Dengan nama Allah yang Maha Mengetahui.
Pagi tadi di SMK Bukit Jalil ada melaksanakan sambutan Majlis Khatam al-Quran peringkat. Antara salah satu aktiviti yang dijalankan ialah penyampaian ceramah agama untuk berkenaan Nuzul Quran.
Di sini saya ingin berkongsi salah satu cerita yang menjadi selingan semasa penyampaian ceramah oleh penceramah jemputan ke Majlis Khatam Quran SMK Bukit Jalil, iaitu saudara Ustaz Dzulkhairi yang juga merupakan ketua Majlis Ulama' Muda Semalaysia.
Saya harap olahan saya bentuk penulisan ini menarik untuk dibaca, insyaAllah. :')
---o---
Diceritakan terdapat 3 pemuda bersahabat baik. Pemuda A adalah pakar ilmu Tasawwuf. Ilmu Tasawwuf ini berkaitan dengan pensucian hati. Apa-apa berkenaan penyakit hati dan cara mengubatinya, dialah juara. Pemuda B pula mempunyai ilmu Fiqh yang sangat mendalam. Tanyalah apa sahaja berkenaan hukum hakam dalam beragama, tiada yang tidak mampu dijawabnya. Pemuda C pula adalah seorang qari yang sangat hebat. Tiada taranum (lagu untuk membaca Quran) yang tidak dia kuasai.
Pada suatu hari, ketiga-tiga pemuda ini mahu menunaikan solat Maghrib berjamaah. Pemuda A menawarkan diri untuk menjadi imam solat tersebut.
"Hati aku paling bersih dan suci antara kita bertiga, biarlah aku yang mengimamkan solat ini." Pemuda B dan pemuda C mengangguk setuju.
ALLAHU AKBAR! Pemuda A mengangkat takbiratul ihram diikuti dua orang rakannya. ALLAHU AKBAR! Pemuda A rukuk diikuti kedua sahabatnya. SAMI'ALLAHU LIMAN HAMIDAH! Pemuda A bangun untuk i'tidal diikuti pemuda B dan C.
ALLAHU AKBAR!
Tiba-tiba pemuda A turun untuk rukuk semula. Kedua-dua sahabatnya terpinga-pinga dan segera melafazkan "SUBHANALLAH!" untuk menegur. Dan solat mereka terhenti. Rupa-rupanya pemuda A tidak pandai ilmu Fiqh dan tidak tahu rukun-rukun solat. Solat Maghrib yang hanya ada satu rukuk pada setiap rakaat telah tertukar olehnya dengan solat sunat gerhana yang mempunyai dua rakaat.
Kali ini pemuda B pula menawarkan dirinya untuk menjadi imam kerana katanya, dia paling tahu selok belok hukum tentang agama. Jadi sekadar mengimamkan solat fardhu tidak mungkin menjadi masalah kepadanya.
ALLAHU AKBAR! Pemuda B mengangkat takbiratul ihram diikuti pemuda A dan pemuda C. Mula sahaja pemuda B mahu membaca surah Fatihah, sudah kedengaran laungan "SUBHANALLAH!" dari barisan makmum. Solat terpaksa dihentikan. Rupa-rupanya pemuda B tidak pandai membaca Quran - tunggang langgang bacaannya, rosak makhraj sebutan huruf-hurufnya.
Akhirnya pemuda C yang handal dalam ilmu qiraah pun menawarkan diri untuk mengimamkan solat. Pemuda A dan B hanya mengangguk bersetuju.
ALLAHU AKBAR! Pemuda C mengangkat takbiratul ihram diikuti kedua sahabatnya. Sungguh indah sekali bacaan ayat-ayat suci oleh pemuda C ini. Bacaan rakaat pertamanya kedengaran seperti bacaan Imam Makkah. Rakaat keduanya pula seperti bacaan Imam Madinah. Teresak menangis kedua sahabatnya di belakang dek kerana terharu dan terkesan di hati mereka dengan bacaan ayat-ayat suci yang indah oleh pemuda C.
Selesai sahaja solat, pemuda A dan B terus sahaja memuji keindahan bacaan Kalaamullah oleh pemuda C. Pemuda C hanya tersenyum sambil menjawab ringkas, "Itu aku belum ambil wudhuk lagi tu."
Pemuda A dan B hanya tergamam tidak mampu melafazkan sebarang kata.
Pengajaran:
Sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh hanya menguasai satu bidang ilmu sahaja. Berusahalah untuk mempelajari dan mendalami semua ilmu-ilmu dengan sedaya mampu -- hati perlu suci, hukum hakam dalam beragama perlu dipelajari dan diketahui, dan ilmu al-Quran perlu didalami. Jika tidak, apa yang terjadi kepada pemuda-pemuda di atas mungkin berlaku kepada kita.
Ilmu Allah itu sangat luas. Kita perlu sedaya upaya kita untuk kuasai semua ilmu asas kepada seorang Muslim. :')
Firman Allah Ta'ala dalam Kitab Suci al-Quran Kareem:
". . . for you must gain mastery if you are true in Faith."
[Ali 'Imran, 3:139]
Sekadar berkongsi ilmu yang diperoleh pagi tadi.
Ini adalah peringatan untuk diri saya sendiri dan semua yang sudi membaca.
"Ya Allah! Terangilah hati ini untuk mudah mengingati ilmu-ilmuMu dan fasihkanlah lidah ini untuk mudah menyampai dan mengajarkannya kepada orang lain."
2 comments:
Salam hafiz,
Cerita yang sangat menarik! Sungguh! Teringat pada cabaran Ustaz Pahrol Juoi untuk menjadi mukmin profesional. Mukmin yang mahir segala macam bidang.
Salam, Dyana.
Itu la. Saya pun suka dengar cerita ni masa disampaikan oleh Ustaz Dzulkhairi. Masa dengar tu terfikir, "kena kongsi ni."
Owh, Ustaz Pahrol ada buat cabaran macam tu eh? Menarik. Saya baru je berjinak-jinak dengan penulisan beliau melalui Di Mana Dia Di Hatiku. Saya sangat suka cara beliau menulis - sangat terkesan di hati, walaupun masih belum habis baca lagi.
Post a Comment