Tuesday, January 26, 2010

Aqli vs Naqli

Dengan nama Allah yang Maha Mengetahui tentang segala sesuatu.


Malam semalam, saya ke Surau Al-Ghazali sedikit lewat untuk bersolat maghrib kerana berbuka puasa di bilik bersama rakan-rakan (yang walaupun tidak berpuasa, turut sama-sama menjamu selera. Alhamdulillah).

Menjengah ke dalam, saya lihat Ustaz Ismail HEP sedang menyampaikan sebuah tazkirah berkenaan "Ashaabul Kahfi". Saya kurang pasti fokus utama tazkirah tersebut, tetapi saya agak tertarik dengan perbincangan tentang "Aqli vs Naqli".


Aqli atau Naqli?

Dalam tazkirah tersebut, Ustaz Ismail menyatakan yang naqli (Quran dan Hadith) tidak berguna tanpa aqli (akal fikiran). Ustaz Ismail menggunakan analogi memberikan buku kepada monyet. Sia-sia dan tidak bermakna kerana monyet tidak tahu berfikir bagaimana untuk menggunakan buku tersebut.


Secebis Pendapat

Saya bersetuju dengan pendapat tersebut. Cubalah belek naskhah al-Quran dan cuba perhatikan ayat-ayat Kalamullah itu, insyaAllah tidak terkira bilangannya ayat-ayat yang menyatakan tentang "orang-orang yang berakal" dan "mereka yang menggunakan akal fikiran" dan lafaz-lafaz lain yang setara dengannya. Dan lafaz-lafaz ini biasanya dipadankan dengan lafaz atau deskripsi "tanda-tanda kebesaran Allah Ta'ala" seperti kejadian langit dan bumi, kejadian hujan dan kemampuan dan kekuasaan Allah untuk menghidupkan dan mematikan. Sudah jelas yang ayat-ayat ini menjelaskan kepentingan aqli dalam mentafsir naqli. Bukankah al-Quran dan Rasulullah itu sendiri adalah sebahagian dari tanda kebesaran dan kekuasaan Allah Ta'ala kepada kita?

Tetapi, apa yang saya ingin tekankan di sini adalah kepentingan naqli itu sendiri. Ini kerana banyak di kalangan kita pada hari ini yang terlupa untuk kembali kepada naqli dalam permasalahan harian mereka. Mereka merujuk kepada ideologi dan fahaman orang-orang terkenal hebat pemikiran mereka, tetapi terkadang lupa untuk merujuk kembali kepada sumber Yang Maha Pencipta.

Firman Allah:

"Jika kamu berbeda pendapat di kalangan kamu, kembalilah (rujuklah) kepada Allah (al-Quran) dan PesuruhNya (sunnah Rasulullah) jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan Hari Akhirat."
[QS 4:59]


Bagi saya, aqli dan naqli ini keduanya bagaikan lautan dan pantai - tidak dapat dipisahkan dan perlu sentiasa bersama. Tanpa salah satu, yang satu lagi mungkin kurang bermakna. Wallahua'lam. :')

Al-Quran dan Sunnah itu panduan kita; akal fikiran pula adalah kemudinya, insyaAllah. :')



"Ya Allah! Jadikanlah hatiku hati yang mencintai al-Quran dan sunnah Rasulullah. Dan janganlah Engkau letakkan hijab antara hati dan 'aqalku dari memahami tanda-tanda kebesaranMu."

No comments: