Tuesday, November 16, 2010

Salam 'Aidil 'Adha 1431H

Dengan nama Allah, Tuhan sekalian alam.


Alhamdulillah, hari ni telah berjaya melaksanakan puasa sunat Arafah (memandangkan saya tidak berjaya menyempurnakan puasa enam Syawal. Kurang dua hari sahaja). Dan dengan terbenamnya mentari di ufuk barat (walaupun tidak kelihatan dek hujan yang tiada henti) sekejap tadi, tibalah sudah 10 Dzulhijjah 1431 Hijrah iaitu hari untuk umat Islam menyambut Hari Raya 'Aidil 'Adha.

Sambutan ini bertitik tolak dari kisah Siti Hajar ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim (a.s) bersama putera mereka iaitu Nabi Ismail (a.s). Sambutan ini juga sebagai mengingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim (a.s) yang menurut perintah Allah Ta'ala untuk menyembelih puteranya sendiri yang tidak sedikit pun gentar, malah sabar dan redha dengan ketetapan Allah itu. Dan selanjutnya kita semua tahu tentang Allah Ta'ala menggantikan Nabi Ismail (a.s) dengan binatang sembelihan berupa kibas.

Jadi, 'Aidil 'Adha banyak disisipkan dengan kisah kesabaran dan kisah pengorbanan. Mari tanya diri kita: Adakah kita tergolong dari mereka yang banyak bersabar? Sudah banyakkah kita berkorban untuk agam Islam? Jawab kepada diri sendiri dan dari situ, mari kita bersama perbaiki diri.

Peringatan ini terutamanya buat diri sendiri. Bersabarlah dengan ujian Allah. Ingatlah wahai diri: Semakin banyak dan besar kemahuan kita, semakin berat ujian Allah. Ketika itulah Allah mahu melihat betapa besar pula kesabaran dirimu. Dan tentang pengorbanan. Ketika bersabar itu, jangan pula kikir untuk berkorban. Allah pandang pada usaha, bukan pada hasil. Dan lebih banyak dan besar sesuatu pengorbanan, insyaAllah akan lebih besar bantuan yang datang dariNya.

Akhir kalam, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan,

Selamat menyambut Hari Raya 'Aidil 'Adha kepada seluruh umat Islam. Semoga berjaya menghayati maksud sebenar kesabaran dan pengorbanan, insyaAllah. :')


-p/s: Tetiba rasa syahdu selepas bertakbir berjamaah di surau mengingatkan diri sendiri yang menyampaikan khutbah untuk solat sunat 'Aidil 'Adha pada tahun lepas di surau Kelburn. Pengalaman pertama kali, dan mungkin, sata-satunya peluang seumur hidup. Allahu a'lam.




"Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar! Walillahil hamd."

No comments: