Dengan nama Allah yang menciptakan Rindu.
Sudah lama aku tidak menulis di sini. Maaf, kehidupan baru sebagai guru terlalu amat sibuk sehingga tidak memberi ruang untuk menulis secara kreatif, berkongsi fikrah dan rasa. Tulisan ini hanyalah copy-paste dari Facebook note saya sendiri. Maaf atas penggunaan lafaz 'aku' sepanjang penulisan ini . . .
Hari ini aku menunaikan solat Jumaat di Masjid Kuala Nerang. Sendirian. Kerana 'anak-anak'ku di hostel pulang ke rumah. Bila sendirian sebegitu, aku seringkali hanyut dalam arus fikiran sendiri.
Dan ketika sendirian sebegitu juga perasaan sedih dan rindu itu acapkali mengundang tiba. Terutama sekali pabila aku berkunjung ke mana-mana masjid yang ramai orang berusia. Lebih-lebih lagi ketika solat Jumaat.
Senario
Walau fikiran mudah hanyut dek keadaan cuaca dan sekitar yang membahang, aku cuba fokus pada intipati khutbah yang padaku agak remeh dan membosankan. Penyampaian khutbah oleh khatib berumur itu juga tidak banyak membantu kerana penyampaiannya begitu mendatar dan kaku. Pada pendapatku, khutbah sepatutnya lebih 'hidup' dan 'dekat' dengan pendengarnya bukannya formal dan kaku sehinggakan pendengar rasa 'jauh'. Sepatutnya short and sweet, bukannya berjela-jela dengan kata berbunga-bunga yang sekadar lalu di kotak fikiran. Bila teks khutbah terlalu panjang berjela dan kaku sebegitu, pada audiens mula 'membeku' dan pintu ke ruangan minda mereka perlahan-lahan tertutup. Malu untuk diakui tetapi aku tidak terkecuali. Tanpa sedar atau mungkin di luar kawal, pintu ke ruangan mindaku juga perlahan-lahan tertutup dan hanya kembali terbuka luas di saat bilal melaungkan iqamah.
Aku bingkas bangun sementelah mendengar lafaz "qod qomatis solah" dan bergegas melangkah masuk ke ruangan kosong di antara makmum di saf hadapan. Sudah kebiasaan kerana selalu mengajar diriku sendiri dan 'anak-anak'ku di setiap solat jamaah mereka, apatah lagi ianya tuntutan terpenting digariskan Baginda Rasul (s.a.w) sendiri, aku bersegera merapatkan bahu ke makmum di sebelah kanan dan menyamakan tumit dan buku lali supaya saf yang didirikan itu sempurna. Bukankah kesempurnaan saf (lurus dan rapat) itu syarat penting kesempurnaan solat berjamaah?
Dalam usaha merapatkan saf tadi, terdapat ruang (gap) yang boleh memuatkan seorang kanak-kanak tadika di antara aku dan makmum di sebelah kiri. Segera aku menoleh ke belakang dan senyum kepada barisan makmum yang lebih tua di belakangku itu sambil tangan dengan lemah lembut mengisyaratkan supaya salah seorang mereka tampil dan memenuhkan kekosongan itu. Yang paling menyedihkan aku adalah apabila seorang pakcik berjubah dan berserban di saf belakangku itu menjeling tajam kepadaku seolah-olah memarahiku, "Apa pandang-pandang ke belakang lagi ni? Imam dah solat dan baca Fatihah dah nu!" sebelum terus mengangkat takbiratul ihram. Aku terkedu. Sudah gagal 'menjemput' makmum dari saf belakang, aku berusaha memaut lengan makmum di kiriku yang sudah bersolat supaya rapat kepadaku. Seperti yang dapat aku jangkakan, si makmum tersebut memasang 'kuda-kuda' dan tidak dapat ditarik untuk merapatiku. Imam sudah habis membaca Fatihah dan aku hanya mampu mengangkat takbiratul ihramku dengan perasaan sedih di hati. Dan rasa sedih itu mengundang rindu . . .
Sedih Mengundang Rindu
Sungguh aku rindu saat setiap minggu aku berkejar menunaikan solat Jumaat sama ada di Lambton Quay mahupun di surau Kelburn ketika ada kuliah pada hari Jumaat.
