Sunday, January 24, 2010

Titik Mula Kita

Dengan nama Allah yang Mengasihani setiap hambaNya yang sabar dan bersyukur.

Siapa yang tidak mahu anak-anak yang berakhlak mulia?


Baru-baru ini saya membaca entri tulisan seorang teman bertajuk “Pendidikan Terbaik” di blog beliau [klik sini untuk baca]. Entri ini mengingatkan saya tentang tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman (Uzar) yang berjaya mencuri tumpuan saya ketika sedang membaca sebuah akhbar tabloid sebulan yang lalu. Headline itu berbunyi “Didik Anak Cara Betul.” Artikel ini rata-ratanya menyentuh tentang kepentingan mendidik anak dengan cara yang betul, dimulai dengan persoalan tentang cara menangani jumlah kes jenayah yang semakin meningkat di Malaysia [klik sini untuk artikel Uzar].

Uzar pada awalnya ingin menjawab persoalan itu yang ditimbulkan oleh seorang rakannya dengan jawapan “kembali kepada Islam” tetapi memikirkan yang jawapan itu mungkin terlalu umum untuk menjawab persoalan tersebut, beliau mengkhususkan jawapan tersebut kepada “peranan ibu bapa dan keluarga.” Ini kerana isu seperti kes jenayah dan keruntuhan akhlak di kalangan remaja bukan hanya salah individu atau pihak tertentu tetapi ianya adalah tanggungjawab bersama yang Uzar sebut sebagai “tanggungjawab kolektif.”

Kandungan artikel ini kemudiannya menyentuh tentang “cara-cara mendidik anak yang betul.” Uzar menggariskan 3 cara utama yang perlu ditekankan semasa mendidik anak iaitu:

1) Mendidik anak memerlukan pelan yang teliti dan bukannya secara spontan.

2) Menghormati anak sebagaimana kita mahu dihormati.

3) Memberikan penghormatan yang sepatutnya kepada anak.


Mendidik Anak Dengan Pelan Yang Teliti

“Keluarga adalah seperti sebuah syarikat awam.”

Saya begitu tertarik dengan analogi yang Ustaz Zaharuddin gunakan untuk menjelaskan ideanya yang pertama. Beliau memberikan analogi mendidik anak seperti mentadbir atau menguruskan sebuah syarikat awam yang perlu sentiasa ada pelan induk, teknik khas dan pelan kecemasan, selain sistem pemantauan yang baik. Si ibu bertindak sebagai Ketua Pegawai Operasi atau Chief Operating Officer (COO) yang bertanggungjawab melaksanakan dan menjayakan pelan induk. Si ayah pula sepatutnya berperanan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif atau Chief Executive Officer (CEO) yang mana ruang lingkup tugasan, peranan dan tanggungjawabnya adalah lebih besar dan menyeluruh berbanding si ibu.

Masalahnya hari ini, kebanyakan “syarikat awam” ini telah diswastakan dek CEO dan COO yang terlalu sibuk dengan urusan kerja masing-masing. Bukannya salah untuk ibubapa mencari duit untuk menyara anak-anak bahkan itu adalah suatu tanggungjawab, tetapi janganlah sampai anak-anak terabai dan tanggungjawab mendidik anak ini diserahkan bulat-bulat kepada orang lain – bibik mahupun pusat asuhan. Ibubapa perlu juga luangkan quality time bersama anak-anak.

Mari luangkan seminit untuk berfikir: Adakah sama bila kita mendidik anak sendiri jika dibandingkan dengan kita mendidik anak orang? Jawab sendiri soalan ini, pasti faham kenapa tidak boleh serahkan bulat-bulat tanggungjawab mendidik kepada orang lain.


Hormati Anak Agar Dihormati

Kebanyakan ibubapa hari ini banyak mengeluh tentang anak-anak mereka yang sedang meningkat remaja sebagai kurang beradab dan biadap.

Pernah terfikir apa yang mungkin menyumbang kepada permasalahan ini?

Menurut Uzar, ibubapalah penyumbang utama kepada permasalahan ini. Bagaimana? Melalui cara dan didikan awal yang “spontan” dan tidak betul. Ibubapa acapkali memarahi anak-anak dan menggunakan kata-kata yang kasar semasa “mendidik” mereka. Menurut Uzar, ibubapa seringkali bertindak selaku seorang individu berkuasa mutlak yang mengeluarkan arahan yang tidak boleh tidak dipatuhi oleh anak-anak. Jika tidak dituruti, anak-anak lantas dimarahi dengan kata-kata yang kasar dan nada yang keras. Membesar dalam environment sebegini, anak-anak lantas merasakan inilah cara yang betul dan patut dicontohi dan secara tidak sedar membesar menjadi individu seperti ibu bapa mereka.

Bukankah lebih baik jika ibubapa menggunakan bahasa yang lebih lembut dan sopan bila bercakap dengan anak-anak, contohnya: “Boleh tak tolong ibu/ayah buat ni?


Memberikan Penghormatan

Uzar menyelar tindakan ibubapa hari ini yang kurang memberikan penghormatan yang sepatutnya kepada anak-anak. Antara contoh yang diberikan adalah seorang anak yang bangun pagi dan menghala ke dapur tempat si ibu sedang memasak. Apa yang biasanya terjadi dalam situasi begini? Si ibu mengarahkan si anak untuk pergi gosok gigi, mandi dan sebagainya kerana si ibu sibuk memasak. Salahkah andainya si ibu meninggalkan tugas memasak buat sesaat dan menyapa si anak yang baru bangun dengan pelukan manja dan bisikan lembut sambil menyuruh anak membersihkan diri?

Contoh lain yang Uzar berikan adalah apabila anak-anak pulang dari sekolah. Ibubapa kadang membiarkan sahaja si anak seolah-olah si anak itu seperti “perabot buruk” yang tidak perlu diberikan perhatian. Kebiasaannya, bila si anak membawa pulang keputusan cemerlang barulah si anak dipuji sebaliknya jika tidak cemerlang, si anak dimarahi. Salahkah memberikan pujian dan penghargaan kepada si anak terhadap pencapaian kecil yang dia tunjukkan? Si anak bila tidak mendapat penghargaan (dan tumpuan) yang sepatutnya dari ibubapa, mulalah mereka ini mencari “sumber lain” di luar rumah untuk memenuhi keperluan dan rasa lebih dihargai.


Secebis Pendapat Saya

Saya sangat bersetuju dengan bingkisan pendapat hasil nukilan Ustaz Zaharuddin yang telah saya kongsi sedikit sebanyak di atas. Bagi saya, saranan Uzar ini selaras dengan cara mendidik menurut Islam dan menjawab kembali jawapan asalnya, iaitu “kembali kepada Islam.”

Kenapa perlukan pelan yang teliti dalam mendidik anak? Pertama sekali, mari lihat hadith Rasulullah s.a.w dan kemudian kita kaji maksudnya.

Dari Abu Hurairah (r.a), telah bersabda Rasulullah (s.a.w): “Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah seperti kain yang putih, ibubapalah yang bertanggungjawab mencorakkan mereka menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.
[Riwayat Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Ahmad, Malik
]

Hadith di atas dengan jelas menekankan peranan dan tanggungjawab ibubapa membentuk anak-anak - mengajar mereka mengenali Allah dan membesar sebagai seorang Muslim yang sebenar di dalam persekitaran Islam yang sihat. Untuk mencapai matlamat ini, ibubapa mestilah tahu cara yang betul untuk mendidik anak-anak mereka. Kerna itulah ibubapa disarankan agar mempunyai pelan yang teliti untuk proses mendidik anak-anak mereka.

Mari fikirkan sejenak: Berapa ramai sebenarnya ibubapa hari ini yang ada “pelan yang teliti” untuk mendidik anak-anak mereka? Mungkin akan ada yang menyelar, “ibubapa dulu takde pelan teliti untuk mendidik anak pun, tapi anak-anak tetap membesar menjadi orang yang beradab dan berjaya.”

Tolonglah, jangan bandingkan senario dahulu dengan sekarang. Bukan tak boleh bandingkan kerana tak sama, cuma sudah banyak yang kurang sesuai dan tidak lagi relevan untuk dijadikan bandingan atas faktor perubahan masa dan perbezaan jenis cabaran. Dulu dengan cara dulu dan cabaran dulu. Sekarang dengan cara sekarang dan cabaran sekarang. Dulu tiada kemudahan internet dan lain-lain media massa yang berpengaruh, malahan jiran-jiran saling mengenali dan mengambil tahu kemaslahatan anak masing-masing. Sekarang lain pula caranya. Media massa pelbagai, dengan telefon mudah alih dan sebagainya. Jiran sebelah rumah pun belum tentu saling mengenali, lalu nak harapkan siapa untuk saling memantau anak-anak?

Kita semua sendiri sedar hakikat ini tetapi apa tindakan para ibubapa? Masing-masing sibuk dengan tekanan tanggungjawab di tempat kerja, lalu para ibubapa melepaskan bulat-bulat tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pihak lain – bibik atau pusat asuhan. Pastikah yang bibik atau pusat asuhan dapat membentuk anak menjadi seorang Muslim yang berakhlak mulia? Lebih teruk bila ada ibubapa yang langsung tidak memperdulikan perkembangan intelek dan ruhani si anak tetapi kemudian menyalahkan pihak lain. Inilah kebiasaan atau tabiat buruk masyarakat kita yang dengan mudah mahu menyalahkan pihak lain apabila sesuatu masalah itu timbul. Ingatlah, satu jari menuding menyalahkan orang jemari yang lain menuding kepada diri sendiri yang hipokrit dan tidak tahu melaksanakan tanggungjawab.

Jadi, tanggungjawab mendidik anak itu adalah tanggungjawab bersama si ibu dan si ayah. Tetapi, bagaimanakah cara mendidik yang betul itu?

Saya adalah seorang pelatih guru Bahasa Inggeris yang akan melangkah ke alam pendidikan sebermula tahun hadapan (insyaAllah), dan ingin saya gunakan misalan guru dengan situasi mendidik anak di rumah.

Bagi setiap guru pelatih, mereka diajar untuk menyediakan lesson plan untuk kelas yang akan mereka masuki untuk sesi pengajaran. Lesson plan ini mengandungi pelan pengajaran yang juga disertakan teknik-teknik khas yang berbeza mengikut tahap kognitif pelajar (secara umumnya dari Tahun 1 ke Tahun 6, atau Tingkatan 1 ke Tingkatan 5), dan biasanya lesson plan ini dirangka untuk pelan tahunan yang menepati keperluan silibus dan kurikulum nasional. Seandainya si guru tidak menyediakan lesson plan, besar kemungkinan pengajarannya tidak akan memberi kesan yang dikehendaki dan objektif utama pembelajaran tidak mampu dicapai.

Sekarang mari kita letakkan ibubapa dalam situasi seorang guru. Dalam mendidik anak, para ibubapa juga memerlukan pelan yang bersesuaian dengan tahap kognitif mereka. Saidina ‘Ali (r.a) menasihatkan agar anak dididik dalam 3 peringkat: Pimpini mereka ketika 7 tahun pertama, bersahabat dengan mereka pada 7 tahun kedua, dan kemudiannya berikanlah mereka kebebasan membuat keputusan. Ini adalah panduan atau garis kasar untuk mendidik anak dan sebagai seorang Muslim, kita telah mendapat silibus dan kurikulum terbaik dari Maha Pencipta: KalamNya, Al-Quran Kareem dan Sunnah Rasulullah, utusan kecintaanNya.

Kitab Al-Quran ini tidak syak lagi menjadi petunjuk kepada orang-orang yang muttaqin (orang-orang yang bertakwa).” [Al-Baqarah, 2:1-2]

Sesungguhnya bagi kamu di dalam diri Rasulullah (s.a.w) itu contoh ikutan (teladan) yang baik, iaitu bagi mereka yang meletakkan harapan kepada Allah dan Hari Akhirat, dan mereka yang banyak mengingati Allah.” [Al-Ahzab 33:21]

Merujuk kembali kepada ulasan Uzar, anak tidak patut dididik secara “spontan”. Mengapa? Dalam “kespontanan” ibubapa itu, biasanya akan terlepaslah perkara-perkara yang kurang baik contohnya kata-kata yang kurang enak didengari. Dan kebiasaannya dalam keletihan ibubapa yang baru pulang dari tempat kerja, anak-anak menjadi “mangsa” mereka. Anak-anak kekadang dimarahi tanpa sebab atau tidak pada tempatnya. Bukan tidak boleh memarahi anak tetapi biarlah anak-anak dimarahi kena pada tempatnya. Jika anak berbuat salah, marahilah tetapi jangan menggunakan kata-kata yang kasar. Gunakanlah cara teguran yang lembut.

Dari Abdullah bin Amru (r.a) telah bersabda Rasulullah (s.a.w): “Suruhlah anak kamu mengerjakan solat apabila ia telah berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika enggan mengerjakan solat sedangkan mereka telah berumur sepuluh tahun.” [Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim]

Cuba kita susuri kaedah mendidik anak (melalui cara menyuruh anak menunaikan solat) yang diajar oleh Rasulullah s.a.w kepada kita dari petikan hadith di atas: Pertamanya si anak perlulah disuruh dengan cara yang baik dan beransur-ansur; dan seandainya tidak berkesan, baru si anak itu dipukul – bukan pukulan ganas yang bisa memberi kesan fizikal tetapi jenis pukulan berhemah yang bertujuan untuk mendidik. Perlu diberi perhatian, memukul anak mengikut cara mendidik anak saranan Rasulullah s.a.w, adalah pilihan terakhir apabila cara-cara “lembut” yang lain tidak berkesan dengan perlaksanaan yang teliti.

