Dengan nama Allah, pemilik ruhku dan ruh sekalian makhlukNya.
Semalam ketika aku mula hendak melelapkan mata, aku terima text dari seorang rakan mengkhabarkan tentang pemergian bonda rakanku Nurizzati Asyimah (Izz) yang telah dijemput Allah ke untuk kembali ke sisinya pada jam 6.40pm waktu Malaysia. Al-Fatihah aku hadiahkan buat ruhnya. Semoga beliau ditempatkan bersama golongan yang beriman dan dekat dengan Allah. Alhamdulillah, Izz sempat pulang ke Malaysia atas perkhabaran bondanya yang sedang tenat dan bertemu arwah sebelum beliau dijemput Allah.
Dan ini mengingatkan aku kepada pengalaman sendiri beberapa hari yang lalu.
2 November.Jam 5.56 petang, waktu New Zealand.Aku sedang dalam perjalanan menuju tempat kerja. Earphone di telingaku mendendangkan nasheed 'Allah Knows' tanpa henti. Setibanya ke baris "
When you lose someone close to your heart", lagu terus fade untuk menerima panggilan.
*Click*
Aku: Assalaamu'alaikum.
Suara: Wa'alaikumussalaam. Abang Wan nie.
Aku: Owh, abang Wan! Awat call? Ada apa nie?
Abang Wan: Nak habaq kat ang. Mak dah takdak.
Aku: Huh? Bila?
Abang Wan: Baru sat tadi. Lima ke seploh minit. Kat spital.
Aku: Pasai pa?
Abang Wan: Dari buah pinggang naek ke jantung.
Aku: Awat Din tak tau pon mak masuk spital?
Abang Wan: Saja tak mau habaq, nanti ang risau. Banyak sabaq kat sana na? Abah pesan tak yah balik la, bukannya sempat tengok jenazah pon. Ang buat la apa yang termampu dari sana.
Aku: Hurm.
Abang Wan: Jaga diri elok-elok kat sana. Assalaamu'alaikum.
Aku: Wa'alaikumussalaam warahmatullah.
*click*
*******
Masuk hari nie, genap seminggu arwah mak aku pergi meninggalkan aku dan hari ini baru jari jemariku berasa ringan untuk kembali menari di atas keyboard untuk berkongsi rasa dan pendapat di ruangan sempit ini (itu pon selepas menerima berita tentang arwah bonda Izz). Bukan kerana hati yang bersedih lalu aku tidak menulis tetapi kerna jemari yang enggan bekerjasama.
Sungguh, banyak rasa hati yang ingin dikongsi bersama. Banyak juga pengalaman yang ingin aku ceritakan. Tentang betapa Allah kasihkan hambaNya yang sabar. Tentang setiap kesusahan itu pastikan diiring kesenangan.
Biar saja aku mulakan penulisanku kali ini dengan peringatan dari Allah dalam surah al-Anbiya, ayat 35:
"Setiap yang bernyawa pasti merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan perkara buruk dan baik sebagai ujian buat kamu; kepada Kami jua kamu semua akan kembali."
[QS. 21:35]
Dalam ayat ini, Allah menjanjikan kepastian maut untuk setiap jiwa yang bernyawa atas muka bumiNya. Dan ayat ini disusuli dengan penekanan tentang ujian Allah ke atas kita sama ada dengan cara yang baek (nikmat yang kita suka) atau cara yang buruk (musibah dan kehilangan). Dan penutup ayat ini Allah mengingatkan kita tentang hakikat kita semua adalah milikNya dan akhirnya akan tetap kembali ke sisiNya.
Jadi, bagaimanakah kita menerima ujianNya? Ramai kiranya yang mendengus marah dan berkeluh kesah. Ada yang meraung panjang dan bersedih tak bertepian. Mungkin kerna jiwa yang tidak dapat menerima hakikat, atau mungkin kerna hati yang lalai dari mengingati Pencipta.
Acapkali, pabila berlakunya sesuatu musibah kita akan menyalahkan takdir atau apa sahaja yang terlintas di fikiran. Kenapa perlu begitu? Fikirkan semula. Mungkin kita berkata, "dah ketentuan Allah, aku terima" tetapi pada masa yang sama kita menyalahkan takdir atau laen-laen penyebab musibah. Siapakah yang mengaturkan musibah itu ke atas kita? Allah. Jadi kita secara tidak langsung sedang menyalahkan Allah atas PerancanganNya.
Teringat aku akan pesanan seorang sahabat di sini: "
Bersangka baeklah dengan Allah". Memang agak sukar untuk kekal kuat dan tabah ketika diri dilanda musibah. Kita kekadang rasa keseorangan dan ini mungkin antara penyebab kita merungut atau mengeluh. Tidak salah untuk merasa sedih bila dilanda musibah atau ketika kehilangan insan tersayang. Tetapi kita perlulah berpada dan bersabar dengan ujian Allah ini. Tidakkah Allah itu bersama orang-orang yang sabar?
"Wahai orang yang beriman! Carilah pertolongan dengan jalan sabar dan berdoa. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar."
[QS. 2:153]
"Kamu fikir kamu akan masuk ke Syurga tanpa Allah menguji kamu yang berusaha keras (di jalanNya) dan kekal bersabar?"
[QS. 3:142]
Kita terkadang lupa bahwa Allah sedang menguji kita. Dan kita lupa untuk sabar. Pabila kita sabar dan redha, insyaAllah hati menjadi lebih tenang. Bukankah di dalam al-Quran Allah telah janjikan kesenangan selepas diujikan dengan kesusahan? Dua kali Allah menyebutnya untuk memberikan penekanan tentang hal ini [QS. 94:5-6]. Alhamdulillah, aku dah rasainya dan insyaAllah di sini aku ingin berkongsi pengalaman tersebut.
*******
Aku tetap bekerja malam aku menerima berita pemergiannya mak aku. Aku minta diberikan kerja special cleaning di Central Library kerna kerja itu perlu dilakukan berseorangan dan ketika itu, aku memerlukan masa untuk bersendirian.
Sambil aku memvakum pejabat di Central Library, aku membiarkan nasheed Allah Knows terus berkemundang di hujung earphoneku. Niat agar aku dapat distract diri dari berasa sedih tetapi kepala tetap terbayangkan arwah dan perasaan rindu mula membuak dalam dada. Air mata mula bergenang dan pipi mula dibasahi air mata. Rasa sayu bila berseorangan ketika itu.
But Allah knows. Dia tahu betapa sedih hati aku ketika itu. Dan setiap kali aku berhujan seorang diri di situ, pada masa itu juga aku menerima panggilan telefon dari teman-teman dan kenalan di sini yang rata-ratanya memberitahu aku yang aku tidak berseorangan menghadapi kesedihan ini. Bagi aku, "kebetulan" aku menerima panggilan telefon ini seolah-olah satu cara Allah Taala sedang memujuk hatiku supaya jangan terlalu sedih atas landaan musibah dan bersabar menerimanya.
Dalam kehujanan itu, senyuman terukir di bibir kerana aku sedar aku punya teman-teman yang sentiasa sedia membantu di kala aku kesusahan. Dan lebih penting lagi, aku sedar aku ada Allah yang sentiasa kasihkan aku dan mendengar setiap rintih pilu hati yang diguris musibah.
Balik ke rumah malam itu, hati aku rasa sayu. Ada undefined feelings dalam diri yang aku tak bisa tafsirkan. Ucapan semangat dari rakan dan teman, "be strong", "tabahlah" atau "sabarlah" seolah tidak memberi kesan. Bukan tidak berkesan, cuma aku sememangnya sedang bersabar dan tabah menghadapi musibah. Yang aku mahukan ketika itu ialah untuk mengerti perasaan dan rasa saket yang merundung hati dan jiwa.
Selesai aku menunaikan solat jenazah ghaib buat arwah dan mengirimkan bacaan Yaasin dan tahlil (terima kasih semua yang datang mala tue. Jazaakumullah), aku termenung sebentar mengadap laptop. Kata nasihat seorang sahabat dari ramai teman-teman laen yang turut mengucapkan takziah melaui YM paling memberi kesan di hatiku:
"Janganlah rasa terkilan sangat. Redhalah dengan pemergian arwah."
Inilah antara kata-katanya. Hati aku rasa sangat lega mendengar nasihat ini kerana inilah yang aku rasakan pada saat itu. Bukan sedih yang menghiris hati - aku sedikit lega dengan pemergian arwah kerana biar arwah kembali kepada Pencita dari sentiasa diujikan saket yang berat buatnya.
Lebih banyak aku merasa terkilan dengan pelbagai perkara. Terkilan tak sempat bertemu. Terkilan kerna arwah tak sempat melihat perubahan padaku. Terkilan kerana tak sempat memberitahu dan berceritakan pelbagai isi hati kepada arwah. Terkilan kerana tak mampu melaksanakan hajat arwah untuk sama-sama membantu menguruskan jenazahnya.
Alhamdulillah, perbualan dengan sahabat tersebut telah banyak melegakan hati dan memujuk diri untuk tidak terlalu sedih mahupon terkilan dengan pemergian arwah, sebaliknya terima dengan hati redha atas pemergian tersebut. Pasti, ada kebaikan terselindung di sebalik PerancanganNya.
Dan aku dapat rasakan Rahmat Allah yang mahu mengajar aku untuk lebih bersabar. Dan aku dapat rasakan Dia bersama aku melalui setiap detik kesukaran landaan musibah dan Dia datangkan kepada aku kesenangan yang tak disangka-sangka setiap kali aku sabar menerima ujianNya. Alhamdulillah.
Mungkin coretan aku ini tidak seberapa tetapi aku berharap coretan ini dapat menyalurkan rasa hati aku untuk mereka yang sedang menerima ujian Allah dan sebagai ingatan dan teladan buat yang belum merasainya. Bersabarlah, dan insyaAllah Dia akan menghulurkan TanganNya (bantuan Allah) membantu kita tatkala kita susah. :')
Sungguh, kita semua adalah milik Allah
"Ya Allah! Kami semua adalah milikMu dan kepada Engkau juga kami semua kan kembali akhirnya. Buat mereka yang kami sayangi dan Engkau jemput mereka terlebih dahulu, Engkau naungilah mereka di bawah Rahmat dan PerlindunganMu dan tempatkanlah mereka di kalangan mukminin dan muqarrabeen. Dan andainya mereka punya dosa di dunia, ya Allah, maka Engkau ringankanlah azab mereka dan janganlah Engkau putuskan doa kami sebagai anak-anak untuk sampai kepada mereka."