Pengalaman Pertama
Tanggal 13 Jun 2011, saya telah melalui satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Malam 12 Jun berlalu seperti biasa. Agak rutin -- menunaikan solat Maghrib berjamaah dengan para pelajar di asrama, kemudian mereka ke kelas masing-masing untuk prep dan saya dengan kerja sendiri. Mereka pulang dari prep, kami menunaikan solat Isyak berjamaah dan makan supper bersama-sama. Kemudian pulang ke bilik masing-masing untuk tidur. Itu rutin biasa kami.
Tetapi awal pagi 13 Jun agak berbeza buat kami semua. Sekitar jam 2.10 pagi, saya dikejutkan dengan ketukan di pintu. Terbuka sahaja mata, saya dapati lampu kecemasan telah bernyala menandakan bekalan elektrik telah terputus. Budak-budak ketuk pintu nak kejut Subuh agaknya, itu yang terlintas di fikiran saya. Kebiasaannya, mereka akan membunyikan loceng blok tetapi disebabkan bekalan elektrik yang terputus, mereka akan mengetuk pintu bilik saya. Melihat jam di telefon, saya merasa sedikit pelik kerana jam hanya menunjukkan jam 2.10 pagi. Ketika itu baru saya amati yang persekitaran bilik saya agak kabur (hazy). Aku sedang bermimpi agaknya, itu yang terlintas di fikiran. Ketika itu nafas mula terasa sesak. Segera saya bersegera keluar mendapatkan pelajar yang mengetuk pintu sebentar tadi.
Kuakan pintu itu menemukan saya dengan seorang pelajar bermuka cemas. "Awat ni?" saya bertanya dalam loghat utara. "Sir. Api. Bilik study Form 4," itu yang keluar dari mulut si pelajar, terputus-putus. Saya kaget sebentar mendengar perkataan "api", ditambah dengan persekiran yang sangat kabur dilitupi asap tebal. Minda pantas berlegar dan perkara pertama yang hadir di fikiran adalah untuk memastikan keselamatan semua pelajar. Segera saya memberikan arahan dengan suara lantang kepada pelajar yang masih lagi mundar-mandir di koridor:
"Cepat kosongkan blok. Pi turun, kumpui dekat dengan kantin!"
Alhamdulillah, para pelajar putera segera mematuhi arahan dan ketua-ketua dorm menjalankan tugas masing-masing memastikan kesemua pelajar ada di situ. Sudah pasti tiada lagi pelajar yang tinggal, segera saya mencapai pemadam api di luar bilik saya dan bergegas ke tempat kebakaran bersama dua orang ketua pelajar asrama. Lebih kurang sedepa dari pintu bilik study tersebut, kami sudah dapat rasakan bahang api yang sedang membara. Kami beranikan juga diri mendekati bilik tersebut dan inilah yang kami lihat:
Api yang marak memakan almari kayu dipenuhi buku-buku rujukan Tingkatan 4 yang di bawahnya terdapat tikar buluh. Api menjulang naik menjilat tirai.
Melihatkan api yang kian marak ini, kami menjadi teragak-agak untuk melangkah masuk ke dalam bilik ini dan memadamkan api tersebut. Tambahan pula, ketiga-tiga kami tidak pernah mengendalikan pemadam api sebelum ini dan ketiga-tiga kami hanya berkain pelikat -- bimbang jika api terpercik dan menyambar. Kami mengambil keputusan untuk beredar.
Jika anda berada dalam situasi seperti saya, apa yang anda rasa? Saya akui yang saya agak panik ketika itu tetapi saya berusaha menenangkan diri kerana mengenangkan para pelajar yang sedang bersama saya. Jika saya yang paling dewasa di antara mereka panik, bagaimana pula mereka? Itu yang memberi kekuatan untuk saya menjadi tenang. Segera saya menghubungi 994 dan warden asrama yang tinggal di luar. Alhamdulillah, 6 minit kemudian bomba pun tiba.
Bomba sedang menjalankan tugas
Kesan di bilik Bentara yang bersebelahan dengan bilik terbakar
Apa yang tinggal selepas kebakaran
Pandangan dari belakang bilik terbakar
Bomba sedang mendapatkan keterangan dan anggaran kerugian dari ketua warden
Inilah rentetan serba ringkas apa sebenarnya yang telah berlaku pada malam tersebut (ada sesetengah perkara terpaksa saya rahsiakan dan keluarkan dari penceritaan ini kerana kurang relevan. Harap maaf). Bomba beredar sekitar jam 3.30 pagi dan kekalutan mula beransur kurang sekitar jam 4.30 pagi setelah pengetua yang juga hadir pulang ke rumah. Para pelajar putera yang beragama Islam tidur di surau pada malam itu dan saya sendiri tidur di Bilik Strategi untuk menemani dua orang pelajar Siam.
Alhamdulillah, syukur amat ke hadrat Allah kerana tiada nyawa yang terkorban selain 3 ekor ikan peliharaan pelajar-pelajar Tingkatan 4 yang diletakkan dalam bilik tersebut. Ini antara nyawa-nyawa yang terselamat dari kebakaran tersebut:
5 ekor anak ikan yang terselamat. Mereka pastinya trauma dengan api. Kami mengembalikan mereka ke dalam kolam kembal ke samping keluarga mereka yang tercinta
Selepas Kebakaran
Pagi esoknya, saya sangat sibuk dipanggil ke sana ke mari untuk memberikan keterangan kepada pihak berwajib -- bomba, polis, wakil Pengarah JPN dan lain-lain (cuma saya terlepas dari ditemuramah oleh media kerana saya tidak dapat ditemui semasa pihak media tiba). Akibatnya, saya keletihan sepanjang hari itu.
Malamnya, saya tidur lewat sekitar jam 12.30 tengah malam tetapi terkejut dari tidur sekitar jam 2.15 pagi (ya, sekitar waktu saya dikejutkan semasa kebakaran). Saya cuba melelapkan mata tetapi tidak berjaya. Di fikiran masih terbayang-bayang api yang marak membakar. Kulit masih dapat merasa bahangnya yang kuat. Tiba-tiba airmata mengalir. Itu baru api dunia yang merupakan tinggalan kesan bakaran Api Neraka yang telah membakar bukit. Belum pun terbakar dengan api dunia sudah rasa begitu. Tak tahan. Betapa manusia lemah. Mampukah mengharungi seksaan Api Neraka yang berkali-kali lebih marak bakarannya dan berkali-kali lebih kuat bahangnya? Dan bukankah Allah SWT telah memberi amaran yang bahan bakar Neraka itu adalah dari batu-batu, jin dan manusia? Airmata terus mengalir, lebih laju. Na'uzubillah . . . Na'uzubillah . . . Na'uzubillah . . .
"Ya Allah! Aku takut Api NerakaMu. Jauhkanlah aku, ya Allah. Tsabatkanlah hatiku atas jalan menujuMu dan janganlah Engkau balikkan hatiku kembali kepada kejahilan. Kekalkanlah rasa takut ini dalam hatiku andai dengan rasa takut ini aku dapat kekal dan tidak tersasar dari mencari RedhaMu. Ameen ya Rabbal 'Alameen."
No comments:
Post a Comment