Monday, August 9, 2010

Allahumma Balighna Ramadhan II

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih.


Beberapa hari sahaja lagi sebelum menjelangnya Ramadhan Mubarak. Sesudah 2 tahun menyambutnya di New Zealand, tahun ini saya akan menyambut kedatangan Ramadhan di tanahair sendiri.

Ahlan wasahlan, ya Ramadhan!

Sungguh daku rindu pada Ramadhan. Hati melonjak riang kerana tak sabar nak bertemu. Juga rasa berdebar kerana risau hajat bertemu tak kesampaian kerana ajal itu rahsia Allah dan tiada dari kita yang tahu sama ada kita sempat bertemu Ramadhan tahun ini atau tidak. Saya masih ingat yang Allahyarham Ustaz Asri, vokalis utama kumpulan nasheed Rabbani, telah dijemput Allah ke sisiNya hanya beberapa hari sebelum tibanya Ramadhan. Itu kisah orang yang banyak amalan dan perjuangannya sebagai sumbangan kepada Islam. Andai Izrail datang menjemput diri kita sekarang, sanggupkah?

Jika bertanya diri sendiri, saya akan menjawab saya masih belum bersedia. Mungkin lebih tepat lagi, saya kurang rela sekarang. Hanya beberapa hari sahaja sebelum tibanya kekasih yang ditunggu, yang hanya kunjung tiba setahun sekali. Harap mohon diberi peluang bertemu.

"Allahumma balighna Ramadhan!"

"Ya Tuhan kami! Temukanlah kami dengan Ramadhan."

Ini doa saya setiap kali hati teringat pada Ramadhan. Sungguh, Allah Ta'ala yang menentukan segalanya tetapi menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa merancang dan memohon bantuanNya. Allah tidak membantu mereka yang tidak membantu diri mereka sendiri. Bukankah begitu?

Dan setiap kali saya teringat pada Ramadhan, setiap kali itu juga hati rasa sedih mengenangkan Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas telah disia-siakan tanpa diisi dengan sebanyak amalan yang mungkin. Jadi beberapa hari yang lalu, saya telah sediakan satu personal checklist untuk Ramadhan kali ini. Hampir sama dengan checklist tahun-tahun lalu, cuma dengan sedikit perubahan.

Dengan blog ini sebagai saksi, saya berjanji kepada diri sendiri untuk memenuhkan Ramadhan kali ini dengan:

1) Usaha membaca al-Quran sebanyak mungkin. Sebolehnya satu juzuk pada setiap malam sebagai bacaan utama, dan menyambung bacaan yang biasanya dilakukan setiap hari.
2) Berusaha untuk tidak tertinggal Tarawih berjamaah. Sekurang-kurangnya 8 rakaat Tarawih. Andai di NZ dulu selalu terlepas Tarawih berjamaah kerana bekerja pada waktu malam, tahun ini tiada alasan lagi. Sakit dan lesson plan itu cuma alasan.
3) Menjaga mulut dan hati dari perasaan mazmumah sesama insan, di samping menerapkan nilai-nilai murni dalam pengajaran di kelas setiap hari.
4) Melakukan amalan-amalan sunat seperti bersedeqah dan lain-lain dengan kadar yang lebih banyak.

Ya, memang banyak lagi amal ibadah lain tetapi ini adalah amalan-amalan yang telah biasa saya lakukan sedari kecil hasil didikan ibu bapa.

Antara amalan-amalan digalakkan dan patut dielakkan semasa Ramadhan. :')

Islam adalah agama yang syumul, tidak hanya terbatas bila di dalam masjid atau ketika berbaju Melayu atau ketika di bulan Ramadhan sahaja. Tetapi untuk dijadikan sebagai gaya hidup atau lifestyle, dan Ramadhan adalah platform untuk melatih diri bagi tujuan itu.

Jadi marilah kita sama-sama berusaha untuk memanfaatkan Ramadhan kali ini andai kita masih berpeluang agar kita sentiasa bersedia andai Izrail datang menjemput. Dan sentiasalah berdoa agar diberi peluang bertemu Ramadhan. Allahumma balighna Ramadhan, ya Allah!






"Ya Allah! Berikanlah kami peluang bertemu Ramadhan kali ini agar kami bisa melatih diri kami untuk menjadi Muslim yang lebih baik setiap hari."

No comments: