Saturday, February 20, 2010

Escapism?

Dengan nama Allah yang menjadikan Islam panduan seluruh umat manusia.


Saya agak kecewa dengan realiti kehidupan hari ini. Kecewa bila Muslim hanya "kembali" kepada agamanya di kala mahu membela diri dan memberi justification terhadap tindakan mereka. Amat mengecewakan.


Sekejap tadi, saya membelek sebuah akhbar tabloid tempatan. Tajuk utama berita hari ini berkenaan dengan seorang artis Malaysia yang popular sekitar tahun 80an yang dikatakan berkahwin lari dengan seorang gadis dari sebuah keluarga yang si artis ini memang telah sedia rapat. Biasanya saya langsung skip berita hiburan atau apa-apa yang berkaitan artis (saya tak kata salah membaca tentang hiburan, cuma saya langsung tak berminat. "Zaman muda" dulu saya merupakan pembaca tegar. Ehehe) tetapi kali ini tergerak pula hati untuk meneruskan membaca.

Saya selak ke halaman dalam untuk berita lanjut. Saya baca laporan berita dari pihak si "ibu mertua" yang katanya tidak memberikan restu perkahwinan dan mendakwa si artis pernah berjanji untuk mengahwininya. Dan saya baca pula laporan berita dari pihak si artis yang menyangkal tuduhan untuk memperisterikan si "ibu mertua" dengan "sumpah" atas nama Allah. Si artis juga merayu si ibu supaya merestui usahanya "yang tidak salah untuk mendirikan masjid secara sah mengikut sunnah Rasulullah."

Mata saya terpaku lama pada komentar si artis. Mahu ketawa. Mahu juga menangis. Tetapi saya lebih geram dengan si artis ini. Kerana menggunakan Islam sebagai "perisai"nya tanpa punya ilmu pengetahuan yang sepatutnya tentang hukum.

***********

Perkahwinan dalam Islam adalah suatu yang suci dan merupakan suatu ibadah bagi mereka yang mendirikannya. Ianya adalah asas pembinaan Daulah Islam selepas dari pembangunan individu.

Ini yang perlu dilalui oleh seorang Muslim untuk mengahwini seorang Muslimah jika benar mahu mengikut Sunnah Rasulullah:

1) Merisik
2) Meminang (dengan persetujuan kedua keluarga)
3) 'Aqad nikah

Dan untuk mengahwini gadis yang masih anak dara, si lelaki perlulah mendapatkan persetujuan dan keredhaan wali (ayah kandung, abang, dan seterusnya). Tanpa persetujuan dan keredhaan si wali, maka tidak sahlah perkahwinan itu.

Pemberian cincin sebagai tanda pertunangan, bertukar barangan hantaran dan bersanding itu hanyalah adat! Malahan, ada antaranya yang sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam sebenar (kerana mirip atau mengikut cara agama lain).

Rujuklah mana-mana kitab fiqh tentang munakahat (perkahwinan), inilah yang akan anda jumpa!

***********

Inilah sebab saya merasa geram bila membaca komentar artis tersebut. Kenapa? Kerana tindakannya "kahwin lari" itu langsung tidak mengikut cara Islam yang digariskan oleh Sunnah Rasulullah (s.a.w). Dengan hanya persetujuan dan kerelaan si gadis (tanpa dinyatakan tentang kebenaran oleh keluarga terutamanya wali yang layak), si artis menyandarkan tindakannya kepada Sunnah Rasulullah.

Astagfirullah.

Islam adalah agama yang syumul dan merangkumi ruang lingkup masa dan zaman, bersesuaian dengan mana sahaja tempat walau berbeza dari segi geografinya. Kerana Islam itu bukan hanya agama tetapi Islam adalah ad-deen yang merupakan gaya hidup atau lifestyle bagi para penganutnya.

Islam itu bukan hanya pada nama. Islam itu mestilah kita terima secara keseluruhannya. Jangan hanya mengaku Islam pada bahagian yang kita suka tetapi menolak Islam dan menolak hukum pabila sesuatu itu tidak menyebelahi kita. Ingatlah firman Allah yang menekankan tentang hal ini di dalam Kitab Agung panduan hidup kita:
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam sepenuhnya; dan janganlah mengikut jejak Syaitan kerana Syaitan itu adalah musuh yang nyata kepada kamu semua."
[QS 2:208]
"Mereka yang tidak beriman kepada Allah dan PesuruhNya, dan (mereka) yang mahu memisahkan Allah dari PesuruhNya, mengatakan: "Kami percaya kepada hal ini, tetapi kami menolak hal itu" . . . mereka itu sebenarnya (sama sahaja) dengan orang yang tidak beriman."
[QS 4:150-151]

Ingatlah firman Allah dalam surah Yunus ayat 12, saudara seagamaku! Janganlah jadikan Islam sebagai escapism hanya pabila kita dilanda musibah. Janganlah jadi hamba Allah yang tidak bersyukur dan melampaui batas, yang ego mengatakan perlakuannya betul sedangkan perbuatan tersebut dengan jelas menyalahi ajaran Islam yang sebenar!

Berbaloikah terselamat di dunia dengan menjadikan Islam sebagai escapism tetapi di'azab di Akhirat kelak? Na'uzubillah . . .


Jangan Islam hanya pada luaran; jadilah Muslim inside-out, whole-heartedly :')



"Ya Allah! Jadikanlah kami hamba-hambaMu yang menerima Islam sepenuh hati kami, yang cuba mendirikan Daulah Islamiyyah di dalam diri kami dengan tujuan memastikan Islam kembali megah di atas bumiMu ini. Allahumma ameen."

No comments: