Dengan nama Allah, Maha Mengasihani.
Hari ini sudah menjelang hari ke-15 Ramadhan.
Semalam, beberapa orang pegawai PPD dan pegawai JPN termasuklah ketua sektor negeri Kedah datang melawat asrama SMKDSA. Mereka tiba seawal jam 6.45 petang, hampir-hampir sejam sebelum waktu berbuka puasa.
Disebabkan lawatan pegawai-pegawai tersebut, jadual harian terpaksa diubah -- jika kebiasaannya pelajar akan berbuka dahulu kemudiannya mempersiapkan diri untuk solat Maghrib berjamaah dan diteruskan dengan zikir dan bacaan al-Quran sebelum masuknya waktu Isyak, semalam sedikit berbeza. Pelajar berkumpul di surau seawal jam 7 petang dan mendengar sedikit ceramah/ucapan motivasi dari ketua sektor. Masuknya waktu Maghrib, semua yang hadir berbuka dengan segelas air mineral dan 3 biji kurma/tamar dan kemudiannya solat berjamaah sebelum beransur ke dewan makan untuk jamuan makan. Dan tibanya waktu Isyak, semua yang hadir bergegas ke surau untuk solat berjamaah.
Seperti biasa, saya menjalankan tugas untuk memastikan saf jamaah berada dalam keadaan sempurna. Bagaimanakah keadaan saf yang sempurna? Mari kaji gambar di bawah.
Sawwu sufuufakum, fainna taswiyyatas sufuufi min tamaamis solaah!
Ya, saf yang sempurna adalah saf yang lurus dan rapat antara satu makmum dengan makmum lain di sebelahnya(*). Rapat yang bagaimana? Rapat sehingga bersentuhan bahu antara kedua makmum dan bersentuhan dua jari kelingking kaki mereka (bukan syarat utama memandangkan fizikal manusia yang berbeza, ada yang jarinya panjang dan pendek. Allahu a'lam). Lurus yang bagaimana? Lurus dalam keadaan tumit para makmum berada dalam satu barisan. Jelas?
Okay. Berbalik kepada kisah semalam. Seperti biasa, saya akan memastikan saf-saf jamaah berada dalam keadaan sempurna sebelum solat. Saya tersenyum puas melihat 'anak-anak' saya bersegera merapatkan bahu-bahu mereka sehingga bersentuhan dan tumit-tumit mereka sebaris lurus mengikut jubin bercorak yang menjadi lantai surau kami. Ada beberapa pelajar Tingkatan 1 yang pada awalnya lupa, segera menyempurnakan saf mereka apabila ternampak saya. Siapa tak gembira jika didikan yang diberi menampakkan hasil walau sedikit?
Saya tersenyum sehinggalah melihat pada bahagian tengah saf kedua. Berkerut dahi. Sedih melihat para pegawai yang saya nyatakan di atas tadi, bersolat dengan keadaan saf yang sangat menyedihkan. Antara dua orang pegawai boleh dimuatkan seorang pelajar Tingkatan 1.
Sedih melihat kejahilan sesetengah pihak dalam melaksanakan ibadah tidak mengikut Sunnah (bahkan, acapkali bertentangan dengan tuntutan Sunnah). Bukan tidak ditegur, cuma tiada yang mendengar. Mereka 'golongan tua', saya 'golongan muda'. Di mata mereka saya masih mentah, tidak cukup ilmu dan tiada pengalaman; maka, saya tidak layak untuk berkata-kata dan menegur. Hati yang sedih Allah saja yang tahu. Mungkin kerna itu langit mencurahkan hujan selebat-lebatnya buat pertama kali di bumi Kuala Nerang semenjak tibanya Ramadhan . . .
Perkongsian
Berkenaan penyempurnaan saf, ini yang sering saya lakukan untuk memastikan 'anak-anak' saya faham dan berusaha menyempurnakan saf solat jemaah:
1) Selain hanya melafazkan "sawwu sufuufakum fainna taswiyatas sufuuf min tamaamis solaah" dalam lafaz Arabnya, saya ulangkan beberapa kali lafaz tersebut dalam BM iaitu "lurus dan rapatkan saf kerana sesungguhnya melurus dan merapatkan saf itu sebahagian daripada kesempurnaan solat berjamaah" di samping memberikan arahan yang jelas berkenaan bahu bersentuhan dan tumit sebaris (seperti telah saya terangkan di atas).
2. Tidak akan memulakan solat selagi saf tidak sempurna (sekiranya saya menjadi imam, dan telah menjadikannya budaya kepada pemimpin-pemimpin pelajar lain sekiranya mereka mengimamkan solat). Saf sempurna di sini juga melibatkan jemaah yang sedang bersedia untuk solat dan tidak lagi berbual-bual.
3. Jika saya tidak mengimamkan solat, saya akan memastikan semua pelajar menyempurnakan saf terlebih dahulu sebelum saya sendiri menyertai saf.
Tak perlu rigid dalam melaksanakan ibadah. Jika lafaz Arab tidak difahami umum, mengapa tidak lafazkannya dalam bahasa yang mereka fahami?
Diharapkan perkongsian saya berguna untuk para pembaca. Memang sukar mahu mengubah apa-apa hal bid'ah (terutamanya yang dholalah dan bercampur adat resam) yang telah lama berakar umbi dalam masyarakat kita, tetapi ianya tidak mustahil. Jika tidak dapat mengubah "golongan muda", lebihkan usaha dalam membentuk "golongan muda". Itu prinsip saya. :')
Dan Allah lebih Mengetahui tentang segala sesuatu.
*rujuk buku Comprehensive Prayer Formula atau Formula Solat Sempurna tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman untuk maklumat lanjut lebih terperinci berkenaan penyempurnaan saf.
"Ya Allah! Berikanlah kami kefahaman tentang agamaMu dan kemampuan untuk melihat kebenaran sebagai kebenaran dan melihat kebatilan sebagai kebatilan, serta kemampuan untuk membezakan antara keduanya. Ameen."
No comments:
Post a Comment