Dengan nama Allah yang menciptakan setiap sesuatu itu tidak sia-sia.
Seperti yang dijanjikan (walaupon lewat beberapa hari dari tarikh janji), nie aku nak post sebuah cerpen BM bertemakan pisang yang ditulis sebagai jenaka.
Cerpen ini adalah hasil nukilan bersama Pisang 2 (aku) dan Pisang 4 (Diana Ayub), didedikasikan khususnya kepada Pisang 1 (Fauzi Ibrahim) dan Pisang 3 (Shahimi Shahidan) serta jamaah pisang yang laen di dalam tandanan bumi Wellington terchenta ini. :'D
Mesej dan intipati cerpen ini adalah rekaan semata, sememangnya berkaitan dengan watak-watak yang masih hidup bernafas atas bumi Allah. Cerpen ini ditulis bersama tanpa sebarang perancangan plot oleh kedua-dua penulis, tetapi telah aku edit semula supaya sesuai dibaca umum.
~KISAH PISANG~
Dada rasa bergetar, peluh mula membasahi dahi. Langkahku makin lemah persis gemalai. Dalam hati menjerit, "Ini semua salah pakcik yang jual pisang tu. Huh!"
Getaran di dadaku sudah tak tertahankan, lalu aku membuat keputusan untuk ke klinik. Bertemu doktor peribadiku.
Daun pintu bilik doktor itu ku kuak perlahan. Pada pintu tersebut terpampang nama 'Doktor Fauzi Ibrahim'. Ya, doktor Poji adalah doktor peribadiku. Lama sudah kami berkenalan ketika masing-masing masih pelajar undergrad di bumi Wellington.
Ku duduk diam membisu seribu bahasa menanti jawaban dari mulut sang doktor yang terkunci rapat.
Dia diam.
Makin bergetar dada ini. Dahiku makin basah dengan peluh sejuk. Peluh itu mengingatkan aku pada malam ayahku bercerita tentang hantu pontianak yang mengganas di kampungku. Ya! Perasaan yang sama. Nafasku turun naik menahan debaran dan getaran kencang yang berombak dalam dadaku.
Perlahan ku teringat pesanan Jimi. Jimi, rakan sepermainanku. Ah, tak mungkin kata-kata Jimi itu benar! Mana mungkin 3 biji pisang bisa membunuh?
"Cardiac arrest," katanya dengan nada serius. Dahinya berkerut lebat menandakan dia tidak bergurau. Dadaku masih berombak kencang, makin kencang bila teringatkan kata-katanya yang menyusul.
"Kau tahu Chouji, pisang boleh membunuhmu!" ujarnya dengan suara lantang, selantang persis menteri bersidang di Parlimen. Seperti nada orang yang mahu menegakkan benang yang basah.
Hatiku kian gelisah mengenangkan doktor Poji yang seakan tidak sudi memberitahu hasil diagnosisku. Ditatapnya berulang-ulang kali keputusan ujian ECG ku itu diselang selikan dengan menatap mataku dalam-dalam. Seolah-olah aku ini seperti banduan yang akan ke tali gantung. Disepetkan matanya, seperti aku ini sedang mengecil di hadapannya. Setiap kali matanya menatap fail ujian ECG ku, kelihatan seolah olah matanya sedang mentertawakan aku.
Tetapi makin lama ku lihat doktor Poji makin galak. Matanya melirik, bermain mata. Seolah-olah sedang mengendap janda di hujung kampung.
“Gila doktor ini. Takkanlah jantan sepertiku ini pun dia boleh tertarik!" Tetapi aku tak boleh menafikan, dengan six packs pada abdomenku, Razif pun boleh tersungkur.
Tapi hatiku tidak goyah walaupun dadaku bergetar kuat. Kerna cintaku tetap pada Razif.
Razif mesti diberitahu segera! Pesan Jimi harusku sampaikan segera pada Razif. Biar saja aku yang pergi meninggalkan dunia fana ini.
Tetapi tidak Razip! Dia perlu terus hidup.
Razif, anak teruna harapan kampungku dan kekasih gelapku. Tiada dia, mungkin kampung kami akan banjir. Banjir dengan airmata ibu-ibu yang mengharapkan anak dara mereka bertemu jodoh dengan Razif.
