Dengan nama Allah yang menciptakan manusia mempunyai sifat terburu-buru.
Cerita 1
Selesai solat Jumaat semalam, saya ke Mid Valley untuk bertemu seorang sahabat dari Cohort 2 yang sudah mengajar di sekolah. Beliau sudah seperti kakak saya sendiri, yang saya kenali semasa menjalani program foundation TESL di IPBA beberapa tahun lalu.
Seperti biasa, saya menunggu teksi di hentian berbumbung setentang Restoran Amjal. Sebuah teksi berhenti (yang pemandunya adalah seorang Melayu Muslim) dan saya bertanyakan jika si pemandu boleh membawa saya ke Mid Valley kerana teksi yang sebelumnya menolak permintaan saya.
Saya sedikit terkejut kerana teksi ini tidak mengikut roundabout sebelah Restoran Amjal yang merupakan jalan paling singkat ke Mid Valley (walaupun kekadang sibuk dan traffic jam), sebaliknya ia memecut terus ke arah Kerinchi. Saya tau ada jalan pintas melalui Kampung Kerinchi tetapi saya sengaja bertanya kepada si pemandu:
Saya: Pak cik, apsal ambil jalan ni? Kenapa tak ikut roundabout tadi je?
Driver: Ni shortcut, dik. Jalan straaaaaight sket then pusing depan sampai la Mid Valley.
Saya: Owh, begitu.
Agak lama kami terperangkap dalam kesibukan lalu lintas dan baru saya tersedar yang teksi sudah memasuki area Bangsar. Hati saya sudah rasa tidak sedap bila mengamati bangunan-bangunan sekeliling. Kenapa? Kerana jalan yang dilalui adalah jalan menuju ke KL Sentral dan bukannya ke arah Mid Valley. Rasa hendak marah tapi saya tahan sahaja.
Setibanya di simpang traffic lights menuju ke KL Sentral, teksi itu membelok ke kanan dan memecut sebelum memasuki highway menuju Mid Valley. Bila saya amati jarak sesaran yang dilalui teksi, ianya adalah dua kali jarak jika mengikut laluan roundabout. Ketika itu, saya rasa ditipu oleh pemandu teksi yang mengatakan itu adalah shortcut ke Mid Valley.
Cerita 2
Sesudah bertemu sahabat di Mid Valley dan membeli keperluan yang sepatutnya, saya pun keluar dan beratur menunggu giliran untuk mendapatkan teksi bersama rakan-rakan IPBA yang ditemui di Carrefour. MasyaAllah, barisan sangat panjang tapi saya bersabar menunggu giliran. Inilah lumrah bandar besar seperti KL. Di hujung mata, kelihatan beberapa orang anak muda yang cuba "memintas" teksi di jalan besar sebelum teksi-teksi itu sempat memasuki pick-up line untuk mengambil para penumpang yang sabar menanti. Ini juga lumrah bandar besar seperti KL.
Akhirnya, tiba giliran kami. Teksi yang berhenti adalah milik seorang India berumur awal 50-an. Pada dashboard beliau terpapar gambar seorang jejaka India kacak yang mengangkat tangan ala-ala menteri menyapa orang ramai. Seorang rakan menegur dan berlakulah perbualan di bawah:
A: Uncle, itu gambar uncle masa muda-muda ke?
Uncle: Tak la, adeeek. Ini gambar "Imam" saya.
A: Owh, ingatkan gambar uncle masa muda-muda. Ehehe.
Uncle: Saya tada ini handsome masa muda-muda dulu la, adeeek. Ini gambar "Imam" saya, asal itu India. Dia suka angkat tangan sama orang ramai.
S: Macam artis ye, uncle?
Uncle: Ya la, adek. Dia muda-muda lagi sudah popular. Ramai suka.
Kami: Owh, begitu~
Uncle: You tau ka, adeeek. Dia aaa (merujuk kepada "Imam" tersebut) sangat bagus punya orang. Apa duit dia dapat, summa kasi orang. Tada simpan. You tau aaa, adeek. Ada Imam yang pakai rantai emas itu orang kasi tapi dia tak mau pakai. Dia kata satu rantai emas bole kasi makan satu ratus orang miskin.
Kami: Wah, bagusnya dia!
Uncle: Biasa laaa, adeeek. Ramai-ramai musti ada satu dua ini macam. Kalau summa orang ini macam, tada la yang naik teksi.
Saya: Ramai naik teksi hari ni ye, uncle? Jalan jam teruk.
Uncle: Biasa laaa, adek. Public holiday memang ini macam. Tadi ada ramai juga orang potong barisan, mau bayar lebih sebab tada mau beratur. Lima ringgit extra pun sanggup bayar, biasa-biasa satu ringgit extra charge pun sussa mau bayar. Tada cukup rasuah polis, sekarang mau rasuah saya pula.
[Kami semua tertawa]
*******
Mari bandingkan dua cerita saya kongsi di atas. Apa perbezaan kedua pemandu teksi di atas? Pemandu teksi pertama sanggup menipu saya dengan mengambil laluan yang lebih jauh semata-mata untuk mengaut keuntungan lebih manakala pemandu teksi kedua menolak "untung lebih" yang hendak "disuapkan" kepada beliau.
Sungguh saya merasa kecewa dengan pemandu teksi pertama. Beliau seorang Muslim tetapi beliau menipu untuk mendapatkan sedikit keuntungan materialistik yang langsung tidak setimpal dengan balasan Allah Ta'ala atas kesalahan menipu dalam perniagaan. Tidakkah Allah mencela orang-orang yang menipu dalam perniagaan dan juga semasa membuat timbangan? [QS 83:1-3]
Lebih mengecewakan saya ialah kerana penipuan itu berlaku betul-betul selepas menunaikan fardhu solat Jumaat. Allah lebih mengetahui jika si pemandu menghadiri solat Jumaat atau tidak, tetapi biarlah saya bersangka baik dan menganggap beliau menghadiri solat Jumaat. Dan inilah yang mengecewakan saya kerana solat tersebut tidak berjaya menghindarkan si pemandu dari melakukan penipuan tersebut dek mahu mendapatkan untung tidak seberapa, sedangkan Allah telah menjelaskan peranan solat (yang ditunaikan dengan sempurna) yang sepatutnya mencegah kita dari perbuatan keji dan mungkar.
“Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Qur'an) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
[QS 29:45]
Kekadang saya tertanya kepada diri sendiri, "Dalam keadaan dunia yang materialistik hari ini, ke manakah hilangnya kejujuran kita?" Sedangkan kejujuran itu suatu sifat mahmudah (mulia dan terpuji) yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. Bukankah baginda telah dikenali sebagai al-Amin walaupun sebelum baginda dilantik Allah menjadi PesuruhNya melalui perantaraan Jibril a.s.?
Mungkin kebanyakan kita sudah mulai lupa tentang konsep Ihsan yang telah Rasulullah s.a.w ajarkan kepada kita.
". . . Kamu mengabdi diri kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya dan jika kamu tidak melihatNya, maka (yakinlah) bahawa Allah sentiasa melihat kamu . . ."
[Riwayat Muslim]
Saya akui, amat sukar untuk teguh berpegang dengan ajaran Islam yang sebenarnya - dipandu ajaran al-Quran dan as-Sunnah - dalam keadaan cabaran dunia hari ini. Tetapi janganlah langsung mengabaikan ajaran Nabi Besar kita tanpa langsung mahu cuba mengamalkannya. Ingat, Allah pandang pada usaha kita. Dan Rasulullah memberikan saranan untuk berbuat kebaikan dalam sebuah hadith yang bisa menjadi motivasi kepada kita:
"Bertaqwalah (takuti Allah) kamu di manapun kamu berada, dan iringilah kejelekan itu dengan kebaikan, nescaya (kebaikan tersebut) akan menghapusnya, dan pergaulilah orang-orang dengan akhlak yang baik."
[Riwayat Ahmad, Tirmidzi dan Al-Hakim dengan sanad yang hasan]
Mungkin saja kita rasa sukar tetapi yang sukar itulah jalan menuju Syurga Allah. Andai kita berada dalam kesusahan, ingatlah yang Allah sentiasa dekat dan sentiasa bersama kita di mana jua kita berada.
". . . Dan Dia (Allah) bersama kamu di mana jua kamu berada. Dan Allah sangat mengetahui segala apa yang kamu lakukan."
[QS 57:4]
Tanamkanlah sifat Ihsan dalam diri kita, insyaAllah sifat jujur akan mula bercambah dari benih Ihsan tersebut.
Ini adalah pesanan buat diri sendiri terutamanya, dan kepada semua saudara seagamaku. :')
"Ya Allah! Engkaulah Tuhan yang memegang hati-hati kami sekaliannya. Janganlah Engkau membalikkan hati-hati kami kepada kekufuran setelah hati-hati ini menemui kemanisan mencintaiMu."
4 comments:
a good piece of writing!besh sgt bacer::D stuju sgt..dlu tyme kat ipba,da memg slaloo sgt kena..tp xperla,berlapang dada..
btw, share bnyak2 lg chouji:D
i dont favor it too..
cheating in business, in any other occassions.., so not acceptable. untuk untung sikit, sanggup terima 'kerugian' besar. ironic la.
salam
menipu dalam apa juga yg kita buat skrg mcm dah jadi polemik. matlamat menghalalkan cara merupakan slogan Robin Hood yang diimani oleh ramai orang pada masa kini.
Students pun apa kurangnya, menipu dalam pelbagai urusan, assignment etc. dan semua disandarkan dengan pelbagai alasan yang menghalalkan cara menipu. Byk lagi contoh lain, so pabila dah terbiasa menipu, maka jadilah sperti mana firman Allah yang hidup ini adalah kesenangan yang memPERDAYAkan (Mata'ul GHURUR).
Maka jangan biasakan menipu walaupun perkara yg kecik dan remeh temeh. peringatan untuk diri saya terutamanya.
Ngel: Terima kasih, Ngel. InsyaAllah akan sentiasa cuba untuk berkongsi ilmu dan pengalaman di sini. :')
Sara: Inilah senario masyarakat Melayu. Sentiasa mahu jalan mudah untuk capai kejayaan. Usaha tak seberapa hari ni, dah nak kejayaan besar berlipat ganda esok hari. Sungguh mengecewakan bila Muslim sendiri mengamalkan sifat sebegini. *sigh*
Imran: Salam, akhi. Terima kasih kerana berziarah dan memberikan pendapat saudara. Benar komen saudara: Tentang menipu ni, melibatkan semua peringkat dan ruang lingkup yang luas. Bukan hanya orang-orang atau pihak-pihak tertentu sahaja. :')
Post a Comment