Sunday, June 26, 2011

Aturan Allah

Dengan nama Allah, sebaik-baik Perancang.


Baru sebentar tadi saya menerima berita gembira dari seorang sahabat karib yang saya sayangi beliau semata-mata kerana Allah. Menurutnya, dia akan bertunang dalam masa dua minggu dan insyaAllah akan berlangsung 'aqad nikah selepas hari raya 'Aidilfitri.

Saya paling terharu membaca mesej kiriman beliau:

"Allah atur memang rasa lain. Rasa bahagia ja. :-)"

Ini antara isi kiriman mesej beliau ketika menyampaikan berita gembira itu. Saya tau kisah lampau beliau yang pernah kecewa dan punya luka yang dalam (dulu saya kurang faham perasaan beliau, sekarang sudah faham bila pernah alami sendiri).

Terluka dan kecewa, itu lumrah hidup. Kerana kita manusia biasa, lalu kita merasa sakit. Tapi apakah sakit itu membawa kita jauh atau semakin dekat pada Pencipta? Itu persoalan yang harus kita jawab sendiri.

Berbalik pada kisah sahabat saya ini, saya antara individu paling gembira mendengar perkhabarannya akan mendirikan Baitul Muslim ini. Kenapa? Kerana saya antara individu yang terlibat mengenalkan beliau dengan bakal pasangan hidupnya itu. Bukan niat saya ingin mengatakan kerana saya kenalkan maka beliau bertemu jodoh terbaik. Bukan sama sekali. Cuma saya gembira kerana dapat menyumbang kepada kegembiraan tersebut. Tak siapa antara kami yang pernah sangka ini akan terjadi. Benarlah kata sahabat saya itu, aturan Allah itu lain sekali dari aturan kita.

Tapi saya tidak berani mengulas lanjut tentang isu ini. Kekecewaan yang saya alami pernah dimulakan dengan perasaan bahagia tersebut. Entahlah di mana silapnya (mungkin sekarang, saya sendiri sudah sedar dan tahu apa silapnya tetapi biarlah menjadi rahsia sendiri). Mungkin -- ini cuma andaian saya -- mungkin, aturan Allah itu bergantung kepada tindakan kita. Andai kita lalai dan hanyut, yang baik boleh menjadi buruk buat kita. Kerna itu, perlu sentiasa tsabat dan sedar di atas jalan menuju Mardhotillah. Jangan sesekali lalai.

Letakkan hati kita ke dalam TanganNya. Biarkan Dia yang merancang dan mengatur, nescaya bisa bertemu bahagia. InsyaAllah. :')


Apa-apa pun sahabatku sayang, daku bergembira dengan kegembiraanmu itu. Doaku semoga Allah memberkati dan mempermudahkan urusanmu untuk menyempurnakan Deen-mu. Dan pesananku, janganlah sesekali lalai dan hanyut dari jalan kebaikan itu kerna bimbang, yang baik dan diberkati itu bisa menjadi buruk dan dimurkai.

Dan buat diriku sendiri, duhai sahabatku sayang, kuharap dikau sudi mendoakan yang terbaik. Harapanku kini hanya mencari Mardhotillah dalam apa jua ketentuanNya.



"Ya Allah! Kami merancang dan Engkau juga merancang tapi PerancanganMu tetap jua yang terbaik. Oleh itu, janganlah sesekali biarkan kami merancang sendirian."

No comments: