Dengan nama Allah, satu-satunya yang layak menerima segala pujian.
Saya suka menulis.
Penulisan merupakan salah satu cara saya menyalurkan idea dan pendapat di samping menyalurkan emosi dari hati yang girang atau sedih ke dalam bentuk tulisan. Bagi seorang individu yang tidak fasih bertutur secara lisan - bukan kerana gagap atau masalah sebutan, tetapi kerna tidak pandai menyusun kata dan ucapan - maka penulisanlah yang menjadi kalam bagi saya menyampaikan maksud hati.
Saya hanyalah seorang insan biasa, malah jauh dari sifat sempurna yang hanyalah merupakan sifat Tuhan Maha Pencipta secara menyeluruh dan eksklusif.
Saya hanyalah seorang insan yang sentiasa mahu perbaiki diri dari sehari ke sehari. Menulis sebagai peringatan kepada diri dan teman pembaca melalui secalit bakat menulis kurniaan Allah ini.
***
Dahulu,
saya menulis untuk amuse pemikiran saya sendiri.
Tapi syukur,
Allah tunjukkan saya kegembiraan ini.
Kegembiraan menulis untuk berkongsi rasa
dan pendapat
dan secebis ilmu yang hanya milik Allah.
Saya menulis
untuk perbincangan, bukan berdebat.
Kerna benih persengketaan bisa bercambah dari perdebatan yang tidak tulus.
Saya menulis
untuk pendapat, bukan untuk menunjuk.
Kerna murka Allah ada pada sifat riya' dan takabbur.
Dan saya takut pada murka Allah.
Saya menulis
untuk mengingatkan diri dan menasihat, bukan menempelak.
Kerna diri sendiri tidak sempurna,
manakan bisa saya menghakimi orang?
Saya hanyalah insan biasa
yang jauh dari sebarang kesempurnaan.
Dan penulisan adalah kalam
yang menyuarakan hati dan minda saya.
***
Pertama sekali, saya ingin memohon maaf andai ada sebarang kesilapan atau andai ada yang terasa dengan sebarang penulisan saya. Saya tidak menulis tentang orang lain. Saya menulis tentang diri sendiri, tentang pengalaman diri dan pendapat saya berkenaan hal yang berlaku sebagai peringatan buat diri sendiri, sahabat handai yang mengenali serta saudara pembaca yang budiman.
Keduanya, silalah baca sebarang penulisan saya dengan jiwa yang tenang dan hati yang bersih dari sebarang perasaan benci, perkauman mahupun skepticism. Harapan saya, penulisan saya ini boleh menjadi wadah perbincangan ilmu untuk mencari kebenaran dan sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah, Tuhan Sekalian Alam.
Saya menulis dari hati sebagai kalam kepada minda. Semata-mata kerana Allah.
Saya menulis kerana Allah - untuk berkongsi dan menyebarkan ilmuNya. Itu janji saya dengan diri saya sendiri dan seorang sahabat yang sangat saya kasihi.
Bukan untuk nama.
Bukan untuk menunjuk.
Bukan untuk menilai atau dinilai.
Ini semua hak Allah dan saya langsung tiada hak.
Andai ada sebarang rasa riya' dan takabbur dalam hati saya semasa menulis, saya pohon keampunan Allah Ta'ala. Dia lebih Mengetahui hati dan diri saya lebih dari saya mengenali diri sendiri. Wallahu a'lam.
"Ya Allah! Daku pohon PerlindunganMu dari sebarang perasaan bangga diri dan menunjuk-nunjuk. Aku takut andainya ada dalam hatiku walau secebis perasaan riya' dan takabbur ini menyebabkan Engkau memalingkan Wajah dan ZatMu dari diriku yang hina ini. TanpaMu, sia-sialah ibadah dan sepanjang hayatku, ya Allah!"
No comments:
Post a Comment