Dengan nama Allah yang sentiasa menguji hamba-hambaNya.
Kebelakangan ini, saya selalu mendapat berita yang kurang gembira untuk didengari. Berita dari atau tentang sahabat handai dan kenalan rapat. Berita tentang kematian. Berita tentang kemalangan, besar atau kecil.
Setiap kali menerima perkhabaran kurang gembira sebegini, timbul beberapa persoalan di kepala.
"Apa yang saya boleh lakukan untuk membantu?"
"Adakah ada sebarang cebisan bicara atau nasihat yang mampu menenangkan mereka?"
Pabila persoalan-persoalan sebegini timbul di kotak fikiran, pastinya akan mengingatkan saya kepada baris ayat ini:
"Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikulnya."
Ini kata pepatah Melayu. Bukan setakat indah bermadah, tetapi terbukti benarnya. Andai diri tak pernah menanggung beban derita yang sama, kita tak tahu betapa perit deritanya.
***
Memang benar, Allah telah meyakinkan kita yang Dia tidak akan membebankan hamba-hambaNya dengan ujian yang mereka tidak mampu tanggung [QS 2:286]. Tetapi sudah fitrah kejadian manusia yang telah Allah ciptakan lemah, kita amat mudah tewas kepada emosi dan perasaan pabila dilanda musibah.
Sedangkan Rasulullah (s.a.w) memerlukan Sayyiditina Khadijah (r.anha) di saat baginda takut di pertemuan pertama dengan Jibril (a.s) dan ketika Musyrikin Makkah menentang baginda. Inikan kita umat baginda yang lebih lemah Iman. Kerana itu kita sentiasa memerlukan orang lain sebagai teman bicara dan penyokong setia di kala kita rebah. Untuk sentiasa mengingatkan dan memberi tarbiyyah supaya kita kembali tegak berdiri. Itulah fungsi seorang sahabat.
Saya teringat tentang ketika saya masih di bangku sekolah. Pernah ada seorang sahabat yang kematian ayahnya. Semua orang mengucapkan takziah kepada beliau, berdoa ruh si mati diampuni Allah Ta'ala di samping mensedekahkan al-Fatihah bersama ucapan takziah itu. Saya tidak terkecuali. Dan saya masih ingat bagaimana ucapan takziah tersebut mengalir pada bicara seolah-olah air mengalir keluar melalui pili. Laju dan teratur. Kerana kalam sudah "terkarang" mengikut "skrip" orang ramai. Sedikit sangat rasa simpati itu, malah mungkin tiada empati. Kerana ketika itu saya tidak pernah kehilangan orang tersayang.
Tetapi jika hari ini saya menerima berita tentang sahabat yang baru kehilangan orang yang tersayang, tidak dapat dinafikan yang saya dapat merasakan "getaran" sedih dan sebak di dada. Kerana kematian patut mengingatkan kita kepada Allah, di samping kita merasa simpati dan empati kepada yang dilanda musibah.
Saya sangat bersyukur ke hadrat Allah Ta'ala kerana ketika saya menerima berita pemergian bonda tercinta lebih lima bulan yang lalu, ada ucapan nasihat dari seorang sahabat yang berjaya menenangkan hati dan jiwa yang sedih lagi terkilan di kala ucapan-ucapan takziah yang lain hanya bagai air melimpah ke daun keladi. Langsung tiada kesan. Tetapi bicara nasihat orang yang pernah melalui derita yang sama kesannya berbeza. Dan alhamdulillah, dengan ucapan nasihat beliau saya berjaya untuk kembali tegak berdiri.
Mengenangkan ini, saya sangat berharap saya juga mampu memainkan peranan yang sama. Terutamanya jika saya pernah melalui derita yang sama. Cukuplah andai ucapan dari saya walau sedikit mampu mengurangkan beban yang ditanggung mereka yang dilanda musibah. Sekurang-kurangnya biar mereka tahu yang saya sebagai seorang sahabat dan sebagai saudara seagama, sentiasa ada di sisi jika diperlukan.
“Hak seorang muslim atas muslim lainnya ada enam perkara: (1) Apabila engkau menjumpainya engkau berikan salam kepadanya. (2) Apabila ia mengundangmu engkau memperkenankan undangannya. (3) Apabila ia meminta nasihat, engkau menasihatinya. (4) Apabila ia bersin dan memuji Allah, hendaklah engkau mentasymitkannya (berdoa untuknya). (5) Apabila ia sakit hendaklah engkau menjenguknya. (6) Apabila ia mati hendaklah engkau hantarkan jenazahnya.”
[Riwayat Muslim dan Tirmizi]
Sayangilah saudara kita sepertimana kita menyayangi diri kita sendiri. Islam itu persaudaraan, bukan? :')
"Ya Allah! Engkaulah yang menguji hamba-hambaMu dengan musibah dan kenikmatan. Janganlah Engkau balikkan hati-hati ini untuk menjauhiMu di kala kami menerima ujian. Sebaliknya, Engkau jadikanlah ujian-ujianMu sebagai pendorong untuk mendekatkan kami kepadaMu."
2 comments:
ape nasihat kawan kmu tuh hfzdn?..
Salam, Sara.
Sahabat tu nasihatkan supaya jangan rasa terkilan sangat. Dalam situasi like mine when you were just less than a month to go home, tetiba je dapat berita camtu . . . rasa terkilan lebih dari rasa sedih. Terkilan sebab 2 tahun tak jumpa dan dah takde peluang nak jumpa dah, tak sempat nak balik tengok jenazah, tak mampu nak jalankan tanggungjawab sebagai anak untuk urus jenazah etc.
If you are in the position, sometimes emotions take control of you and you can't really think straight. Jadi bila ada yang betul-betul memahami, nasihat diorang la yang biasanya mampu to re-direct you untuk kembali kuat. :')
Post a Comment