Dalam penulisannya, Uzar juga secara tidak langsung menekankan kepentingan menyediakan environment yang baik untuk mendidik anak-anak. Untuk menyediakan persekitaran yang baik dan Islami, ianya haruslah bermula dengan ibubapa yang mesti juga berakhlak Islami. Uzar memberikan contoh ibubapa yang bertindak selaku seorang individu berkuasa mutlak yang mengeluarkan arahan yang tidak boleh tidak dipatuhi oleh anak-anak. Anak-anak dilayan seperti tentera, yang menerima arahan dari kata-kata yang kasar dan nada yang keras. Membesar dalam environment sebegini, anak-anak lantas merasakan inilah cara yang betul dan patut dicontohi dan secara tidak sedar membesar menjadi individu seperti ibu bapa mereka.

Kita bisa melihat di mana-mana sahaja contoh kepada jenis ibubapa yang begini. Menurut Diana Baumrind (seorang developmental psychologist yang dikenali tentang kajiannya tentang parenting styles), jenis ibubapa sebegini dipanggil “authoritarian parents” dan anak-anak yang biasanya dibentuk melalui pendidikan sebegini biasanya pasif dan tidak pandai membuat keputusan. Walau bagaimanapun, apabila meningkat dewasa mereka ini akan mencontohi ibubapa mereka kerana merasakan itu adalah cara terbaek untuk mendidik anak. Ini diperkuatkan lagi oleh social learning theory yang dicadangkan Albert Bandura. Menurut Bandura, anak-anak kecil paling mudah belajar melalui contoh yang mereka lihat. Dalam erti kata lain, mereka belajar melalui teladan.

Kekadang dalam kesibukan di tempat kerja sehari-hari, ibubapa lupa memberikan penghargaan yang sepatutnya dan selayaknya. Malangnya, masyarakat kita hari ini terlalu materialistic dan hanya memandang pencapaian yang besar untuk memberikan penghargaan dan kata-kata pujian. Lihat sekeliling kita dan jawablah kepada diri sendiri: Bilakah agaknya si anak biasanya menerima penghargaan atau pujian dari ibubapa? Berapa kerap si anak menerima penghargaan dari ibubapa, dan berapa kerap pula si anak dikritik dan dimarahi tidak kena pada tempatnya?

Ibubapa perlu sedar yang mereka adalah role models pertama buat anak-anak sebelum si kecil mula mengenali dunia, sebelum mereka boleh diajarkan dan dikenalkan dengan role model terbaik seindah-indah pekerti iaitu Junjungan Mulia Nabi Muhammad (s.a.w). Baginda Rasulullah memberikan penghargaan dan penghormatan yang sepatutnya kepada anak-anak baginda dan kepada kanak-kanak lain secara umumnya. Baginda tidak segan silu mencium cucu baginda di hadapan sahabat-sahabatnya. Baginda sengaja melamakan sujud pabila putera baginda menunggangi belakang baginda. Baginda akan memberi salam apabila bertembung dengan kanak-kanak di atas jalan.

Refleksi diri dan cuba bandingkan dengan contoh ditunjukkan baginda Rasulullah: Adakah kita sebagai ibubapa telah memberikan penghargaan dan penghormatan yang sepatutnya kepada anak-anak?

Tidak perlu tunggu keputusan peperiksaan besar seperti PMR atau SPM baru anak hendak dipuji dan dihargai. Cukuplah dengan perkara kecil yang berjaya dicapai mereka seperti berjaya menggosok pakaian sendiri. Dan jangan pula si anak ini dibanding-banding dengan anak orang lain dalam keadaan menyalahkan atau memarahi si anak jika mereka tidak mencapai “standard” yang dilihat masyarakat. Ini kerana setiap individu membesar pada kadar yang berbeza dan tidak sama dari satu kanak-kanak ke kanak-kanak yang lain dan sebagai ibubapa, kita sepatutnya lebih tahu dan arif dengan perkembangan (dari segi fizikal, ruhani, emosi mahupun intelek) anak-anak kita sendiri.

Kepada para ibubapa, luangkanlah sedikit masa untuk merancang pendidikan anak-anak agar mereka membesar dengan akhlak Islami yang baik lagi terpuji dan bersahsiah mulia.


Baitul Muslim: Pendidikan terancang di rumah adalah titik mula kepada
seorang Muslim yang baik, insyaAllah. :')


Nota: Saya sedar yang saya tiada hak menulis komentari tentang cara mendidik anak-anak sedangkan saya sendiri masih belum menempuhi alam perkahwinan dan tidak mempunyai anak, tetapi bukankah lebih baik bersedia lebih awal untuk perkara-perkara yang mendatang? Forewarned is forearmed, so they say.



"Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami pasangan dan anak-anak (zuriat) yang bisa menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa."

No comments: