Showing posts with label kasih Allah. Show all posts
Showing posts with label kasih Allah. Show all posts

Sunday, April 4, 2010

Jangan Salahkan Sakit

Dengan nama Allah yang tiada permulaan dan tiada pengakhiran.


Beberapa hari ni, saya mengalami demam yang agak teruk. Demam yang biasanya saya panggil sebagai "demam kombo" kerna setiap kali ia datang, pasti demam itu datang bersama sama ada batuk, pening kepala, selsema, sakit otot dan kesukaran bernafas. Atau datang bersama kesemuanya sekali. Ya, saya sungguh bertuah kerana demam yang biasanya datang setahun sekali ni datang dalam kombo terhebatnya dan ada satu hari tu saya langsung tidak dapat bangun dari katil. Sungguh menyeksakan. Nasib baik ada roommates yang ambil tahu. Terima kasih kamu berdua!

Daripada Aisyah (r.anha) dari Nabi (s.a.w), Baginda bersabda yang maksudnya:Demam adalah dari panas api Neraka yang mendidih, dari itu dinginkanlah ia dengan air.
[Riwayat Muslim]

Bila dahi kita panas ketika demam, kita akan cari kain untuk dibasahkan dan didemah pada dahi kita. Kan? Mungkin itu tindakan refleks orang yang rasa terseksa dek "kepanasan" demam itu. Menurut hadith riwayat Sayyidatina Aisyah di atas, panasnya demam itu adalah dari panas api Neraka yang mendidih. MashaAllah! Itu baru tempias panas Neraka dan kita acapkali mengeluh pabila menderita demam. Mampukah kita menahan panas sebenar Neraka Allah itu? Na'uzubillah . . . mohon perlindungan Allah dari terpaksa merasa azab sebenar Neraka. Cukuplah tempias panas pada demam ini sebagai peringatan.

Di sepanjang saya terlantar di atas katil, banyak perkara yang bermain di fikiran. Fikiran melayang memikirkan tentang banyak perkara yang biasanya tidak sempat untuk difikirkan dek kesibukan harian untuk memenuhi academics demands.

Ketika terbaring itu, saya terfikir tentang MATI. Betapa mati itu sangat dekat dengan kita semua. Itulah janji Allah yang cukup pasti untuk semua makhlukNya. Sedangkan si Pencabut Nyawa juga Allah telah janjikan ajalnya. Jadi, siapa kita mahu bermegah dengan sedikit kejayaan duniawi sehingga lupa pada Pencipta. Setiap kali terfikirkan hal ini, jantung bergetar kencang. Takut andai disapa si Pencabut Nyawa sebelum sempat melafazkan sesal di dada atas kelemahan diri kepada Pencipta.

Ketika terbaring itu juga, setiap kali saya hampir-hampir mengeluh kerana kesakitan yang tak tertahankan, saya pasti teringat kembali pesanan rakan-rakan yang sakit itu adalah kifarah dosa. Betapa Allah sayangi mereka yang Dia ujikan dengan sakit. Di kala teringatkan janji Allah yang satu ini, senyum kembali terukir walau kesakitan fizikal tiada satu pun yang berkurang. Tapi saya pasti, Allah tidak membebankan hamba-hambaNya dengan apa yang mereka tidak mampu menanggung [QS, 2:286].

Sungguh, sakit itu kifarah dosa dari Yang Maha Pengasihani. Mari lihat hadith ini:


Diriwayatkan daripada Jabir (r.anhu) yang maksudnya:

Bahawasanya Rasulullah (s.a.w) telah berkunjung ke rumah Ummu Saib atau Ummu Musayyib, lalu Baginda bertanya: Apa halnya engkau wahai Ummu Saib atau Ummu Musayyib menggigil?"

Dia menjawab: Demam, semoga Allah tidak memberikan berkat kepadanya.”

Nabi (s.a.w) bersabda:Jangan engkau memaki penyakit demam, kerana ia menghilangkan kesalahan Bani Adam (manusia) sebagaimana landasan (tukang besi) menghilangkan kotoran (karat) besi.
[Riwayat Muslim]




Waktu sihat ingat Allah, waktu sakit ingat Allah berkali ganda. :')

Allah itu Maha Pengasihani, bukan? :')





"Ya Allah! Engkau tahu apa yang terbaik untuk diriku. Andai sakit ini baik untuk diriku, maka aku redha dengannya. Dan semoga aku Engkau masukkan ke dalam golongan orang-orang yang bersabar."

Saturday, November 7, 2009

Kita Semua MilikNya

Dengan nama Allah, pemilik ruhku dan ruh sekalian makhlukNya.



Semalam ketika aku mula hendak melelapkan mata, aku terima text dari seorang rakan mengkhabarkan tentang pemergian bonda rakanku Nurizzati Asyimah (Izz) yang telah dijemput Allah ke untuk kembali ke sisinya pada jam 6.40pm waktu Malaysia. Al-Fatihah aku hadiahkan buat ruhnya. Semoga beliau ditempatkan bersama golongan yang beriman dan dekat dengan Allah. Alhamdulillah, Izz sempat pulang ke Malaysia atas perkhabaran bondanya yang sedang tenat dan bertemu arwah sebelum beliau dijemput Allah.

Dan ini mengingatkan aku kepada pengalaman sendiri beberapa hari yang lalu.


2 November.

Jam 5.56 petang, waktu New Zealand.

Aku sedang dalam perjalanan menuju tempat kerja. Earphone di telingaku mendendangkan nasheed 'Allah Knows' tanpa henti. Setibanya ke baris "When you lose someone close to your heart", lagu terus fade untuk menerima panggilan.

*Click*

Aku: Assalaamu'alaikum.
Suara: Wa'alaikumussalaam. Abang Wan nie.
Aku: Owh, abang Wan! Awat call? Ada apa nie?
Abang Wan: Nak habaq kat ang. Mak dah takdak.
Aku: Huh? Bila?
Abang Wan: Baru sat tadi. Lima ke seploh minit. Kat spital.
Aku: Pasai pa?
Abang Wan: Dari buah pinggang naek ke jantung.
Aku: Awat Din tak tau pon mak masuk spital?
Abang Wan: Saja tak mau habaq, nanti ang risau. Banyak sabaq kat sana na? Abah pesan tak yah balik la, bukannya sempat tengok jenazah pon. Ang buat la apa yang termampu dari sana.
Aku: Hurm.
Abang Wan: Jaga diri elok-elok kat sana. Assalaamu'alaikum.
Aku: Wa'alaikumussalaam warahmatullah.

*click*

*******

Masuk hari nie, genap seminggu arwah mak aku pergi meninggalkan aku dan hari ini baru jari jemariku berasa ringan untuk kembali menari di atas keyboard untuk berkongsi rasa dan pendapat di ruangan sempit ini (itu pon selepas menerima berita tentang arwah bonda Izz). Bukan kerana hati yang bersedih lalu aku tidak menulis tetapi kerna jemari yang enggan bekerjasama.

Sungguh, banyak rasa hati yang ingin dikongsi bersama. Banyak juga pengalaman yang ingin aku ceritakan. Tentang betapa Allah kasihkan hambaNya yang sabar. Tentang setiap kesusahan itu pastikan diiring kesenangan.


Biar saja aku mulakan penulisanku kali ini dengan peringatan dari Allah dalam surah al-Anbiya, ayat 35:
"Setiap yang bernyawa pasti merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan perkara buruk dan baik sebagai ujian buat kamu; kepada Kami jua kamu semua akan kembali."
[QS. 21:35]

Dalam ayat ini, Allah menjanjikan kepastian maut untuk setiap jiwa yang bernyawa atas muka bumiNya. Dan ayat ini disusuli dengan penekanan tentang ujian Allah ke atas kita sama ada dengan cara yang baek (nikmat yang kita suka) atau cara yang buruk (musibah dan kehilangan). Dan penutup ayat ini Allah mengingatkan kita tentang hakikat kita semua adalah milikNya dan akhirnya akan tetap kembali ke sisiNya.

Jadi, bagaimanakah kita menerima ujianNya? Ramai kiranya yang mendengus marah dan berkeluh kesah. Ada yang meraung panjang dan bersedih tak bertepian. Mungkin kerna jiwa yang tidak dapat menerima hakikat, atau mungkin kerna hati yang lalai dari mengingati Pencipta.

Acapkali, pabila berlakunya sesuatu musibah kita akan menyalahkan takdir atau apa sahaja yang terlintas di fikiran. Kenapa perlu begitu? Fikirkan semula. Mungkin kita berkata, "dah ketentuan Allah, aku terima" tetapi pada masa yang sama kita menyalahkan takdir atau laen-laen penyebab musibah. Siapakah yang mengaturkan musibah itu ke atas kita? Allah. Jadi kita secara tidak langsung sedang menyalahkan Allah atas PerancanganNya.

Teringat aku akan pesanan seorang sahabat di sini: "Bersangka baeklah dengan Allah". Memang agak sukar untuk kekal kuat dan tabah ketika diri dilanda musibah. Kita kekadang rasa keseorangan dan ini mungkin antara penyebab kita merungut atau mengeluh. Tidak salah untuk merasa sedih bila dilanda musibah atau ketika kehilangan insan tersayang. Tetapi kita perlulah berpada dan bersabar dengan ujian Allah ini. Tidakkah Allah itu bersama orang-orang yang sabar?

"Wahai orang yang beriman! Carilah pertolongan dengan jalan sabar dan berdoa. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar."
[QS. 2:153]

"Kamu fikir kamu akan masuk ke Syurga tanpa Allah menguji kamu yang berusaha keras (di jalanNya) dan kekal bersabar?"
[QS. 3:142]

Kita terkadang lupa bahwa Allah sedang menguji kita. Dan kita lupa untuk sabar. Pabila kita sabar dan redha, insyaAllah hati menjadi lebih tenang. Bukankah di dalam al-Quran Allah telah janjikan kesenangan selepas diujikan dengan kesusahan? Dua kali Allah menyebutnya untuk memberikan penekanan tentang hal ini [QS. 94:5-6]. Alhamdulillah, aku dah rasainya dan insyaAllah di sini aku ingin berkongsi pengalaman tersebut.

*******

Aku tetap bekerja malam aku menerima berita pemergiannya mak aku. Aku minta diberikan kerja special cleaning di Central Library kerna kerja itu perlu dilakukan berseorangan dan ketika itu, aku memerlukan masa untuk bersendirian.

Sambil aku memvakum pejabat di Central Library, aku membiarkan nasheed Allah Knows terus berkemundang di hujung earphoneku. Niat agar aku dapat distract diri dari berasa sedih tetapi kepala tetap terbayangkan arwah dan perasaan rindu mula membuak dalam dada. Air mata mula bergenang dan pipi mula dibasahi air mata. Rasa sayu bila berseorangan ketika itu.

But Allah knows. Dia tahu betapa sedih hati aku ketika itu. Dan setiap kali aku berhujan seorang diri di situ, pada masa itu juga aku menerima panggilan telefon dari teman-teman dan kenalan di sini yang rata-ratanya memberitahu aku yang aku tidak berseorangan menghadapi kesedihan ini. Bagi aku, "kebetulan" aku menerima panggilan telefon ini seolah-olah satu cara Allah Taala sedang memujuk hatiku supaya jangan terlalu sedih atas landaan musibah dan bersabar menerimanya.

Dalam kehujanan itu, senyuman terukir di bibir kerana aku sedar aku punya teman-teman yang sentiasa sedia membantu di kala aku kesusahan. Dan lebih penting lagi, aku sedar aku ada Allah yang sentiasa kasihkan aku dan mendengar setiap rintih pilu hati yang diguris musibah.

Balik ke rumah malam itu, hati aku rasa sayu. Ada undefined feelings dalam diri yang aku tak bisa tafsirkan. Ucapan semangat dari rakan dan teman, "be strong", "tabahlah" atau "sabarlah" seolah tidak memberi kesan. Bukan tidak berkesan, cuma aku sememangnya sedang bersabar dan tabah menghadapi musibah. Yang aku mahukan ketika itu ialah untuk mengerti perasaan dan rasa saket yang merundung hati dan jiwa.

Selesai aku menunaikan solat jenazah ghaib buat arwah dan mengirimkan bacaan Yaasin dan tahlil (terima kasih semua yang datang mala tue. Jazaakumullah), aku termenung sebentar mengadap laptop. Kata nasihat seorang sahabat dari ramai teman-teman laen yang turut mengucapkan takziah melaui YM paling memberi kesan di hatiku:

"Janganlah rasa terkilan sangat. Redhalah dengan pemergian arwah."


Inilah antara kata-katanya. Hati aku rasa sangat lega mendengar nasihat ini kerana inilah yang aku rasakan pada saat itu. Bukan sedih yang menghiris hati - aku sedikit lega dengan pemergian arwah kerana biar arwah kembali kepada Pencita dari sentiasa diujikan saket yang berat buatnya.

Lebih banyak aku merasa terkilan dengan pelbagai perkara. Terkilan tak sempat bertemu. Terkilan kerna arwah tak sempat melihat perubahan padaku. Terkilan kerana tak sempat memberitahu dan berceritakan pelbagai isi hati kepada arwah. Terkilan kerana tak mampu melaksanakan hajat arwah untuk sama-sama membantu menguruskan jenazahnya.

Alhamdulillah, perbualan dengan sahabat tersebut telah banyak melegakan hati dan memujuk diri untuk tidak terlalu sedih mahupon terkilan dengan pemergian arwah, sebaliknya terima dengan hati redha atas pemergian tersebut. Pasti, ada kebaikan terselindung di sebalik PerancanganNya.

Dan aku dapat rasakan Rahmat Allah yang mahu mengajar aku untuk lebih bersabar. Dan aku dapat rasakan Dia bersama aku melalui setiap detik kesukaran landaan musibah dan Dia datangkan kepada aku kesenangan yang tak disangka-sangka setiap kali aku sabar menerima ujianNya. Alhamdulillah.



Mungkin coretan aku ini tidak seberapa tetapi aku berharap coretan ini dapat menyalurkan rasa hati aku untuk mereka yang sedang menerima ujian Allah dan sebagai ingatan dan teladan buat yang belum merasainya. Bersabarlah, dan insyaAllah Dia akan menghulurkan TanganNya (bantuan Allah) membantu kita tatkala kita susah. :')

Sungguh, kita semua adalah milik Allah

"Ya Allah! Kami semua adalah milikMu dan kepada Engkau juga kami semua kan kembali akhirnya. Buat mereka yang kami sayangi dan Engkau jemput mereka terlebih dahulu, Engkau naungilah mereka di bawah Rahmat dan PerlindunganMu dan tempatkanlah mereka di kalangan mukminin dan muqarrabeen. Dan andainya mereka punya dosa di dunia, ya Allah, maka Engkau ringankanlah azab mereka dan janganlah Engkau putuskan doa kami sebagai anak-anak untuk sampai kepada mereka."