Friday, June 24, 2011

Ujian Ikhlas

Dengan nama Allah yang sentiasa bersama orang-orang sabar.




Maha Suci Allah kerana sentiasa memberi saya "peluang" mengajar 'anak-anak' tentang Kehebatan dan KekuasaanNya.

Hari ini, cuaca agak redup dan suasana permai. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa membelai, menghasilkan suasana tenang. Saya dan para pelajar seronok bersantai menikmati cuaca yang permai itu. Sekitar jam 12 tengahari, awan mendung mula berarak dan memenuhi dada langit. Kami semua melihat suasana itu dengan dahi berkerut. Ini kerana kami semua ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat hanya dengan berjalan kaki.

Sekitar jam 12.30 tengahari, hujan mulai turun membasahi bumi. Makin lama makin lebat. Beberapa orang pelajar merapati saya dan bertanya, "Sir, hujan makin lebat ni. Macam mana nak pi Jumaat?"

Saya hanya tersenyum dan berkata, "Nak dengar cerita dak?"

Mereka semua mengangguk.

"Bayangkan Masjid Kuala Nerang kita nak pi Jumaat satgi ni," aku memulakan cerita. "Makmum pakat penuh dah ni. Bilal pun dah ready nak azan dah. Tiba-tiba,"

Saya sengaja berhenti di situ. Muka mereka mula dipenuhi tanda soal.

"Tiba-tiba melangkah masuk dua orang lelaki bertopeng macam perompak bank dengan senapang di tangan masing-masing. Jemaah dalam masjid semua pakat ketaq dah."

"Pastu apa jadi, sir?" seorang pelajar bertanya.

"Haa, dua orang lelaki ni ambik mikrofon dan berkata: 'Siapa nak selamat, keluar dari masjid sekarang.' Kebanyakan jemaah pakat bersepah lari dari masjid tu. Depa lari tak cukup tanah."

"Lepaih tu laki dua orang tu buat pa, sir? Ada orang kena tembak dak?" seorang lagi pelajar bertanya.

Saya hanya senyum dan menyambung cerita. "Dodua laki tu toleh ke imam dan kata: 'Okay, pak imam. Dah boleh mula Jumaat. Kami dah halau semua yang munafiq dari jemaah ni.' Dan depa pun keluaq masjid camtu ja."

Kesemua pelajar tertawa mendengar pengakhiran cerita tersebut (ya, ini cerita tipikal yang selalu kita dengar atau baca di mana-mana saja tapi mempunyai kesan yang besar pada situasi saya sebentar tadi). Saya melihat keluar tingkap dan berkata kepada 'anak-anak' saya:

"Hujan kat luaq nu sama la macam dua orang laki tadi. Ni ujian Allah ja nak tengok kita betui-betui ikhlas nak tunaikan solat Jumaat kerana Dia ka dak. Kalau orang yang ikhlas, dia ready ja. Kalau hujan makin lebat jugak dan dia tak boleh nak pi, nak buat macam mana kan? Rukhsah la, solat Zuhur di rumah. Kalau hat tak ikhlas tu, agak-agak macam mana la?"

Seorang pelajar sengih dan menjawab, "Mesti pakat tarik selimut selubung badan, pastu lena sampai petang!"

Saya mengangguk dan kami semua tertawa.

"Dah, dok gelak apa lagi ni. Pi mandi, bersiap nak pi Jumaat nu."

Mereka beransur untuk mempersiapkan diri untuk menghadirkan diri ke hadrat Allah untuk ibadah solat Jumaat berjamaah. Ngauman hujan lebat langsung tidak berkurang di luar tingkap . . .

Hujan itu Rahmat Allah. Banyak manfaat dari segi fizikal dan juga sebagai pengisian ruhani. :')

Sekitar jam 1 petang, para pelajar mula ber'kumpul' di koridor luar bilik saya. Mungkin istilah "bersidai" adalah lebih sesuai. Dahi masing-masing berkerut memikirkan cara untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat. Ada yang mencadangkan supaya solat sahaja di surau.

"Sabaq la," pesan saya.

Selepas beberapa minit, hujan berhenti dengan tiba-tiba. Awan mendung mula berarak pergi dan dada langit mula disimbahi limpahan cahaya mentari. Maha Suci Allah yang Berkuasa ke atas segala sesuatu.

Saya melihat 'anak-anak' saya dan mereka tersengih menampakkan gigi.

"Jom, sir. Pi Jumaat!" beberapa orang pelajar berkata sambil memaut bahu saya.

"Ikhlas kerana Allah dak ni?" saya bertanya sinis dengan nada bergurau.

"Ikhlas!" jawab mereka serentak.

"Alhamdulillah. InsyaAllah..."

Saya hanya tersenyum ketika berjalan meredah lecah dan lopak air hasilan hujan lebat sebentar tadi. Maha Suci Allah yang telah memberi "peluang" kepada saya untuk mengajar dan mengingatkan 'anak-anak' saya tentang konsep ikhlas.



"Ya Allah! Ikhlas itu payah diperoleh tetapi tidak mustahil. Pabila telah Engkau berikan kami nikmat ikhlas itu, janganlah Engkau tariknya semula dari kami. Dan tetapkanlah hati-hati kami atas JalanMu."

2 comments:

Puding karamel said...

bermaknanya erti seorang pendidik berbanding pengajar.

hafiz CHouJi said...

Alhamdulillah, itu antara salah satu sebab mengapa saya memilih untuk menjadi pendidik - setelah melihat keindahannya yang dialami arwah mak saya. :')