Monday, June 27, 2011

Belum Cukupkah?

Dengan nama Allah yang IlmuNya Maha Luas.


Seorang pelajar datang menemui saya di bilik guru ketika selang waktu rehat petang semalam. Ketika itu saya sedang khusyuk mentelaah buku tulisan ustaz Zaharuddin bertajuk A Comprehensive Prayer Formula. Beberapa kali pelajar itu memanggil 'sir' tetapi tiada sahutan dari saya akibat terlalu khusyuk membaca. Sehinggalah si pelajar itu memanggil saya dengan nama penuh,

Pelajar: Sir Hafizuddin bin Yahaya!
Saya: Ya, saya? Owh, Haleeza (bukan nama sebenar)! Ada apa nak jumpa sir?
Haleeza: Nak bayaq yuran.
Saya: Sat na. Sir nak ambik buku resit sat.
Haleeza: Sir dok baca buku apa tu yang khusyuk sangat sampai saya panggil tak dengaq?
Saya: *tersengih dan menghulurkan buku kepada Haleeza*
Haleeza: Apa dia tulih ni sir? Tak paham. Pasai solat ka? *meneka setelah membelek buku tersebut dan terlihat gambar orang bersujud*
Saya: Yup, pasai solat.
Haleeza: *ketawa kecil* Sir dok baca pasai solat~
Saya: Salah ka?
Haleeza: Tapi sir dah pandai solat, pandai agama. Awat baca pasai solat lagi?

Okay, ini antara perbualan yang berlaku petang semalam. Ya, perbualan ini telah diolah semula supaya sesuai untuk bacaan umum. Saya mempunyai satu soalan mudah:

Jika anda berada dalam situasi saya, apakah jawapan anda kepada si cilik 13 tahun ini?


Saya tidak tahu apakah jawapan anda (jika sudi, silalah kongsi di ruangan komen. Terima kasih) tetapi ini jawapan saya kepada si cilik 13 tahun ini:

Saya: Last exam Haleeza dapat berapa markah untuk English? (sengaja tanya sedangkan sudah tahu kerana saya adalah guru Bahasa Inggerisnya)
Haleeza: 74 ja.
Saya: Dapat A dak?
Haleeza: Dak...dapat B ja. Satu markah ja lagi nak dapat A. Sir kedekut! *sambil menarik muka masam*
Saya: Eh, jangan la tarik muka camtu. Senyum sikit. Haa, baru comey macam tu.
Haleeza: *tersengih*
Saya: Okay, ujian tengah tahun baru ni Haleeza dapat berapa markah?
Haleeza: 78!
Saya: Haa, dah dapat A kan?
Haleeza: *tersipu-sipu*
Saya: Macam mana Haleeza boleh dapat A?
Haleeza: Mesti la sebab saya rajin study!
Saya: Haa, Haleeza dah pandai English tapi masih study nak dapat lagi elok kan? *Haleeza mengangguk* Sir pun macam tu jugak. Sir pandai dah solat tapi sir kalau boleh nak buat la yang terbaik. Macam Haleeza nak dapat A untuk BI, sir pun nak dapat A untuk solat. Baru la boleh nak masuk Syurga. Haleeza pun nak masuk Syurga kan?
Haleeza: Nak!
Saya: Haa, kalau nak masuk Syurga kena la sentiasa belajaq dan elokkan amalan kita. Faham kan?

Dalam mana-mana ujian di sekolah kita sentiasa mahukan A. Dunia ini ujian, fardhu ibadah itu instrumen ujiannya. Adakah kita berusaha untuk mendapat A? :')

Haleeza mengangguk dan urusan pembayaran yuran berakhir di situ.

***

Mungkin nampak macam isu kecil sahaja, tapi impaknya besar. Dalam masyarakat (Melayu) kita, seolah-olah sudah terbiasa memperlekehkan dan tidak menjawab soalan anak-anak kecil dengan jawapan yang sepatutnya. Seringkali kita melihat orang dewasa akan memberi jawapan yang kurang meyakinkan dan kadangkala diselitkan dengan 'penipuan' kerana pada pandangan mereka, kanak-kanak masih belum bersedia menerima jawapan yang sebenarnya.

Benarkah begitu?

Allahu a'lam, Allah lebih mengetahui. Tetapi pada pandangan saya, apabila seorang kanak-kanak bertanyakan sesuatu, jawablah dengan tulus dan dalam cara yang paling mudah untuk si kecil fahami. Kerana di peringkat umur sebeginilah seorang insan itu paling mudah menerima sesuatu ilmu atau kebenaran. Bukankah Baginda Rasulullah (s.a.w.) sendiri meninggikan martabat ilmu dan mewajibkan setiap Muslim untuk menuntut ilmu sepanjang masa? Lalu mengapa perlu mengisi minda anak-anak kecil dengan 'penipuan' sedangkan minda-minda muda itu boleh diajar dan dipupuk dengan risalah kebenaran yang tulus?

Anda setuju atau tidak dengan pendapat saya, itu terpulang pada anda. Saya sekadar berkongsi pendapat saya yang tidak seberapa. Kerna saya percaya minda anak-anak kecil itu terlalu berharga dan perlu dilayan sebaik mungkin dan diisi dengan fikrah Islamiyyah seawal usia mereka dapat membezakan yang baik dari yang buruk (usia mumaiyyiz).

Dan Allah itu lebih Maha Mengetahui.

1 comment:

Anonymous said...

*angkat tangan* cikgu, saya setuju :)

it's one of the things about malaysian kids chouji..we're not used to providing reasoning in educating them..when reasoning is a very good tool in making them understand why things are appropriate/inappropriate..

like explaining to that student of yours, one can always tell them that reading further can give you better understanding on a lot of things, which in turn helps you to improve on a lot of things too..

tapi, like you said, sometimes people think they're too young too understand, or it's just too complicated to explain in words kids can easily understand..i'm quite confused..they say melentur buluh biarlah dari rebungnya..tapi they don't really execute what they plan..sad, i know..

good analogy there chouji :)