Thursday, October 29, 2009

Gua dan Cahaya

Dengan nama Allah yang cahayaNya menerangi seluruh alam buana.

Bayangkan sekumpulan pengembara yang tersesat di dalam sebuah hutan. Mereka berjalan dan berjalan mencari jalan keluar untuk pulang ke rumah masing-masing tetapi tidak ketemu. Suatu hari, mereka bertemu sebuah gua dan bercadang menjadikannya tempat tinggal sementara. Mereka masuk ke dalam gua, jauh dan semakin jauh ke dalam dengan setiap langkah mereka sehinggalah mereka terlupa jalan keluar.

Sedih mereka duduk meratapi nasib, meraba-raba dalam kegelapan gua itu dalam pencarian mereka mencari jalan keluar. Dalam kehibaan mencari jalan keluar dalam pekat kegelapan itu, seorang pengembara menyalakan obor di tangannya. Kesemua pengembara berasa gembira tetapi sebahagian besar mereka mulai berputus asa mencari jalan keluar. Mereka gembira dapat duduk mengelilingi unggun api dari obor tersebut sedangkan beberapa orang pengembara yang masih belum berputus asa, menggunakan obor tersebut mencari jalan keluar untuk kembali melihat matahari.

*******

Ini adalah tamsilan atau analogi yang aku terfikir selepas menonton video tentang Yusha (Joshua) Evans.

Para pengembara yang sesat di dalam hutan itu adalah kita sebagai manusia yang dilahirkan di atas muka bumi ini. Mereka ingin mencari jalan pulang kerana itu adalah fitrah manusia untuk kembali ke sisi Tuhan. Mereka mencari jalan untuk tiba ke destinasi tersebut
(menuju Tuhan) sehinggalah mereka bertemu nikmat duniawi yang aku ibaratkan dengan sebuah gua. Kenapa gua? Aku ibaratkan nikmat duniawi sebagai gua kerana pengembara berasa selesa kerna mendapat tempat berteduh tetapi mereka makin hari makin jauh dari "destinasi sebenar" mereka.

Mereka meraba-raba dalam kegelapan sehinggalah obor dinyalakan. Obor itu ibarat panduan hidup berupa kesedaran tentang Tuhan, iaitu agama. Semakin lama mereka mula berputus asa menuju destinasi dan berpuas hati dengan unggun api dari sumber obor tersebut. Unggun api ini ibarat agama yang telah diubah mengikut kesesuaian pengembara yang bisa menyesatkan mereka. Dan kumpulan yang menggunakan obor mencari cahaya matahari, mereka adalah pencari kebenaran yang masih mahu bertemu Tuhan mereka.

Okay, mungkin analogi tidak begitu jelas. Aku tulis nie pon cuma on a whim, langsung tak fikirkan sesuai atau tidak analogi tersebut. Dan aku terpanggil untuk menulis entri nie pon adalah selepas hati tersentuh menonton clip video ucapan saudara Yusha
(Joshua) Evans.

Saudara Yusha dibesarkan oleh datuk dan neneknya dalam persekitaran Christian Methodist yang sangat ketat. Beliau belajar kitab Bible dan mengkajinya dari kulit ke kulit dan mengulang baca lebih dari enam kali sehingga beliau merasakan kitab Bible itu tidak konsisten dan tampak padanya kelemahan laen.

Clip ini adalah ucapan saudara Yusha Evans berkenaan Islam. :')





"Ya Allah! Aku mohon Cahaya dan Petunjuk dariMu untuk mengiringiku dalam usaha mengharungi pekat kegelapan hidup ini, dalam aku meraba-raba mencari jalan pulang ke sisiMu yang sentiasa aku rindu dan dambakan."

No comments: