Dengan nama Allah, sebaik-baik Perancang.
Semalam saya menyertai sekumpulan pelajar IPBA menghadiri Malam Puisi Riong anjuran kumpulan Berita Harian dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Temanya adalah "Gaza: Deritamu Palestin, Derita Kami" dan diadakan di Galeri Kulliyyah Senireka dan Senibina Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Gombak.
Poster utama
Menggabungkan beberapa tokoh sasterawan, artis, ilmuwan dan ahli politik, Malam Puisi Riong ini bertujuan untuk melancarkan secara rasmi Tabung Kemanusiaan dan Pendidikan Palestin anjuran bersama kumpulan Berita Harian dan ABIM dengan kerjasama Global Peace Malaysia dan UIAM bagi membantu mengumpul dana yang secukupnya (jika tidak salah, sekitar USD5juta atau mungkin lebih) untuk melangsaikan hutang tertunggak rakyat Palestin yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertiari dan juga membantu mereka yang bakal melanjutkan pelajaran tetapi tidak berkemampuan.
Secara ringkasnya, Malam Puisi Riong ini menjadi platform untuk merasmikan tabung tersebut dan pada masa sama menjadi wadah menyalurkan rasa simpati dan kasih serta kemanusiaan warga Malaysia secara amnya dan umat Islam secara khususnya buat warga Palestin yang kini ditindas oleh regim Zionis Yahudi.
Berikut ialah sorotan majlis tersebut secara ringkas:
Majlis dimulakan dengan ucapan oleh pengerusi majlis.
Persembahan oleh kumpulan Usratika yang mana dua orang ahlinya adalah pejuang kemanusiaan yang berada di atas kapal Mavi Marmara semasa berlakunya tragedi.
Ucapan oleh Muhammad Razak Idris, Presiden ABIM.
Deklamasi puisi oleh Presiden ABIM.
Deklamasi puisi oleh Datuk Mior Kamarul Shahid, pengarang kumpulan Berita Harian.
Ucapan perasmian oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Deklamasi puisi oleh Timbalan Perdana Menteri.
Sumbangan oleh Tan Sri Muhyiddin kepada Tabung Kemanusiaan dan Pendidikan Palestin.
Deklamasi puisi penuh emosi oleh Masli NO, penyair yang sedang meningkat naik.
Deklamasi puisi oleh Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady, ilmuwan dari UIAM.
Deklamasi puisi oleh Dr. Md Nur Manuty, Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.
Deklamasi puisi penuh tenaga oleh Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin, Sasterawan Negara yang juga pensyarah Kesusasteraan Melayu di UPM.
Persembahan nyanyian oleh penyanyi baru berbakat besar, Mohd Shukri Nasron atau lebih dikenali sebagai Cicik.
Deklamasi puisi oleh Prof. Tan Seri Dr. Mohd Kamal Hassan, pensyarah UIAM.
Deklamasi puisi oleh Datin Seri Fatini Yaacob, peneliti dan penulis buku berkenaan Natrah.
Persembahan nyanyian bertajuk Cintamu Natrah oleh Ahmad Ramli berlatar belakangkan suara Usratika.
Persembahan solo Ahmad Ramli yang menyanyikan lagu bertajuk Merpati Putih - sebuah lagu bermesej keamanan yang mendalam maksudnya.
Persembahan kemuncak oleh Papa Rock, Ramli Sarip.
Malang sekali kerana saya tidak dapat tunggu sehingga majlis ini berakhir kerana pemandu bas sudah memberi signal kepada kami untuk segera kembali ke bas untuk segera pulang ke IPBA.
Saya amat berharap yang Malam Puisi Riong ini tidak kekal hanya sebagai malam berhibur tetapi berjaya berkongsi dan menyampaikan mesej kemanusiaan kepada yang hadir dan yang tidak dapat hadir sekaligus membantu warga Palestin dan Tebing Gaza terutamanya melalui tabung kemanusiaan yang telah dilancarkan.
Semoga niat dan usaha murni mereka yang terlibat dipandang oleh Allah Yang Maha Kuasa dan sekaligus menyampaikan bantuanNya kepada saudara Muslim kita di Palestin sana dalam bentuk bantuan yang tidak kita sangka-sangka. Ameen.
"Ya Allah! Kami lemah tetapi Engkau Maha Perkasa, maka kami letakkan nasib kami sekaliannya dalam TanganMu kerna kami kami tahu, walau sehebat mana kami merancang andai tanpa RedhaMu maka semuanya adalah sia-sia belaka. Sungguh, Engkaulah sebaik-baik Perancang."
No comments:
Post a Comment