Dengan nama Allah yang memberikan kita Rahmat Iman dan Islam.
Hari ini, Allah telah "berbicara" dengan saya tentang kehidupan - tentang kepentingan komunikasi dalam institusi kekeluargaan dan kemanisan menahan diri dari dosa. Alhamdulillah.
Institusi keluarga hari ini melahirkan pembuat dosa: Di manakah salah kita? Ya, Allah telah berbicara kepada saya melalui seorang rakan lama yang baru saya temui semula setelah 2 tahun saya berada di perantauan. Dua tahun tidak bersua; saya punya kisah sendiri di Welly, dan dia dengan kisahnya di tanahair.
Kisahnya Di TanahairKisah saya di Welly, insyaAllah
mungkin akan saya kongsikan di ruangan sempit ini suatu hari nanti. Sekarang biar saya berkongsi kisah rakan saya tersebut. Bukan niat di hati mahu meng'aibkannya (kerna itu biarlah saya membahasakan beliau sebagai Q) tetapi sekadar mahu berkongsi sesuatu sebagai pengajaran. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Bukankah begitu?
Ad-Deen NaasihahQ adalah seorang rakan karib yang telah lama saya kenali. Kami saling mempercayai hinggakan dia bisa menceritakan rahsia "hitam" hidupnya. Ya, Q terlibat (mungkin perkataan "terperangkap" lebih tepat di sini) dalam masalah zina. Hanya Allah yang tahu sudah berapa ramai bohsia yang ditidurinya. Na'uzubillaahi minzaalik.
Pertemuan saya dengan Q kali ini punya tujuan sama setelah sekian lama saya mengenalinya, iaitu untuk menjadi
listener setia dan
councillor tak bertauliah tempat dia meluah rasa dan berkongsi masalah. Secara jujurnya, Q malu dengan saya kerana baginya saya adalah Muslim yang lebih baik berbandingnya (terima kasih Allah kerna masih memberi saya kesedaran dan kemahuan untuk terus berusaha kekal atas jalanMu walaupun dari semasa ke semasa saya terbabas juga. Ighfirli ya Allah!). Oleh sebab itulah Q selalu mencari saya untuk sesi luahan rasa.
Benar Q sudah melakukan dosa besar di sisi Allah Ta'ala tapi bagi saya, saya tiada hak untuk menghukum beliau sebagai ahli neraka dan sebagainya. Jauh sekali untuk membenci beliau. Yang saya benci adalah perbuatannya. Bukankah Allah telah menjanjikan kemaafan buat setiap dosa hamba-hambaNya jika mereka mahu bertaubat tatkala pintu taubat masih terbuka luas, selagi mereka tidak menyekutukanNya?
Allah telah berfirman: "Wahai anak Adam! Selagi kamu berdoa dan mencariKu, akanKu ampunkan dosa-dosamu dan Aku tidak kisah (akan masa silammu). Wahai anak Adam! Andai dosamu mencapai langit dan kamu datang memohon keampunan dariKu, akanKu ampunkan. Wahai anak Adam! Andai kamu menghampiriKu dengan dosa sebesar dunia dan kamu menghadapiKu tanpa menyekutukanKu, sungguh akanKu beri keampunan kepada kamu sebesar itu juga (dunia)."
[Riwayat Tirmidzi yang menghasankannya, dari Anas r.a ]
Lalu apa hak saya untuk menghukum? Hak saya adalah untuk mendengar keluhannya dan cuba memimpin Q kembali ke landasan Allah yang lurus. Dosa itu urusannya dengan Allah dan hanya menjadi urusan saya andai saya tidak cuba menasihatinya untuk berubah.
Ad-deen naasihah! [
Hadith riwayat Muslim]
Perihal QKebiasaan Q, yang ditidurinya hanyalah bohsia. Pada Q, dia tidak perlu ada rasa tanggungjawab kerna bukan dia yang "merosakkan" di perempuan sebaliknya dia cuma "mengambil kesempatan". Astaghfirullah . . . moga Allah pelihara saya dari perbuatan, pemikiran mahupun keinginan sebegini!
Allah itu Maha Bijaksana, bukan? Mungkin Allah mahu menunjukkan beliau jalan keluar dari dosa, lalu Allah tetapkan apa yang telah terjadi untuk terjadi. Ya, Q tanda menyedari telah menebuk kelapa muda yang masih belum pernah ditebuk tupai! Ini menimbulkan rasa bersalah pada Q. Dia mula rasa tertekan dan dihambat dosa semalam. Ini membuatkan Q mula memikirkan soal tanggungjawab dan "masa hadapan".
Ya, inilah realiti kebanyakan Muslim (Melayu) pada hari ini. Sungguh menyedihkan!
Semoga Allah permudahkan jalanMu untuk kembali ke pangkal jalan, wahai Q! Itu sahaja yang mampu daku doakan buatmu di samping cuba menasihatimu.
Peranan Komunikasi dalam Institusi KeluargaKomunikasi berkesan memainkan peranan yang penting dalam membina sebuah institusi kekeluargaan yang kuat dan mantap. Ini rumusan yang saya dapat hasil mendengar cerita dari Q.
Menurut Q, kebanyakan (hampir 70% ke 85% menurut telahannya sendiri) bohsia yang ditemuinya adalah individu-individu yang tidak mendapat kasih sayang (dan bisa saya tambah, didikan agama juga) yang sepatutnya dan secukupnya dari ibubapa masing-masing. Mereka ini, sama ada sudah tiada ibubapa sedari kecil, atau sering diabaikan sejak kecil lagi. Dalam usia mereka meningkat remaja, ada yang ibubapa sibuk bekerja dan meninggalkan mereka hanya dalam jagaan bibik. Ada yang jarang melihat ibubapa yang acapkali
out-station. Ya, mereka ketandusan "sentuhan" ibubapa yang sepatutnya mencorakkan mereka selari dengan landasan fitrah agar dapat mereka membesar menjadi Muslim dan Muslimah yang baik, sepertimana sebuah hadith dari
Abu Hurairah (r.a):
“Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah seperti kain yang putih, ibubapalah yang bertanggungjawab mencorakkan mereka menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.”
[Riwayat Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Ahmad, Malik]
Walau ibubapa sering berada di rumah, anak-anak tetap "tidak selamat" dari cengkaman dosa maksiat. Kenapa? Lantaran
tiada komunikasi yang berkesan di rumah. Letakkan situasi ibubapa sibuk bekerja ke tepi dan biar kita cuba lihat senario yang mana ibu atau bapa banyak meluangkan masa di rumah bersama anak-anak. Bagaimana bisa anak-anak tidak menjadi manusia sebaliknya menjadi pendosa? Jawapan saya mudah:
Masa yang diluangkan lebih pada kuantiti tapi tiada kualitinya.
Acapkali ketika meluangkan masa bersama anak-anak, hanya jasad ibu dan/atau bapa yang bersama anak-anak tetapi jiwa masing-masing "hanyut" di tempat lain. Masing-masing melakukan hal sendiri, ibubapa tidak memperdulikan sangat apa yang si anak lakukan. Andai ada teguran, ianya berbentuk arahan yang tidak boleh dipersoalkan. Anak-anak dilayan tidak seperti manusia, hanya seperti haiwan yang bisa diarah itu ini tanpa diperjelaskan rasionalnya. Akibatnya, anak-anak membesar dengan jiwa pemberontak yang dalam diam mula membenci dan mahu melakukan apa yang si ibu dan/atau bapa telah melarang semasa mereka kecil. Secara jujurnya, saya rasakan cara mendidik yang terlalu
behaviourist ini bukanlah cara mendidik!
Baru-baru ini, saya membaca buku nukilan Ustaz Hasrizal Abd Jamil (juga dikenali sebagai Abu Saif di lawannya saifulislam.com) yang bertajuk
Bercinta Sampai Ke Syurga. Saya amat tersentuh dan bersetuju dengan cara Ustaz Hasrizal mendidik dan membesarkan anak-anaknya yang beliau kongsikan di dalam buku tersebut di bahagian 'keibubapaan'. Cukup terharu tatkala membaca coretan Abu Saif tentang "komunikasi psikologi" antara beliau dengan anak sulungnya, Saiful Islam semasa menerangkan tentang sesuatu perkara atau konsep. Beliau menggunakan bahasa yang lembut dan penjelasan yang kena dengan tahap si anak. Anak dilayan dengan perasaan hormat yang selayaknya, seperti mana melayan mana-mana manusia dewasa yang lain. Ya, ini barulah cara mendidik anak yang betul!
Keluarga yang baik perlu punya komunikasi berkesan antara ahli-ahlinya Mungkin, untuk merawat keruntuhan institusi kekeluargaan yang melahirkan pendosa pada hari ini hanya ada satu jalan: Iaitu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar [sila rujuk entri lepas bertajuk
Titik Mula Kita].
Menahan Diri dari DosaBagi pendosa, amat sukar bagi mereka untuk kembali ke pangkal jalan yang lurus. Kerna
dosa itu suatu ketagihan kepada minda, kepada jasad, dan kepada nafsu yang tidak mendapat siraman zikrullah secara berterusan. Hanya bila kita sentiasa mengingati Allah lah baru kita merasa takut (taqwa) untuk melakukan dosa.
Mencegah itu lebih mudah dari merawat.
Ingatlah: Yang halal itu jelas. Yang haram itu juga jelas. Dan di antara keduanya itu perkara-perkara syubahat yang tidak kita ketahui tarafnya. Untuk mengelakkan dosa, hindarilah perkara-perkara syubahat yang tidak dapat dipastikan secara jelas status halal haramnya, seperti pesanan Rasulullah (s.a.w),
Dari Abu Abdullah an-Nu'man bin Basyir (r.a) katanya, saya telah mendengar Rasulullah (s.a.w) bersabda: "Sesungguhnya yang halal itu terang (jelas) dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat pekara-pekara yang syubahat (tidak terang halal atau haramnya) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya dari pekara-pekara yang syubahat itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara syubahat itu akan tergelincir masuk ke dalam pekara haram . . . dan ketahuilah pada setiap jasad itu ada seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Dalam keadaan dunia hari ini yang porak peranda dan makin menghampiri akhirnya, memang sukar untuk mengasingkan diri sepenuhnya dari kemaksiatan. Kita bukannya hidup di zaman Rasulullah (s.a.w) di mana para sahabat bisa terus merujuk pada Baginda pabila ada sebarang kemusykilan dan permasalahan.
Di kala diri dirundung gelisah berkenaan dosa, ingatlah yang pintu taubat Allah itu senantiasa terbuka luas kepada kita selagimana kita tidak menyekutukanNya. TETAPI, jangan pula jaminan keampunan Allah ini kita jadikan "tiket" untuk berbuat kefasikan dan kemaksiatan di atas muka bumi Allah. Bak kata kebanyakan orang yang cetek ilmunya, "
hidup muda ni enjoy la dulu, dah tua esok kita bertaubat la!"
Tanya diri kita sendiri: Pastikah kita akan masih bernafas di esok hari? Seperti kita pula yang menyusun takdir bila pula Izrail kan datang menjemput. Ingatlah, karat besi yang sedikit itu mudah dikikir tetapi jika karat itu dibiar bertahun lamanya, masih mudahkah untuk mengikir karat tersebut dengan usaha yang sedikit?
Muslim yang berjaya ialah mereka yang menahan diri dari melakukan dosa. :') Walau dunia sudah makin kalut, kita sebenarnya masih dapat melihat sinar jalan lurus itu. Baginda Rasulullah (s.a.w) tidak meninggalkan kita terkapai-kapai sepemergiannya, Baginda tinggalkan kepada kita tanda kasihnya. Masih ingatkah kita? Semasa khutbah Baginda Rasulullah (s.a.w) yang terakhir, Baginda (s.a.w) telah mewariskan kita dengan dua perkara, yakni
al-Quran Kalaamullah dan Sunnah Nubuwwah, yang mana
selagi kita berpegang pada keduanya nescaya kita tidak akan sesat dari jalan Allah yang lurus buat selamanya. Buat selamanya, insyaAllah.
Oleh itu, sentiasalah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk sentiasa menahan diri dari melakukan dosa di samping meningkatkan amalan diri untuk menjadi Muslim yang lebih baik setiap hari. Semoga kita tergolong di kalangan al-Mukminun (mereka yang beriman), insyaAllah.
[QS 23:1-11].
Kemanisan menahan diri dari dosa bukanlah di dunia. Kemanisan itu ada di Akhirat sana, insyaAllah.
Ini ingatan buat diri terutamanya, dan kepada semua saudara seagamaku. :')
"Ya Allah! Engkau memiliki hati-hati kami, janganlah Engkau balikkan hati-hati ini setelah kami menemui kemanisan CINTA-Mu, ya Allah! Sungguh, Engkau lebih mencintai hamba-hambaMu yang kuat. Lalu jadikanlah kami Muslim yang kuat. Kurniaakanlah kami kekuataan hati, kekuatan minda, kekuatan jiwa dan kekuatan fizikal untuk sentiasa menahan diri dari kefasikan dan kemaksiatan di samping menambah dan melipatganda usaha kami untuk mencari KeredhaanMu, ya Allah!"