Wednesday, September 15, 2010

Peganglah Pada Janjiku

Dengan nama Allah yang memegang hati-hati hambaNya di hujung dua jemariNya.

Sibuk-sibuk beraya ni, tetiba je rasa nak menulis. Lalu tertulislah cerpen di bawah ini. Maaf atas kekurangan kosa kata Bahasa Melayu saya. Semoga cerpen ini bermanfaat, insyaAllah.

Cerpen ini ditujukan khas buat saudara-saudara seagamaku yang masih belum dan bakal mendirikan Bait Muslim, terutamanya Pisang 1, Razip, Kay, Pokjat, Azmir dan Tok Penghulu. Aku sayang kamu semua kerana Allah Ta'ala. :')

Peganglah Pada Janjiku

Petang itu redup.

Mentari yang biasanya terik membakar kulit hari ini seolah-olah malu mempamer diri, sembunyi di balik kawanan awan yang berarak perlahan. Angin bertiup lembut sepoi-sepoi bahasa menyapa seraut wajah yang cantik dibaluti kain tudung biru laut di sudut sepi tingkap berbingkai kayu kepada sebuah rumah batu di tengah-tengah sebidang tanah sawah yang luas.

Si pemilik wajah itu memandang jauh ke kaki langit, menembusi bukit bukau yang tersergam gagah . . . mengingat perbualannya dengan Amir ketika Amir berziarah ke rumahnya semasa 'Aidilfitri  dua bulan yang lalu. Datang Amir bersama keluarganya, berhari raya sekaligus merisik bunga di taman. Ketika itulah abah dan mamanya mula mengenali Amir yang sebelumnya hanya dikenali melalui cerita dari anak perempuan mereka.



"AINA, selamat hari raya. Maaf kalau ada salah silap ya," kata Amir dengan suara lembut. Amir tertunduk bila matanya bertemu mata Aina. Pipinya merah. Di sekeliling mereka, keluarga Amir dan Aina masing-masing sedang sibuk berbual-bual sambil memakan juadah raya yang sedia terhidang.

"Selamat hari raya juga. Terima kasih, awak, sebab datang beraya dengan famili."

Rumah Aina riuh rendah dengan gelak tawa dan gurau senda yang diselang selikan dengan jeritan ceria kanak-kanak. Cepat benar mereka serasi, fikir Aina. Mungkin benar ada jodoh.

"Awak, nak tanya boleh?" sapa Aina perlahan selepas beberapa lama kedua mereka membisu sambil tersenyum melihat kerenah kanak-kanak yang bergaduh mesra.

"Boleh aja," jawab Amir ringkas.

"Bila mahu masuk meminang? Dah lama saya tunggu."

Amir tertunduk diam seketika. Teringat lagi Amir ketika dia meminta bantuan kak Lina, sepupunya yang juga belajar di IPT sama, untuk menyampaikan hasrat hatinya untuk memperisterikan Aina. Ramai teman yang memperlekehkan tindakannya. Kata mereka, real men confess themselves to the girl. Mungkin benar tapi bukankah Rasulullah (s.a.w) merisik wanita yang ingin diperisterikan melalui orang tengah? Dan Baginda adalah sebaik-baik manusia, sebaik-baik contoh kepada para lelaki.

"Awak?"

Lamunan Amir terhenti. Lalu dilontarkan simpulan senyum kepada Aina, "Aina sabar ye? Tak lama dah. Ingat lagi janji saya semasa saya merisik Aina melalui kak Lina dulu?" Aina mengangguk perlahan. "Peganglah pada janji saya yang itu. Manusia dipegang pada janjinya kan?"



AINA masih menunggu. Entah berapa lama lagi perlu ditunggu? Sudahlah tidak pernah ada lafaz cinta yang terbit dari mulut Amir - barangkali Amir tidak tahu yang perempuan perlukan sesuatu sebagai bukti? Mungkin Amir hanya main-main sahaja. Janji kosong. Ah, dasar lelaki! Bukan boleh percaya.

Aina menggeleng-geleng kepalanya. Mahu diusir jauh usikan syaitan yang menggoyahkan hatinya. Ya muqallibal quluub! Tsabbit quluubi 'alaa deenik. Wahai Tuhan pemilik hati! Tetapkanlah hatiku atas agamaMu, doa Aina.

"Sabarlah Aina. Peganglah pada janji Amir," Aina bermonolog sendirian untuk memujuk hatinya.

