Dengan nama Allah, yang Awal dan yang Akhir.
Setelah membaca ulasan Uzar tentang etika di alam siber [klik sini], saya merasakan perlu kiranya untuk saya membuat sedikit "pembaharuan" ke atas laman blog saya ini.
Pertama: Penggunaan kata ganti nama diri dari 'aku' kepada 'saya'.
Kedua: Menulis dengan ejaan yang penuh dan betul.
Ketiga: Memastikan kandungan entri dalam blog lebih ilmiah dan kurang personal, melainkan untuk berkongsi pengalaman yang berguna.
Rasionalnya? Saya berpegang kepada hadith sahih yang Uzar kemukakan dalam penulisannya:
"Setiap kamu adalah pemimpin (penjaga) dan setiap kamu bertanggungjawab atas apa yang dijaganya."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Ini membuatkan saya terfikir, "Seandainya blog saya dibaca oleh seorang individu (siapa sahaja beliau itu) dan dia mengambil atau terikut dengan perkara yang kurang baik dari kandungan entri blog ini, lalu sayalah yang akan dipertanggungjawabkan di Akhirat kelak. Contohnya, ejaan yang salah boleh merosakkan tatabahasa sebuah bahasa dan berkongsi perkara remeh yang tidak bermanfaat boleh menggalakkan perkara yang sama untuk berkembang. Bayangkan andai ini berlaku berhasil dari blog saya. Ya, saya juga berkongsi 'saham' oleh kerana menjadi penyebab." Na'uzubillah, saya pohon perlindungan Allah Ta'ala dari diseret ke NerakaNya atas hal sebegini.
Mungkin nampak seperti suatu perkara yang kecil. Malahan perubahan yang ingin saya lakukan di sini juga nampak seperti kecil. Tetapi sekecil-kecil perkara andai dilaksanakan dengan serius dan istiqamah, ia akan menampakkan perubahan dalam jangka masa panjang. Yes, even the littlest acts do make a difference in the long run. InsyaAllah.
"Ya Allah! Maha Kuasa Engkau yang mampu membolak-balikkan hati-hati manusia dan mampu mengembalikan hati ini yang ingin mencari cintaMu kembali kepada kejahilan dan kesesatan, daku pohon dariMu ketetapan hati untuk istiqamah atas jalanMu yang lurus ini."
No comments:
Post a Comment