Wednesday, April 7, 2010

Mengapa Perlu Cepat Melatah?

Dengan nama Allah yang menguasai Masa,


Saya tidak pernah gemar membaca atau mengulas tentang politik Malaysia. Bagi saya secara personal, politik Malaysia terlalu banyak drama dan "kekotoran" dan saya bukanlah "ahli"nya.

Tapi exception untuk entri yang satu ini.

***

Baru sekejap tadi saya membaca sebuah artikel dari HarakahDaily.net bertajuk "Apabila Bukan Islam Gunakan Istilah Islam" dan saya kagum dengan kedua-dua menteri Cina tersebut.  Menteri yang pertama menggunakan istilah Islam yang saya sendiri tidak tahu maknanya (iaitu itqan) dan menteri yang kedua menggunakan maksud dari ayat al-Quran dalam ceramah beliau. Tetapi kebodohan dan kesempitan pemikiran segolongan umat Islam berbangsa Melayu lebih lagi mengkagumkan bagi saya. Terlalu cepat dan mudah melatah. Selalu bertindak sebelum berfikir dengan diri dan akal yang tenang.

Ekoran penggunaan ayat al-Quran dalam ceramahnya, ahli Parlimen Taiping iaitu Nga Koo Meng telah dicemuh dengan pelbagai kata nista. Kecewa saya dengan sebilangan umat Islam berbangsa Melayu yang hanya tahu mengeluarkan kata-kata caci maki lagi nista pabila berlaku sesuatu isu yang kononnya menyentuh "sensitiviti agama". Bukan sekali terjadi hal begini. Tidak sampai dua tahun, telah banyak yang dapat kita saksikan. Antaranya, demo membawa kepala lembu [klik sini untuk lihat video] dan yang terbaru adalah isu penggunaan nama Allah. Dalam kedua-dua situasi ini, jelas kelihatan Muslim berbangsa Melayu yang dengan mudah mengutarakan pendapat yang jelas memaparkan kecetekan ilmu mereka dan ditambah dengan nada marah yang diselang-seli dengan kata-kata keras dan mengancam, jika tidak mengeluarkan kata-kata kesat atau nista.

Mengapa begini, wahai saudara-saudara seagamaku yang berbangsa Melayu? Mengapa perlu cepat sangat melatah?

Cuba lihat maksud firman Allah ini:

"Sesungguhnya manusia itu diciptakan bersifat terburu-buru."
[al-Ma'arij, QS 70:19]

Tidakkah kamu perhatikan maksud tersirat dan kebaikan yang mungkin menyusul dengan penggunanaan ayat al-Quran oleh bukan Islam untuk menyokong hujah mereka? Mestinya tidak bila kamu terburu-buru melontar nista sebelum berfikir. Letakkanlah fanatism beragama ke tepi buat sebentar (dan sebolehnya janganlah diambil semula) kerana Islam itu bukan eksklusif untuk Melayu sahaja, sepertimana Rasulullah bersabda yang Islam bukan hanya untuk bangsa Baginda iaitu bangsa Arab tetapi sebagai Rahmat Allah kepada sekalian alam.

Tenangkan fikiran, lapangkan dada. Sekarang mula berfikir.

Apakah maksud tersirat bila si bukan Islam menggunakan dalil Islam sebagai sokongan hujah? Bukankah itu bermaksud beliau sendiri mengakui validity al-Quran sebagai dalil hujah? Dan fikirkanlah, mungkin itu petanda yang Allah sedang membuka jalan bagi beliau yang bukan Islam untuk berjinak-jinak dengan agama syumul ini dan mungkin tidak lama selepas itu bakal menjadi saudara seagama kita semua.

Jangan membenci hanya kerana perbedaan fahaman parti politik. Allah pandang pada hati dan Iman kita, bukan pada Bulan atau Dacing yang kita undi.


Allah pandang pada Iman dan hati yang bersih, bukan pada Bulan atau Dacing yang dipilih


Akhir kalam buat entri yang satu ini, saya menyeru semua umat Islam terutamanya yang berbangsa Melayu supaya tidak bertindak terburu-buru apabila timbul sesuatu isu. Bersabar dan tenangkanlah fikiran terlebih dahulu sebelum bicara kerana seperti kata pepatah, "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya."



"Ya Allah! Ku pohon dariMu perlindungan dari sebarang tindakan bodoh lagi terburu-buru yang bisa membawa kepada pertelingkahan dan persengketaan sama ada sesama umat Islam mahupun antara umat Islam dengan yang bukan Islam. Semoga Engkau merahmati kami untuk saling hidup aman damai dan mengasihi satu sama lain."

2 comments:

mimiqt said...

salaam.

I agree with you my friend. It's a pain in my eyes (and heart) to see so many people who consider themselves as being conservative but couldn't see how shallow their mindsets are ..

hafiz CHouJi said...

Salam.

Thank you, Mimi. Your opinion is most appreciated.

You know, sometimes the acting hands just don't want to comply with the preaching mouth . . . for most people (I pray hard I don't belong to this group. Huhu). Hope you get what I meant here. Heh.