Ah, saat ini juga kisah pergaduhan aku dan Razif mula bermain-main di minda. Ku dapat membayangkan muka Razif yang gusar. Mana mungkin? Anak-anak dara Kampung Pisang Setandan tetap memilih Razif walaupun akulah yang menmpunyai six packs?
“Katakan saja Razif, andai laut ini terbelah tujuh. Andai saja langit ini jatuh menjunam. Aku dan kau tak mungkin dapat dipisahkan!”
Di kala minda makin dipenuhi memori bersama Razif, dadaku terasa semakin ketat. Seolah-olah bekalan oksigen ditahan dari melalui pembuluh darahku. Pandanganku makin kabur. Mulut tak mampu lagi berbicara. Hanya desingan berkumandang di telinga dan di saat itulah doktor Poji akhirnya bersuara perlahan,
"Chouji tak perlu risau, ini cuma peringkat awal kepada cardiac shock."
Ah, lega! Perkataan 'awal' sudah cukup menghentikan seribu kerisauanku.
Mungkin kerna melihat kegusaran pada raut mukaku, doktor Poji pon menghela nafas sambil menerangkan tentang "peringkat awal cardiac shock" ini.
"Kajian di Otago Medic School beberapa tahun yg lalu telah mendapati bahwa serangan penyakit jantung berpunca dari pengambilan pisang yg berlebihan. Serangan ini yang dipanggil ‘cardiac shock’ terbahagi kepada beberapa peringkat dan Chouji berada pada peringkat paling awal yg dikenali sebagai Cardiac Shake”
Lagu Shake Shake Banana tidak henti bermain-main di telingaku.
“Awak faham tak apa yang saya cakap ni?”
Terus terhenti lamunanku seketika. Aku menggelengkan kepala untuk menghilangkan deruan lagu tersebut tetapi doktor Poji menyangka yang aku tidak faham dengan penerangannya yang panjang lebar itu.
Wajahnya serius. Seserius wajah Penghulu kampungku. Aku mula faham. Ini bukan perkara main-main.
Aku kaget. Apa lagi mampu aku bicarakan di saat ini? Semua sudah terang lagi bersuluh . . . memang pisang puncanya! Tunggulah pakcik penjual pisang goreng! Kerna pisangmu jantungku menderita.
Dan Razif. Kasihan Razif. Terpaksa keseorangan digilai himpunan anak-anak gadis kampung setelah ketiadaanku. Tetapi aku akur. Sudah takdir Maha Kuasa, aku dan Razip terpaksa berpisah . . .
Mungkin bahagia bukan milik kami berdua.
10 tahun kemudian...
Aku seperti tidak percaya apa yang aku lihat di dada akhbar hari ini.
'Dr. Shahimi Shahidan menang Hadiah Nobel dengan hasil kajian Pisang dan Cardiac Arrest.'
Akhirnya budak kampungku itu berjaya. Dan perasaanku bercampur baur melihat satu lagi berita tersisip di sudut kecil akhbar
‘Dr. Fauzi Ibrahim kembali ke Rahmatullah. Cardiac Shake sebagai punca.’
Inilah kuasa Allah. Kun fayakun. Aku yang diramalkan akan kembali ke RahmatNya tetapi kini masih berdiri tegar mengharungi hidup. Menghargai setiap detik kasih bersama isteriku tercinta setelah Razip menghilangkan diri bersama 10 anak gadis kampungku sedangkan doktor Poji yang memberi amaran kepadaku tentang bahaya pisang pula yang telah dijemput Yang Kuasa untuk kembali ke sisiNya dahulu. Dengan jalan memakan pisang juga.
Tapi aku. Aku dan isteriku, kami sentiasa bahgia memakan pisang setiap hari sebagai sumber tenaga dalam setiap hidangan. Syukur, ya Allah!
Sekian.
"Ya Allah! Sungguh aku kasih sekalian sahabat dan temanku di Wellington ini. Letakkanlah mereka semua di bawah naungan Rahmat dan PerlindunganMu, senantiasa. Dan jauhkanlah mereka dari bayangan Azab dan MurkaMu, senantiasa."
No comments:
Post a Comment