Tuesday, August 2, 2011

Catatan Ramadhan 1: Madrasah Ramadhan

Dengan nama Allah, sebaik-baik Perancang.


Alhamdulillah, syukur sangat ke hadrat Allah Ta'ala kerana Dia masih memberi peluang kepada saya untuk bertemu Ramadhan Mubarak, tetamu istimewa yang dinanti-nanti penuh rasa debaran saban tahun. Debaran makin terasa setiap kali hampirnya tetamu ini kerana bimbang tidak ketemu. Bila sudah bertemu, bimbang pula andai Ramadhan kali ini tersia-siakan.

Ah, susah pula macam tu! Rindu ketemu, takut pula bila sudah bertemu.

Malam pertama menunaikan solat sunat Tarawih, entah kenapa saya seakan kurang khusyuk. Solat sunat witir berjamaah pun saya tinggalkan sedangkan solat sunat witir paling dituntut ditunaikan secara berjamaah di bulan mulia ini berbanding bulan-bulan lain yang lebih baik ditunaikan sendirian -- mungkin kerana tubuh yang agak keletihan usai Kem Kepimpinan Pengawas Asrama (insyaAllah, akan saya kongsi pengalaman ini bila ada masa terluang nanti). Mungkin juga kerana tekak yang masih kesakitan belum bertemu penyembuhan. Tetapi semua itu seperti alasan kerana khusyuk sebenar patut datang dari hati walaupun fizikal serba kekurangan.

Mengenangkan hal ini, rasa sebak di hati dan menitis air mata ketika menunaikan solat-solat sunat semasa qiyam sebelum sahur. Lemah sungguh diri ini, ya Allah! Excited sangat bila Ramadhan dah dekat, tapi acuh tak acuh dan masih belum bersedia bila tetamu istimewa ini sudah tiba . . .

Tapi saya masih terlalu bersyukur kerana memberikan kekuatan yang lebih dari hari-hari biasa untuk membaca KalamNya sehinggakan mampu fokus selama lebih satu jam hatta berada dalam bas yang sedang bergerak yang biasanya menjadi tempat tidur sahaja. Dan tidak lama tadi, alhamdulillah, saya dapat menunaikan solat Tarawih malam kedua secara berjamaah di Surau al-Hidayah SMKDSA.

Semasa sesi Tarawih tadi, ustaz yang ditunggu tidak kunjung tiba dan seorang pelajar yang juga ketua Biro Kerohanian Asrama lantas mengimamkan solat sunat itu. Solat tersebut turut dihadiri pengetua dan saya hanya berdiam di saf makmum selaku pemerhati. Memberi peluang kepada generasi muda mendidik diri, bisik hati saya.

Pelajar tadi agak ambitious dan mahu menunaikan 20 rakaat Tarawih berjamaah sedangkan majoriti makmum tidak bersetuju malahan ditegur pengetua supaya menunaikan hanya 8 rakaat supaya ada masa diluangkan untuk mengulangkaji pelajaran. Merebut peluang dalam Ramadhan memang dituntut, tetapi tanggungjawab diri perlu dijaga juga!

Usai solat, saya merapati pelajar tersebut dan berbisik,

"Sir ada cadangan sikit pasai solat Tarawih kita kalau ustaz tak mai macam tadi."

"Apadia, sir?" pelajar itu bertanya.

"Pertama, sir cadangkan kita rancang solat kita. Pastikan makmum tahu dan redha dengan plan kita. Macam tadi tu, makmum tak setuju buat 20 rakaat dan agak berterabur belah puteri masa Witir satu rakaat sebab depa tak tau masa tu buat Witir. Mungkin boleh buat taklimat ringkas kaifiat sebelum mulakan solat."

Pelajar tersebut mengangguk.

"Keduanya, sir cadangkan kita pentingkan kualiti daripada kuantiti. Biaq la solat 8 rakaat ja tapi ada khusyuk, dan imam baca ayat Quran panjang-panjang sikit daripada baca ayat lazim ja. Nanti kita boh stand untuk letak Quran besaq depan imam, boleh la baca satu page setiap rakaat. Lagi satu, sir cadangkan rehat 5 minit antara 8 rakaat Tarawih tu. Boleh la buat isi dengan tazkirah ka, sebab tadi ramai complaint kat sir yang depa tak khusyuk sebab kalut. Nak pi toilet pun tak dan, takut miss Tarawih jamaah."

Pelajar tersebut mengangguk lagi. Saya tersentak dengan nasihat sendiri tentang khusyuk dalam solat. Saya menyambung,

"Akhir sekali, sir cadangkan kita ada dua imam -- sorang imamkan Isyak dan 4 rakaat pertama Tarawih kemudian tukaq imam lain untuk selesaikan baki 4 rakaat dan 3 rakaat Witir. Sebab tadi sir perasan yang kamu 'tersasul' ayat dari surah 'Alaq ke dalam surah Humazah. Mesti kamu penat kan? Lagi satu, dengan cara ni kita boleh latih orang lain sama sebagai imam. Setuju dak cadangan-cadangan sir ni?"

Pelajar tersebut mengangguk lagi menyatakan rasa setujunya dan mengucapkan terima kasih,

Bila saya duduk sendirian selepas bermesra dengan beberapa orang pelajar putera Tingkatan 1 selepas moreh ringkas, saya muhasabah kembali pertalian antara tidak khusyuk saya pada malam pertama Tarawih dan kejadian yang berlaku di malam keduanya. Apa signifikan keduanya?

Ramadhan adalah Madrasah milik Allah untuk mengajar kita erti istiqamah


Lama saya berfikir menanti hadirnya lelap dan ini jawapan yang hadir dalam kotak fikiran saya: Ramadhan adalah Madrasah milik Allah. Dia sedang mengajar saya kepentingan memperbaiki amalan sedikit demi sedikit dan kemudiannya beristiqamah dengan amalan-amalan tersebut sepanjang bulan mulia ini. Allah tidak memandang hasil tetapi yang dipandangNya adalah usaha. Jadi, bukan banyak mana amalan dilakukan yang perlu kita risaukan tetapi kualiti dan istiqamah melakukannya (walaupun sedikit) yang perlu dititikberatkan.

Alhamdulillah, syukur kerana Allah memilih untuk menghadiri MadrasahNya pada tahun ini. Jom tingkatkan kualiti ibadah kita dan kemudian beristiqamah!



"Allahumma tsabbit 'anna quluubana wa aqdaamana 'ala deenik. Ameen."

No comments: