setiap usaha kita? Dan setiap usaha kita, percayalah yang Dia akan membalasnya.

Saya amat gemar dengan ulasan berkenaan "tanda-tanda Lailatul Qadar" nukilan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi (klik sini untuk baca). Antara yang menarik ialah,

"Petanda mendapat al-Qadr apabila bisikan kebaikan sentiasa mengatasi bisikan kejahatan pada hati kita, hingga dengan itu kita mudah melakukan kebaikan berbanding kejahatan dalam kehidupan."


Ya, semudah itu (insyaAllah!). Tanda jika kita telah bertemu Lailatul Qadar itu sebenarnya berada pada diri kita sendiri. Mengapa perlu mencari tanda-tanda lain seperti pokok sujud, air membeku dan sebagainya? Tidak cukupkah petanda pada diri kita sendiri?

Fikirkanlah.

Doa saya, kita semua Allah temukan dengan malam al-Qadar tahun ini, dan insyaAllah, diberi peluang bertemu Ramadhan lagi pada tahun hadapan.



"Allahumma balighna Lailatal Qadar, ya Allah!"

No comments: