Dengan nama Allah yang tidak pernah tidur mahupun lupa.
Sebentar tadi, saya pergi makan lewat malam (supper) bersama para pelajar di dewan makan. Saya duduk semeja dengan seorang pelajar yang demam pada minggu lepas. Hampir seminggu saya tak nampak mukanya, jadi duduk di situ untuk berbual dan bertanya khabar.
Kami semua menikmati hidangan supper dengan rasa syukur. Sementelah menghabiskan secawan milo susu, saya pun mengucapkan "alhamdulillaah". Tiba-tiba seorang pelajar menegur,
"Sir ni, habis makan baca la doa tu bagi penuh."
Saya hanya diam dan menatap mukanya. Dengan yakin, pelajar itu pun membacakan doa lepas makan dengan suara yang kuat:
"Alhamdulillaahillazi ath'amanaa watsaqaana waja'alanaa minal khubutsi wal khabaa-is"
Saya tersenyum hingga ternampak gigi dan mengeluarkan sedikit bunyi akibat menahan ketawa. Pelajar tersebut tidak berpuas hati dan bertanya,
"Awat sir gelak kat saya pulak dah?"
Sambil tersenyum, saya menuding jari pada papan di dinding dewan makan yang ada tertulis doa lepas makan.
"Cuba baca tu kuat-kuat," kata saya ringkas. Pelajar tersebut menurut.
"Alhamdulillaahillazi ath'amanaa watsaqaana waja'alanaa minal Muslimeen"
Dia mula tersenyum sendirian bila menyedari kesilapan sendiri. Saya cepat-cepat menambah,
"Hujung doa kamu tadi tu doa masuk tandas. Patutnya kita mintak jadi orang-orang Islam dalam doa lepas makan, ni kamu mintak jadi setan. Yang kamu sebut 'khubutsi wal khabaa-is' tu maksud dia setan jantan betina. Nak jadi setan ka?"
Pelajar tersebut tersipu malu mendengar gurauan saya. Pelajar-pelajar lain di sekitar yang terdengar penjelasan saya turut sama tersebut dan ada yang tertawa. Pelajar yang ditegur turut sama tertawa.
***
Begitulah situasi hidup bersama pelajar di hostel. Pelbagai ragam dan kerenah. Banyak perkara dan pengalaman pahit manis dikongsi bersama.
Satu lagi sebab saya suka tinggal di hostel bersama 'anak-anak' saya kerana, dalam mendidik mereka saya sendiri belajar sesuatu yang lebih berharga. Dalam mendidik mereka, saya juga mendidik diri saya sendiri. Semoga Allah tetapkan Iman untuk sentiasa istiqamah dan ikhlas.
"Ya Allah! Bukakanlah luas-luas pintu hatiku untuk menerima ilmuMu dan janganlah pula Engkau menyempitkan dadaku dari menerima kebenaran dariMu."
2 comments:
http://synergistichatidoktormuda.blogspot.com/
salam ziarah ke blog anta..nice entry. Smoga usaha yg baik diberkati Allah
Salam 'alayk.
Thanks for your comment and also for dropping by. :')
Post a Comment