Pertama kali bersolat Jumaat di Lambton Quay, aku agak terkejut dengan 'format' khutbah Jumaatnya. Manakan tidak, sedari kecil aku diajar yang makmum perlu diam ketika khatib menyampaikan khutbah tetapi ketika di situ terdapat sesi soal jawab dan berdebat antara penyampai khutbah dan makmum. Solat Jumaat pertamaku di Wellington tidak khusyuk kerana terfikirkan apa yang baru aku saksikan. Selesai solat, aku bertanya beberapa kenalan tentang kemusykilan di hati. Persoalanku terjawab: Sesi "soal jawab dan debat" yang aku saksikan itu tidak termasuk dalam khutbah tetapi ianya ritual majlis ilmu sebelum khutbah yang hanya disampaikan sekadar memenuhi rukun-rukun khutbah. Di surau Kelburn pula, khutbah yang disampaikan adalah amat ringkas. Lebih kepada penyampaian peringatan ringkas tentang isu-isu penting sambil diseliti rukun-rukun khutbah.
Keadaan bersolat di surau atau masjid di Wellington, tak kiralah solat fardhu atau solat Jumaat mahupun solat sunat hari raya, adalah keadaan yang paling aku rindu sekali. Safnya rapat-rapat dan padat sehinggakan bahu antara makmum saling bersentuhan dan ketika tahiyat akhir, boleh dikatakan tiada seorang pun yang dapat duduk tasyahud dengan sempurna tanpa terduduk di atas kaki saudaranya di sebelah. Mulanya rasa lemas dan rimas dengan keadaan itu tapi lama-kelamaan jadi sangat selesa dan menyeronokkan. Bahkan keadaan itu jugalah antara sebab hubungan mesra terjalin antara sesama saudara Muslim yang menunaikan solat jamaah bersebelahan. Kenapa? Apabila terduduk di atas kaki saudaranya semasa tasyahud, mereka segera meminta maaf dengan ukir senyuman sementalah memberi salam pengakhiran solat. Selesai doa dan bersalaman, mereka ini biasanya akan berbual-bual sebentar jika ada masa padahal saling tidak mengenali sebelum solat tersebut. Di sinilah silaturrahim baru mula terjalin dan yang lama kembali erat. Bukankah itu salah satu tujuan kewajipan solat Jumaat?
Secoret Rasa
Mungkin ada yang berkata aku masih living in the past and have not moved on to the present. Itu tidak benar. I live in the present but I want - really, really want - to re-live that wonderful past I experienced in Wellington. Buktinya, aku seringkali berkongsi dan menceritakan kepada 'anak-anak'ku tentang keindahan dan kemanisan Islam yang aku rasai semasa di New Zealand dan dari masa ke masa aku akan menegur dan membetulkan mereka agar mereka akan mengikut acuan Islam sebenar, bukan acuan Islam yang telah dicemari karat-karat adat yang bertentangan dengan garis panduan Islam.
Tidak, aku tidak memperkecil mahupun memperlekeh golongan tua. Mereka ini lebih lama hidup dariku dan hanya Allah lebih mengetahui betapa lebih banyak kebaikan telah mereka lakukan berbanding aku yang masih baru menghirup udaraNya. Cuma aku kesal dan sedih bila aku tidak mampu berbuat apa-apa untuk memperbetulkan 'keadaan yang salah' kepada 'keadaan yang betul' di kalangan mereka yang lebih berumur. Bila ditegur, aku dijeling mereka. Menyedari hakikat itulah aku berazam untuk cuba semampu aku untuk membentuk generasi muda yang masih bisa aku lentur.
Dan tidak, aku tidak maksudkan di sini yang aku ini baik dan soleh. Aku terlalu banyak dosa jika mahu dibanding dengan 'anak-anak'ku yang masih kurang dosa itu. Tetapi aku mahu baiki diri. Itu inginku, itu kemahuanku. Aku sedar imanku lemah dan langkahku rapuh dalam menuruti Sunnah Baginda Rasul, tetapi aku mahu percaya yang Dia sentiasa ada untuk membantuku.
Dan selagi aku masih boleh menghirup dan menghembus udaraNya, aku percaya yang rindu ini tak mungkin hilang atau padam. Mana bisa sesuatu yang manis sebegini bisa hilang dan terpadam semudah itu? Biarlah aku senantiasa merindu andai dengan merindu itu mampu memberi kekuatan dan sokongan untuk kekal di atas jalanNya ini walau langkahku rapuh . . .
1 comment:
this is exactly an example of why I am afraid to come home.. takut cita2 nak bawa perubahan yang lebih baik tinggal angan2, dek kerana hanyut dalam lautan jahiliah yang akhirnya buat aku lemas sekali..
but dont let that bring u down.. insyaAllah kite try ubah mana yang kita mampu (i.e. golongan muda) dan mana tau sikit2 kita mampu ubah generasi kita?
doa byk2 juga mintak Allah terus tsabatkan kita di atas jalannya
Post a Comment