 ---o---

Sudah beberapa hari berlalu semenjak kak Lina menyampaikan hasrat Amir. Aina memohon beberapa hari untuk berfikir. Menjadi isteri dan soal perkahwinan bukanlah hal kecil. Ianya perlu difikir dan dipertimbangkan dengan cermat. Teringat Aina pada pesanan seorang kakak semasa halaqah:

"Bila kamu tersepit semasa membuat keputusan, kembalilah kepada yang Maha Mengetahui. Mintalah bantuanNya dengan melakukan solat sunat istikharah dan jangan lupa untuk berbincang dengan orang-orang yang lebih berilmu pengetahuan. Istikharah itu bukan solat mintak petunjuk melalui mimpi sahaja tetapi petunjuk Allah itu pelbagai -- salah satunya melalui orang beriman yang berilmu."

Solat istikharah sudah Aina lakukan berkali-kali. Pandangan kakak-kakak usrah juga sudah dipinta. Tetapi Aina masih tidak tahu apa keputusan yang patut dibuat. Hati tenang pada kebaikan dan bergetar pada dosa, itu pesanan kakak-kakak usrah. Abah dan mama juga sudah diberitahu dan diminta nasihat tetapi mereka hanya berpesan ringkas: Kalau baik agamanya, itu dah cukup. Asalkan Aina suka.

Sungguh, Aina tidak tahu apa keputusan yang terbaik untuknya.

Dan hari ini Aina bertemu Amir buat pertama kalinya dengan bertemankan kak Lina. Mereka bertemu selepas solat Zuhur di sebuah tempat rehat dilengkapi kerusi dan meja dalam perkarangan masjid IPT mereka menuntut ilmu. Pelbagai perkara mereka bicarakan -- dari soal pendirian dan fikrah tentang Islam terutamanya hal-hal munakahat hinggalah kepada soal peribadi dan masa depan sekiranya benar mereka berdua bakal mendirikan Bait Muslim bersama. Menurut Amir, dia tertarik pada Aina selepas pertama kali melihat Aina ketika mereka berdua sama-sama membantu menjayakan program Ihya' Ramadhan di kampus. Semenjak itu Amir telah beristikharah dan membuat keputusan bahawa Aina memang jodohnya. Hati akan tenang pada kebaikan, kata Amir mengakhiri jawapannya.

Dari perbualan ringkas itu, Aina mula merasa selesa dengan Amir. Fikrah dan caranya sesuai dengan Aina. Hati akan tenang pada kebaikan, bisik Aina.

"Tujuan saya merisik melalui kak Lina ni sebab nak pastikan yang Aina belum berpunya. InsyaAllah akan saya usahakan pujuk mak abah saya untuk cepat masuk meminang untuk formalkan mengikut adat. Sementara tu, mari usaha menjadi Muslim yang lebih baik supaya kita sama-sama bersedia untuk Bait Muslim. Dalam surah an-Nur Allah dah janjikan perempuan baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki baik untuk perempuan yang baik kan? Jika benar ada jodoh antara kita, Allah akan satukan juga dengan RahmatNya, insyaAllah. Anggaplah ini janji saya," kata Amir sebelum mereka berpisah petang itu.

Pulang ke bilik, Aina tersenyum lebar.

---o---

Ya, Aina masih ingat janji Amir. Jika benar ada jodoh mereka, takkan ke mana. Allah akan satukan juga dengan RahmatNya. Punca risau itu hanyalah hasilan gelodak nafsu lawwamah yang memang menyakitkan, tidak pernah tahu diam. Ditambah bisikan halus syaitan direjam. Ya Allah! Kurniakanlah aku kesabaran Nabi Ayyub supaya aku mampu bersabar menentang gelodak nafsu dan bisikan syaitan yang mahu membolakkan hati aku, doa Aina perlahan.

"Aina. Aina!"

Kedengaran suara mama melaung memanggil namanya. Cepat disahut panggilan mama -- sedangkan mengeluh kepada emak sudah berdosa, inikan pula tidak menyahut panggilannya.

"Cepat pi bersiap nu. Ada oghang nak mai ni. Tapi jangan dok lebih-lebih pulak."

"Baiklah, mama," jawab Aina ringkas. Terdetik di hatinya, siapa pula yang bertandang ke rumahnya di waktu sebegini. Selesai bertukar pakaian yang sopan dan sesuai untuk dilihat tetamu, Aina ke dapur untuk membantu mama menyediakan hidangan air dan juadah.

"Siapa mai, mama?"

"Nah, bawak ni pi dalam," arah mamanya tanpa menjawab soalan Aina. Aina menurut dan membawa dulang berisi minuman ke ruang tamu. Aina sedikit terkejut apabila disapa senyuman ibu bapa Amir. Tangan emak Amir cepat disambut dan dicium.

"Assalaamu'alaikum, pakcik makcik."

"Wa'alaikumussalaam warahmatullah," jawab keduanya. "Cantik berseri Aina hari ni," tambah emak Amir. Aina tersipu malu sambil berlalu dan duduk di belakang abahnya.

"Emak dan abah Amir ni, depa mai datangnya berhajat," mula abah Aina. "Depa nak sunting bunga di taman. Depa nak pinang Aina untuk dijodohkan dengan anak teghuna depa si Amir. Aina suka dak?"

Aina tertunduk. Pipinya merah.

"Rasulullah kata, diam si anak dara pada pinangan itu tandanya setuju. Tak begitu, bang?" kata ayah Amir kepada ayah Aina sambil tertawa kecil. Abah Aina mengangguk mengiyakan.

Cincin disarung dan majlis pertunangan pun dilangsungkan serba ringkas dengan hanya bersaksikan ahli keluarga terdekat. Pertunangan dirahsia-rahsiakan, pernikahan dihebah-hebahkan. Bukankah begitu Sunnah Rasul? Selesai majlis, Amir sekeluarga pun pulang. Amir tidak berbual panjang dengan Aina. Sekadar bertanya khabar. Aina sedikit hairan dan terkilan. Bukankah mereka sudah bertunang?

Selesai membantu mama membersihkan dapur, Aina mengunci diri di dalam bilik. Dibelek dan diperhatinya tanda di jari manis. Cantik cincin ni. Pandai Amir pilih, bisik Aina sendirian. Tiba-tiba terdengar ketukan perlahan di pintu biliknya.

"Aina?"

"Ya, abah?"

"Boleh abah masuk sat?"

"Masuklah, abah," Aina segera membuka pintu biliknya yang dikunci seketika lalu. Aina kembali duduk di atas katil dan abahnya duduk di sebelah. Dipegang tangan Aina yang bersarung cincin pertunangan dan dipandang mata Aina dalam-dalam.

"Dah besaq dah anak dagha abah ni," abah Aina tersenyum. "Tak lama lagi dah nak jadi isteghi oghang. Banyak yang Aina kena persiapkan diri: Abah hantaq Aina belajaq agama, jangan biaq berkaghat ja ilmu tu. Asah biaq tajam. Biaq boleh bantu suami dekatkan diri dengan Allah supaya dapat masuk syurga sama-sama."  Keluarga Aina sememangnya berasal dari utara dan telah lama menetap di situ. Tak hairanlah abah Aina sangat pekat dengan loghat utara bila bertutur. "Ilmu rumahtangga pun kena gilap. Nak jadi isteghi oghang kan? Kena gembirakan dan bahagiakan suami nanti. Alang-alang dah cuti panjang ni, ambik peluang asah skill memasak Aina tu dari mama. Masakan mama boleh kalahkan Chef Wan tau!"

Abah Aina ketawa kecil. Aina juga turut tertetawa sebelum tertunduk, tersipu malu. Sebelum berlalu, abah Aina mencium dahi Aina dan mencubit pipinya yang kemerah-merahan kerana malu apabila berbicara tentang perkahwinan.

"Aina?" Abah Aina berdiri di muka pintu.

"Ya, abah?"

"Ni ada sepucuk sughat daghi Amir. Dia mintak abah bagi kat Aina lepaih dia balik."

Aina segera mencapai surat dari tangan abahnya dan mengucapkan terima kasih. Sebelum menutup pintu bilik Aina, abahnya berkata sambil tersenyum, "Abah dan mama suka sangat Amir tu. Baguih oghang dia. Pandai no Aina pilih."

"Abah ni! Segan Aina tau."

Aina tersenyum. Mukanya merah. Abah Aina hanya tertawa melihat gelagat anak daranya kemudian berlalu ke dapur untuk mendapatkan secawan kopi hitam panas kegemarannya. Aina kembali duduk di atas katil empuknya yang bercadarkan kain satin merah jambu dihiasi corak bunga-bungaan. Perlahan-lahan dikeluarkan surat Amir dari sampul berwarna biru muda lembut. Biru warna kegemaran Amir. Juga warna kegemaran Aina. Aina tersenyum sendiri ketika membuka lipatan kertas putih di tangannya.



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalaamu'alaikum warahmatullah wa barakatuh.

Diharapkan surat ini menemui tunanganku, Nur Aina Mawaddah binti Dzulkifli, di bawah lembayung Rahmat dan Kasih Allah Ta'ala.

Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kerana telah membuatkan Aina menunggu. Hampir setahun lalu saya "merisik" Aina tapi baru hari ini dapat saya mengikat Aina sebagai tunangan saya secara rasmi. Bukan tak mahu lebih awal tapi tak mampu. Ikutkan hati, hari saya merisik itu juga mahu diikat Aina sebagai isteri yang sah. Tetapi Aina sendiri tahu halangan-halangannya. Kita merancang, Allah menentukan; dan ketentuan Allah buat kita sentiasa yang terbaik. Dan inilah yang terbaik dapat saya lakukan buat masa ini dengan izin-Nya: Pertunangan.

Keduanya, saya ingin menegaskan sesuatu yang saya tahu Aina sudah tahu dan faham tetapi bertujuan untuk mengingatkan. Muslim yang baik saling mengingatkan antara satu sama lain, apatah lagi kita yang ada "janji" ini. Dan mohon ingatkan saya juga andainya saya lupa dan terlanjur: Ikatan kita ini sekadar janji antara kita berdua. Janji saya untuk menikahi Aina dan janji Aina untuk dinikahi saya. Pertunangan kita tidak menghalalkan apa-apa sehinggalah Aina sah sebagai isteri saya. Sungguh, tempoh dari hari ini sehingga hari kita menjadi suami isteri masih panjang dan terkadang akan wujud rasa rindu. Rindu itu anugerah Allah, tetapi jika dan hanya jika ianya timbul dalam keadaan yang sesuai dan betul. Biarlah cinta di hati tersemai, tetapi kekanglah rasa rindu. Kerana rindu yang salah itu yang bisa melontarkan kita ke Neraka-Nya. Na'uzubillah.

Saya hanya mahukan yang terbaik untuk Aina, untuk saya. Untuk kita berdua. Biarlah Bait Muslim yang bakal kita bina berlandaskan syariat Allah Ta'ala. Mudah-mudahan cinta yang hadir di hati kita hasil mencari Cinta-Nya ini akan berkekalan -- bukan hanya sehingga ke akhir hayat kita, tetapi biarlah bawa ke Syurga sana.

Kerana Cinta-Nya kita merasa cinta. Lalu biarlah cinta ini suci dan luhur dengan cara yang ditetapkan-Nya, mudah-mudahan kita dapat bertemu di Syurga-Nya dengan Izin dan Kasih-Nya. Ini janji saya buat Aina.

Allah kasihkan orang yang bersabar dan senantiasa bersama mereka. Jadi terima kasih buat Aina kerana banyak bersabar.

Hanya mengharapkan Mardhatillah,
Muhammad Amirruddin bin Abu Bakar


Aina mengesat air mata yang bergenang di mata dan mengalir ke pipinya. Kerana Cinta-Nya kita merasa cinta, bisik Aina. Benar sekali. Dalam mencari Cinta dan Redha-Nya lah Aina bertemu Amir. Ketika masing-masing mabuk dengan Cinta Allah, ketika itulah Dia bawakan cinta makhluk ke hati mereka.

"Terima kasih, awak," Aina tersenyum. InsyaAllah, jika benar ada jodoh antara kita takkan ke mana. Allah juga yang pertemukan kita berdua -- menyemai cinta dan kasih sesama makhluk di hati kita, semasa masing-masing sibuk mencari Cinta-Nya, bukan? Terima kasih atas ingatan ini.

"Ya Allah! Aku pohon ke hadrat-Mu kerna tanpa bantuan-Mu, aku ini hanyalah insan yang lemah lagi hina yang hanya berasal dari setitis mani yang bercampur. Engkau Maha Mendengar dan suka mendengar rintih rayu hamba-Mu. Lalu oleh itu, ku pohon dari-Mu kekuatan untuk aku mengekang rasa rindu sementara menanti tibanya hari pernikahan kami. Biarlah cinta ini tersemai, luhur dan suci murni. Ia Anugerah dari-Mu dan aku bersyukur dengan Kurniaan-Mu ini tetapi aku berlindung dari gelodak nafsu dan bisikan syaitan direjam dari rasa rindu yang berombak mahukan kejahatan. Innaka Antas Samee'ud Du'a. Ameen ya Rabbal 'Alameen."

3 comments:

safiyyah said...

nak next chapter. time kaseh

:P

Airil Azmei said...

cm cite ko je...haha

hafiz CHouJi said...

Hana: InsyaAllah, kalau ada jodoh~ Eh, silap. Kalau ada mood nak menulis.

Airil: Memang la cerita hak milik aku. Sah-sah aku yang tulis. Tapi bukan kisah aku la. Ahaha. :'P